Dia, Mr Jodohku

938 53 73
                                        

Issabela tersenyum bila melihat seorang lelaki kacak yang berdiri tidak jauh darinya di ruang pejalan kaki di depan tempat kerjanya. Menarik! Lelaki tinggi, rambut lebat, berjambang nipis, hidung mancung dan dagu sedikit bersegi benar-benar taste-nya. Ditambah pula lelaki tersebut mengenakan seluar slack, berkemeja lengan panjang dan dilipat hingga ke siku. Blazer hitam terlipat kemas di lengannya. Geram rasanya Issabela mahu memeluk bahu lelaki tersebut dan mengajaknya menjadi pasangan bercinta.

Sudah tentu lelaki ini mempunyai kerja yang bagus, sekurang-kurangnya CEO sebuah syarikat. Kata Issabela dalam hati bila melihat lelaki tersebut membimbit briefcase hitam.

Mungkin dia, adalah Mr Jodohku, Issabela tertawa kecil menutup mulutnya dengan tapak tangan. Issabela bukanlah tidak cantik orangnya, sedap juga mata memandang, dan setiap lelaki yang memandang Issabela pasti akan memandang buat kali kedua kerana Issabela gemar mengenakan pakaian seksi. Walaupun gemar berpakaian seksi, berambut sedikit perang, tidaklah membuat Issabela tidak membaca doa ketika makan, dan menukar siaran tivi bila ada rancangan forum perdana hal ehwal islam. Dengan penampilan sedikit kebaratan namun melayunya masih kukuh.

Beberapa kali juga Issabela membuat post di laman cari jodoh, namun banyak yang mengecamnya. Bukan kerana dia meletakkan gambar-gambar seksi, tetapi kerana menulis ciri-ciri lelaki idamannya. Mahu yang kaya, berkereta jenama Honda, handsome- ah bukan Issabela sahaja yang mahukan begini, semua orang dalam dunia mahu begini, tapi entah setan apa yang merasuk mereka, sanggup menulis 'tidak kacak, tidak kaya tak apa, janji baik hati'. Omong kosong!

Lelaki kacak tersebut menenyehkan rokok di lantai pejalan kaki, dia memandang kiri dan kanan, kemudian kembali menyimpan rokoknya ke dalam kotak. Kemudian dia meneguk air dari tin, selepas itu digoyangkan tin minuman tersebut menandakan tin itu sudah kosong. Sekali lagi dia melihat ke kiri dan kanan sebelum menyimpan tin minuman tersebut ke dalam poket blazer-nya.

Cair luluh hati Issabela melihat keadaan itu, sudah la kacak, kaya, penuh kesopanan dan kesusilaan. Tidak membuang sampah merata-rata ini adalah satu nilai-nilai ketimuran yang tinggi, yang tidak semua orang mampu lakukannya.

Lekas-lekas Issabela menghampiri lelaki tersebut. Persetanlah jika ada yang mahu mengatakan dia perigi cari timba, sudu cari kuah atau apa sahaja peribahasa yang sama dengannya, jika tidak memulakan sesuatu manakan dapat sesuatu! Kata Issabela dalam hati seraya melepaskan satu tumbukan padu ke udara.

"Hai, saya Issabela, you panggil je, Bella." Issabela hulurkan tangan mahu bersalam.

"Hai, saya Johan, Johan Wahik. Ada apa, ya?" Seraya menyambut salam dan tersenyum.

Kacaknya! Issabela rasa seperti mahu menggigit pipi Johan Wahik kerana ada lesung pipit. Namun ditahannya.

"I dah jatuh hati dengan you, dengan sikap you. Sungguh sopan, tidak membuang sampah merata-rata. Kalau you sudah ada makwe, putuslah boleh kita kapel berdua. Hikhikhik!" Kata Issabela, berterus terang.

Wajah Johan Wahik sedikit berubah pucat. Halkumnya bergerak berkali-kali menandakan dia kehabisan air liur mahu berkata-kata.

"Alahhh, you ni malu pulak," sambung Issabela seraya menepuk bahu Johan Wahik dan berpusing tubuh membelakangkan Johan Wahik serta menyelitkan rambutnya di telinga menunggu tawarannya diterima.

"Oh, rokok saya tinggal sebatang je, tu yang saya padam simpan semula. Tin tu pulak saya kumpul sebab nak jual. Ingat senang ke nak cari duit sekarang ni. Kos hidup tinggi, minyak naik, bawang merah, tepung gula, susu, baju ni pun saya sewa, nak pergi temuduga, tak dapat pulak tu. Anjing...."

Issabela menangis dan terus berjalan laju.

Cerita PendekTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang