Berbuka Dengan Makwe II

1K 16 7
                                    

Makwe Roni menongkat dagu dengan kedua tapak tangan. Matanya bercahaya melihat Roni yang sedang galak menyusun makanan atas meja rumah makan.

Ikan bakar air asam, Roni letak di tengah tengah. Di sekeliling ikan bakar, Roni aturkan kangkung goreng ikan masin, telur bistik, sup tulang dan sambal belacan. Udang goreng celup tepung Roni letakkan sedikit jauh dari pinggangnya. Bagi Roni, udang adalah keturunan terakhir Predator yang berkahwin dengan belangkas tanpa restu dari kedua orang tua belangkas. Maka, perkara yang tidak mendapat restu tidaklah boleh dimakan. Itu pendapat Roni, pendapat orang lain Roni tak mahu peduli.

Setelah berpuas hati dengan susunatur makanan di atas meja, Roni menyusun pula kuih muih. Kuih kaswi Roni letak di hadapan pinggan nasinya. Kuih lepat ubi Roni letak di sebelah pinggan nasi makwenya.

Lebih kurang 10 minit lagi, azan maghrib akan berkumandang. Makwe Roni bertanya,

"Semalam awak tak puasa sebab gastrik, hari ni awak tak puasa sebab sakit perut dan muntah muntah, kan?"

Roni mengangguk.

Makwe Roni tersenyum. Baginya, Roni tidak seperti laki laki lain, bercakap bohong mengatakan berpuasa bila makwe ajak berbuka. Ini yang buatkan makwe Roni mula mencintai Roni dengan lebih padu. Roni seorang laki laki yang jujur dan berterus terang dalam perhubungan. Makwe Roni senyum sekali lagi dan bertanya,

"Sebenarnya dah berapa hari awak tinggal puasa?" Sambil merenung ke dalam mata Roni.

"Baru sehari," jawab Roni.

Makwe Roni terkejut. Wajahnya sedikit merona, kerana tidak menyangka Roni akan menjawab sedemikian dan tanpa rasa bersalah.

"Semalam tak puasa, hari ni pun tak puasa...." Kening makwe Roni berkerut.

"Oh, semalam saya tak puasa separuh hari, hari ni pun saya tak puasa separuh hari. Maknanya, satu hari la," jawab Roni.

Makwe Roni mengangguk. Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, makwe Roni menjamah buah kurma dan meminta izin untuk ke tandas. Roni mengangguk dan tersenyum.

Sampai pukul 10 malam Roni tunggu makwenya kembali dari tandas, namun tak juga muncul.

Cerita PendekWhere stories live. Discover now