Akhirnya Berubah Jua

8.1K 143 134
                                        

Tivi 42 inci yang dibeli menggunakan ansuran Aeon Credit bersepai. Gara-gara Rokiman tidak berpuas hati dengan sebuah iklan, dia langsung tidak dapat menangkap maksud iklan yang menunjukkan seorang perempuan dalam dilema, samaada berkahwin atau mengambil ijazah, datang seorang rakan dan memberikannya pencuci muka. Itu yang menjadikan Rokiman baran, dan mangsa terbarunya adalah tivi.

Puan Siti Maryam, emak Rokiman geleng kepala. Bukan tidak mahu menegur, tapi tidak ada gunanya. Rokiman tetap Rokiman, tidak boleh dipisahkan dengan panas baran. Kelmarin peti ais telah jahanam akibat diterajang oleh Rokiman, katanya sudah lapan kali dia membuka dan menutup pintu peti ais, namun masih juga tidak pasti samaada lampu di dalam peti ais akan terpadam bila pintu ditutup ataupun masih menyala.

"Pergi la mengembara, jika tidak ada seseorang mampu mengubah kamu, pasti ada sesuatu akan buat kamu berubah," kata Puan Siti Maryam.

Rokiman diam, dan mengangguk sahaja. Kemudian dia meminta izin untuk tidur. Sepuaka-puaka panas barannya, dia tetap mengamalkan kesopanan dan kesusilaan ketika berhadapan dengan emaknya.

Tidurnya tidak lena. Dia memikirkan kata-kata emaknya tadi, pusing ke kiri tak kena, pusing ke kanan juga begitu. Rokiman bangun dan memijak bantal berkali-kali sebelum melemparkan bantal tersebut atas atap rumahnya.

"Cilakeee, tak ada bantal pulak nak tidur. Cilakeee!" Rokiman bersilat atas tilam kerana terlalu marah.

Rokiman menyimpan baju ke dalam beg. Dia akan mengembara. Selesai berkemas Rokiman melangkah keluar dari rumah. Dia tak peduli walaupun jam menunjukkan pukul tiga pagi. Waktu golongan hantu sedang berpesta. Dua tiga ekor hantu juga yang dia jumpa waktu menuju keluar dari simpang rumahnya. Namun tak ada seekor pun hantu yang berani menakut-nakutkan Rokiman kerana semua golongan hantu tahu Rokiman seorang yang panas baran tak patut.

Rokiman menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Berbekalkan wajah seiras Kapten Mukhriz, dia sempat mengorat seorang makwe ketika bersarapan di hentian sebelah Gombak. Dia dan makwenya itu sama-sama berjalan kaki menuju ke pusat Bandaraya. Mereka berhenti rehat di Tasik Titiwangsa. Berbual-bual kosong. Kemudian makwe Rokiman mengeluarkan telefon dan bermain Candy Crush Soda.

Celaka! Rokiman dikuasai amarah. Makwenya ditolak ke dalam tasik dan dibaham oleh seekor jerung. Dari mana datangnya jerung itu tidaklah diketahui. Rokimanmengamuk, kerana makwenya mendapat free life selama 23 jam 59 minit, dan sudah level 300. Dia hanya mempunyai 5 life sahaja. Masih lagi di level 18. Itupun sudah berbelas telefonnya dihempas.

Rokiman meninggalkan makwenya yang sedang bertarung dengan jerung dan menuju ke Lebuhraya Utara Selatan. Sebelum melintasi Tol Jalan Duta, Rokiman menyemak baki smarttag, cukup untuk pergi ke kedah. Dia melintasi Tol dan terus berjalan kaki menuju ke Utara.

Setibanya di Alor Setar, Rokiman duduk di meja. Datang seorang perempuan mengambil pesanan.

"Minum apa tak tau?" soal perempuan itu dalam loghat kedah yang sungguh pekat.

Rokiman bangun dan berlalu. Perempuan itu memandang Rokiman dengan pandangan sayu. Warungnya dibakar oleh Rokiman. Sayup-sayup kendengaran amarah Rokiman.

"Memang la tak tau, aku belum order lagi! Aku belum oder lagi!" Segala apa yang ada di depannya habis diterajang, cuma anjing tidak diterajang, kerana dia konfius, kalau samak air tanah tujuh kali atau air mutlak tujuh kali.

Setahun pun berlalu.

Rokiman kembali ke rumahnya. Kini Rokiman tidak baran lagi. Dia seorang yang rileks dan pemaaf. Pernah dia mengucapkan terima kasih kepada orang yang melanggarnya sehingga koma. Pernah juga dia meminta maaf kepada pemandu bas kerana telah menekan loceng terlalu lama.

Puan Siti Maryam menangis bila Rokiman menceritakan segala yang telah berlaku ke atas dirinya.

"Maafkan Roki, mak. Akhirnya Roki berubah jua, mak."

Rokiman betul-betul berubah. Sehinggakan setiap permulaan kata-katanya diawali dengan perkataan maaf. Rokiman menghulurkan tangan untuk bersalam dengan emaknya. Puan Siti Maryam masih lagi menangis.

"Ini bukan berubah, Roki. Ini taik lembu," jerit Puan Siti Maryam.

Rokiman ditempelengnya berkali-kali. Satu tendangan 'bicycle kick' juga turut disertakan. Rokiman menangis, duduk bersimpuh di tepi tangga dan berbaju kebaya nyonya.

Cerita PendekCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang