"Tak boleh, aku kata tak boleh, tak boleh!" Tan Sri Jamil hentak kaki berkali-kali. Puan Sri Maimon geleng kepala.
"Tapi daddy, Milah tak pernah mintak apa-apa sebelum ni, cuma ini je permintaan Milah, please, daddy..." Jamilah kesat air mata dengan lengan baju.
"Aku kata tak boleh, tak boleh!" Bergema suara Tan Sri Jamil menjerit. Cicak di siling bertempiaran lari. Chandeliar yang tergantung di tengah ruang tamu bergoyang. Manakala Puan Sri Maimon berdoa semoga chandeliar tidak jatuh ke lantai. Jika jatuh penat juga mahu menyapu serpihannya nanti.
Jamilah menangis teresak-esak. Tangan Ramlan, kekasih awal dan akhirnya digenggam kemas-kemas. Puan Sri Maimon yang melihat Jamilah mengenggam tangan Ramlan mula terbit rasa cemburu, dan perlahan-lahan tangannya mencari tangan Tan Sri Jamil mahu digenggam juga. Sebaik tangannya hampir dengan tangan Tan Sri Jamil, Tan Sri Jamil menjeling tajam. Puan Sri Maimon menarik kembali tangannya dan bersandar ke sofa berpura-pura tidur.
"Please, daddy, please...," rayu Jamilah tidak berputus asa.
"Kau, apa yang kau kasi anak aku makan sampai berani dia membantah kata-kata aku, haa!" Tan Sri Jamil memandang bengis ke arah Ramlan.
Ramlan teguk air liur berkali-kali, "ta... tak ada ma... makan aaa... paaa, daddy, ayah, encik sri." Ramlan pucat, berterabur ayat yang keluar dari mulutnya.
"Dusta! Dia dah berani lawan cakap aku!" Tan Sri Jamil cekak kolar baju Ramlan, "kau cakap betul-betul!" Seraya menampar-nampar pipi Ramlan.
Jamilah mula menangis tak tentu arah, merayu supaya permintaannya ditunaikan. Ramlan yang masih dicekak lehernya berdoa semoga dia dipengsankan seketika.
Tiba-tiba Jamilah bangun dari atas lantai, mengesat kedua belah matanya dengan tapak tangan. Jamilah berdiri tegak dan merenung ke arah daddy-nya.
"Baiklah, kalau itu keputusan daddy, Milah akan keluar dari rumah ni, puas hati daddy!" Gertak Jamilah.
Tan Sri Jamil tersentak. Ramlan lega lehernya dilepaskan. Puan Sri Maimon lekas-lekas bangun dari berpura-pura tidur.
"Baiklah, daddy akan ikut permintaan Milah, daddy tak mahu kehilangan Milah." Tan Sri Jamil mengalah dan duduk di sofa, wajahnya tunduk ke lantai. Puan Sri Maimon mengenggam kemas tangan suaminya.
"Thank you, daddy, thank youuu..." Jamilah melutut dan mencium tangan daddy-nya.
Jamilah duduk di sebelah Ramlan. Lekas-lekas dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menaip lagu Blood Sweat & Tears nyanyian dari kumpulan BTS.
"Okey tak lagu ni untuk majlis kawin kita nanti, sayang?" tanya Jamilah.
Ramlan mengangguk riang, "Lion Heart, Girl Generation jangan lupa tau, hiks," kata Ramlan seraya menyelak rambut yang jatuh ke mukanya.
Tan Sri Jamil mula terbayang api neraka.
