Berkaca mata Azizah menonton drama yang sedang menayangkan adegan seorang perempuan yang baru pulang dari kerja, melintas jalan dan dilanggar oleh sebuah kereta sukan mewah. Pemandu kereta sukan mewah lekas-lekas keluar dari kokpit keretanya dan bergegas mendapatkan perempuan yang baru sahaja dilanggarnya. Lelaki pemandu kereta sukan mewah menawarkan bantuan untuk menghantar perempuan itu ke hospital. Walaupun perempuan itu enggan pada awalnya kerana kecederaannya tidaklah teruk, namun setelah dipujuk oleh lelaki pemandu kereta sukan mewah, perempuan itu akhirnya akur.
Di dalam kereta, mereka berbual kosong. Lelaki pemandu kereta sukan mewah memperkenalkan dirinya. Tengku Badri, seorang jutawan yang mempunyai beratus-ratus kilang membuat bekas pensil di dalam dan luar negara. Rozita, perempuan yang kena langgar menjerit meminta Tengku Badri memberhentikan keretanya. Dan dia mengatakan yang dia tak mahu ke hospital, termakan budi orang kaya seterusnya dituduh sebagai perempuan yang mahukan harta Tengku Badri.
Tengku Badri terus menangis dan meminta Rozita mengahwininya, kerana dia telah melanggar beberapa orang perempuan sebelum ini, dan kesemuanya hanya mahukan harta. Tapi Rozita tidak.
Azizah mengesat airmata bila di akhir drama, Tengku Badri mengahwini Rozita dalam satu majlis yang penuh gemilang.
-----
Aduh! Jerit Azizah, jatuh terjelepuk di atas jalanraya. Di depannya sebuah kereta sukan mewah berhenti.
Seorang lelaki berpakaian pejabat lengkap bertali leher lekas-lekas menghampiri Azizah. Dalam, kesakitan Azizah sempat tersenyum teringatkan drama yang pernah dia tonton.
-----
Azizah merenung ke luar jendela, bulan purnama di langit bercahaya terang. Selepas bertemu dengan Tengku Amir, kehidupan Azizah berubah. Perkenalan yang tanpa dirancang itu buatkan kehidupan Azizah benar-benar berubah. Tengku Amir meminta Azizah membayar ganti rugi akibat kecuaian Azizah melintas jalan dan merosakkan keretanya. Tengku Amir juga membawa perkara itu ke mahkamah yang mana Azizah diputuskan bersalah, dan Azizah masuk penjara kerana tidak mampu membayar ganti rugi.
"Drama babi." Halus kedengaran suara Azizah dari celah jeriji besi.