Ber-Jogging ke Alam Asing

1K 42 45
                                    

Saya baring di atas katil dan merenung ke arah jam yang tergantung di dinding. Jam terus berdetik, saya perhati lama, dan saya dapati tidak ada bunyi 'ahhh' seperti yang dinyanyikan oleh Aida Jebat. Saya mengelengkan kepala, entah dari mana Aida Jebat dapat idea seperti itu.

Ahhh... tak jadi apa kalau saya terus baring dan memikirkan Aida Jebat yang berwajah manis itu. Jadi, sayapun berencana mahu keluar pergi jogging di taman tasik yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Selain dari menyihatkan tubuh, dapat juga melihat makwe-makwe berjogging pakai legging nanti, jika ada rezeki lebih, dapat pula melihat amoi yang ber-jogging pakai seluar pendek. Perkara rezeki ini bukan boleh diramal, ye dak?

Dipendekkan cerita, saya sudah berada di taman tasik dan mengikut anggaran saya, jika saya berjaya menghabiskan pusingan tasik ini, bermakna saya telah berlari sejauh 1.5 kilometer. Saya melakukan senaman regangan otot sebagai permulaan, setelah yakin dan berpuas hati otot-otot saya sudah regang dan akan memberi kerjasama yang baik ketika berjogging, saya berjalan perlahan dan memberikan senyuman manis kepada setiap orang yang berselisih dengan saya. Sungguh ceria saya rasa petang ini, awal-awal lagi sudah berselisih dengan amoi pakai seluar pendek. Padu dan sedap pula bentuk body-nya. Geram juga saya rasa, dan saya mula berfikir yang bukan-bukan.

Tiba-tiba bahu saya ditepuk orang. Saya terkejut dan lekas-lekas menoleh ke arah orang yang menepuk itu. "Apa barang berjalan, bero, baik jogging naik teksi je kalau macam ni gaya." Seorang pemuda bersinglet mengejek saya. Manakala temannya yang mengikat saputangan di kepala ketawa berdekah-dekah. Saya terus berlari-lari anak tanpa pedulikan kedua-duanya.

"Balik je la, bero, orang nak jogging kau pun sibuk nak jogging. Jogging serupa semut obesiti. Kahkahkah." Kata pemuda yang mengikat saputangan di kepala. Kedua-dua mereka berlari agak laju dan memintas saya, tanpa diduga, pemuda bersinglet menarik seluar dan menunjukkan punggungnya kepada saya.

Celaka! Pantang keturunan pendekar serupa saya diejek dan ditayang punggung seperti ini. Saya membuka langkah seribu, niat saya mahu menghampiri kedua-dua pemuda gila itu dan menerajang mereka. Saya berlari dan terus berlari sehingga tubuh saya terasa bagai dicucuk beribu-ribu batang jarum, dada pula berasa sempit dan tekak mula mual. Saya dapat merasakan yang saya berada di dalam gegelung bewarna biru-putih-bercahaya terang dan ditarik ke atas.

Sringgg! Bunyi nyaring mengejutkan saya dari pengsan.

"Kami berdua ini makhluk asing, kami sudah lama perhatikan kamu di taman tasik ini, dan sekarang kami akan buat ujikaji ke atas tubuh kamu!" Kedua-dua pemuda tadi, kini berpakaian yang saya rasa diperbuat daripada alumunium, seorang memakai warna biru, dan seorang lagi warna kuning. Di atas kepala mereka ada dua sesunggut, dan ada kotak seakan-akan skrin di dada mereka.

"Rileks, selesai ujikaji nanti, kami akan turunkan kamu ke bumi semula dengan berpakaian lengkap. Bukan serupa cerita filem orang Amerika tu, asal kena culik makhluk asing je, turun bogel. Tak baik aibkan dan buka aurat orang." Kata pemuda makhluk asing yang tadinya mengikat sapu tangan di kepala.

Arghhh! Saya menjerit kesakitan bila mereka menyucuk tiub ke leher saya. Kedengaran ketawa mereka semakin jauh dan sayup.

Senyap.

Saya buka mata perlahan-lahan. Jam di dinding masih berdetik. Tidak ada bunyi 'ahhh' seperti dalam lagu Aida Jebat.

Saya mengelengkan kepala dan menyambung tidur. Risau juga jika saya pergi jogging nanti, saya betul-betul diculik oleh makhluk asing.

Cerita PendekWhere stories live. Discover now