Razak melangkah perlahan pulang ke rumah. Jarak antara rumahnya dan surau agak jauh juga, dan jika bukan di bulan ramadhan jangan harap Razak mahu berjalan kaki waktu malam-penakut nak mampus.
Sambil berjalan, Razak mengunyah koko krunch, entah siapa yang bawa moreh koko krunch ke surau tidaklah dia tahu. Gelap juga malam ni, bisik Razak dalam hati. Namun dia tetap meneruskan perjalanan. Lampu suluh tidak ada, telefon bimbit juga tidak dibawa ke surau. Ada juga niatnya mahu 'live' ketika bersolat tarawikh, namun setelah berfikir baik dan buruk, Razak tidak melakukannya.
Sedangkan tulis status 'done ifthor' di facebook pun Razak mendapat pelbagai kecaman. Sehingga ada netizen dari negara timur tengah meninggalkan komen, 'enta abou shayatiin'.
Celaka betul! Kata Razak lagi. Oh ya, jika mencarut Razak akan betul-betul mencarut. Jika ingin menyebut celaka, Razak akan sebut celaka dengan qolqalah dan makhraj huruf yang betul. Bukan jilake atau buto kerana mengikut fikiran Razak setiap perbuatan dan perkataan haruslah dilaksanakan dengan ikhlas. Samaada menyebut jilake atau buto ianya tetap juga perkataan yang tidak elok dan tidak sepatutnya dituturkan oleh setiap manusia mukallaf yang reti membezakan anak anjing dengan aiskrim tanpa sebab-sebab yang diharuskan menyebutnya. Matlamat tidak menghalalkan cara.
Razak tersenyum. Power juga ilmu didadanya. Razak rasa dia perlu menulis status seperti ini di facebook dan diikuti dengan #donedakwah.
Prakkk! Rakkk! Razak terkejut. Diperhatikan sekelilingnya, hanya kebun getah dan semak samun.
Ah! Takkan ada hantu juga bulan puasa macam gini? Razak menyoal dalam hati. Bulan puasa ini bulan yang banyak kelebihannya. Setan kena ikat. Sebab itu kalau menguap Razak tak tutup mulut, tak ada setan yang masuk mulut. Kadang-kadang Razak juga kencing berdiri, kerana setan tak ada nak mandi air kencingnya.
Ini mesti kerja pencuri nak mencuri getah sekerap ni. Bisik hati Razak lagi. Tanpa membuang masa, Razak menuju ke kebun getah tepi jalan tersebut. Silap-silap jadi hero nanti kalau dapat tangkap pencuri getah sekerap. Razak mula membayangkan seluruh kampung mengucapkan tahniah kepadanya, sehingga diangkat menjadi ketua kampung. Kemudian dia masuk bertanding jadi wakil rakyat. Baju-baju bergambar mukanya dan ditulis #roadtoputrajaya diedar ke seluruh negara. Razak tersenyum lagi ketika membayangkan angan-angannya.
Prakkk! Krakkk! Sepasang mata warna merah merenung tajam ke arah Razak. Razak berhenti dan telan air liur berkali-kali. Kakinya bagai dipaku untuk bergerak. Suaranya tersekat di kerongkong.
Pemilik sepasang mata merah menerkam ke arah Razak.
-----
"Razak, Razakkk. Memang la bulan puasa tak ada setan tak ada hantu. Babi tu ada, nak. Babi tu wujud tak kira bulan ramadhan ke bulan disember." Marah Mak Siti, emak Razak sambil lumurkan air tanah ke tubuh Razak.