Aku lihat emak dan makweku rancak berbual-bual, dari cerita tentang menanam cili hingga ke cerita tentang bumi ini sfera atau satu hamparan yang luas. Sesekali makweku mengangguk mendengar cerita emak, kemudian emak pula mengangguk mendengar cerita makweku. Akhirnya kedua-dua mereka baring bergelimpangan, menongkat tangan ke kepala sambil bercerita. Mesra benar nampak gayanya.
Makweku seorang CEO di syarikat milik keturunan keluarganya. Dia mengamalkan gaya hidup mewah. Mempunyai kereta sukan mewah, rumah agam mewah, dan beberapa ekor kucing yang mahal harganya. Makweku juga mempunyai rupa yang aku anggap rupa itu hanya ada di negeri yang dihuni oleh bidadari-bidari di kayangan. Tapi aku tidak. Aku kerja biasa-biasa, mempunyai motosikal yang biasa-biasa, dan juga sebuah rumah biasa-biasa. Cuma aku mempunyai rupa yang sedap mata memandang.
Seperti kebiasaan yang ditulis di dalam novel, dan juga diceritakan di dalam drama di kaca tivi. Seperti mana Beauty memilih Beast, Puteri Jasmin memilih Aladdin dan Cinderella akhirnya kahwin dengan putera raja, demikian jugalah kisah aku dan makweku. Pada awalnya, aku tidak percaya akan semua ini, mana mungkin perempuan cantik seperti bidadari, bijaksana seperti Albert Einstein, kaya seperti Firaun ini memilih aku jadi teman hidupnya.
Tapi itulah, kuasa Tuhan itu besar, dan setiap apa yang Dia mahu berlaku akan berlaku, seperti apa yang berlaku ke atas ku ini. Ah, bahagia itu bukanlah satu perkara yang boleh diramal seperti meramal hujan turun, bahagia akan datang bila ia mahu, dan aku hanya perlu terima.
"Tak boleh, makcik! Tak bolehhh!!!"
Lamunan ku tersentak laluku mendongak, gemuruh rasa, terpaku sukma bila mendengar ketinggian suara milik makweku. Aku lekas-lekas pandang ke makweku dan emak. Kedua-duanya sudah berdiri, tegak dan dalam keadaan memasang kuda-kuda. Bersedia.
"Tak boleh, makcik! Bahayaaa!!!"
Makweku masih tidak mahu merendahkan suara, aku mula terasa panas hati bila melihat makweku meninggikan suara kepada emak. Aku tak peduli lagi, kalau nak putus, putus la. Hati seorang ibu lebih dari segala-galanya, lagipun sebelum aku bertemu dengan makweku, aku sudah biasa sendiri, hadapi hidup ini, susah senang diriku tak bertempat mengadu bagai burung kepatahan sayapnya, namun aku masih menaruh harapan agar hubungan kami akan kekal hingga ke Jannah. Aku bangun dan pergi ke arah mereka berdua.
"Apa yang bahayanya? Apa?! Orang pergi sana elok je," Emak balas kata-kata makweku tadi.
"Bahaya la, orang kita dekat sana kena tahan tau tak, makcik nak pergi nak serah diri? Nak jadi tahanan dia orang? Huh!" Makweku mendengus kasar. Aku mengatur langkah dan bersedia untuk menempeleng dia kerana bersikap kurang ajar.
"Itu Korea Utara, aku ni nak pergi Korea selatan, Korea Selatannn!!! Ada Pulau Nami, Pulau Jaeju, untung-untung boleh jumpa Oppa Gangnam Style tu, bongokkk!" Emak mula hilang sabar.
"CEO mende bodo gini gaya. Korea Utara dengan Korea selatan pun tak reti beza," tegur abahku pula.
Aku tak jadi marah dan ketawa terkekeh-kekeh. Makweku pandang aku dan jerit, "kita putus, kitaaa putusss!!!"
Aku lambai tangan dan bekas makweku pun pulang ke rumahnya.