Sementara menunggu azan maghrib berkumandang, Roni berbual kosong dengan makwe yang baru dikenalinya. Mereka sama-sama melempar botol di aplikasi WeChat, seterusnya berjanji untuk sama-sama berbuka puasa. Banyak yang mereka bualkan, dari hal menanam padi hinggalah bagaimana kaedah penanaman pokok koko di Brazil. Kemudian makwe baru Roni menegur jersi pasukan Manchester United yang dipakai olehnya. Roni mengatakan ia adalah jersi milik satu pasukan bola yang handal, serta sombong dalam kancah perlawananan bola, yang mana kesombongan tersebut patut dicontohi dan ditauladani jika mahu berjaya dalam hidup. Makwe baru Roni angguk kepala berkali-kali. Roni tersenyum.
"Awak ada tinggal puasa tak?" tanya makwe baru Roni secara tiba-tiba.
Roni lebarkan lagi senyumannya hingga ke telinga. Untuk menunjukkan satu ketenangan yang hakiki walaupun sebenarnya dia tidak berpuasa saat janjitemu ini berlangsung.
"Ada jugak la tinggal, gastrik." Roni menggunakan alasan yang sering digunakan oleh orang malas puasa.
"Awak ni, kuat la sikit, gastrik pun tak boleh lawan. Berapa hari tinggal?" tanya makwe baru Roni sambil merenung tepat ke wajah Roni.
"Dua hari je," jawab Roni seraya menegakkan dua batang jarinya.
"Betul ni, dua hari je?" Makwe baru Roni menduga dengan merenung tepat ke wajah Roni tanpa kerlipan mata.
"Iya, dua hari je tinggal. Yang lain puasa separuh hari je. Hik hik hik." Roni ketawa manja.
Azan maghrib berkumandang, Roni dan makwe barunya berbuka puasa tanpa sepatah kata. Selesai berbuka, Roni menghantar bekas makwenya pulang.