6 [SOFI]
Aku menyua berus gigi ke mulut apabila terdengar bunyi notifikasi masuk, aku bergerak ke ruang kamar tidur dari dalam bilik air. Berus gigi aku biar tergantung, membiarkan sensasi dingin ubat gigi meresap ke lidah.
Telefon di birai katil aku capai lalu aku buka notifikasi aplikasi tersebut.
+ Sofi, hari ni Jake dah boleh discharge!
Membulat mataku. Wajahku terus naik berseri. Dua tiga kali aku membaca satu text dari Jane itu. Kalau-kalau aku ada tersalah baca, tak... Betul.
"Oh!"
Laju jariku menaip di papan kekunci. Sebelum sempat aku menekan butang hantar, satu lagi text dari Jane itu buatkan seri aku hilang sekelip mata.
+ tapi... Tapi esok kita berangkat ke Brisbane. Kakak nak bawak dia balik, mama nak jaga kat sana.
Lagi sekali aku membaca text itu berkali-kali. Betul lagi. Walaupun aku berharap sebaliknya.
"Oh..." mengendur suaraku.
Aku mencampak pandang ke luar pintu kaca, menampakkan panorama jalan raya yang tidak pernah berehat itu.
Berehat...
Berehat....
Biar la Jake berehat. Dia kena berehat, lagi pun dia dah penat sangat duduk di sini. Pujuk hati kecilku.
Tapi,
Tapi....
Entah kenapa pandanganku tiba-tiba menjadi kabur.
Telefon diangkat lalu aku mencari satu nama di sejarah talian. Jumpa. Nama itu aku mendail, menunggu seketika, lalu diangkat di sebelah talian.
"Hello?"
"Ma," bergenang air mataku. Aku rasa sebak yang luar biasa menghuni.
"Hari ni kakak balik." putusku.
Wajah mama tersembul sebaik pintu utama dibuka dari dalam. Seperti biasa mama menyambutku dengan sebuah pelukan hangat. Aku tahu mama rindu, cuma mama tidak pernah menzahirkan dengan kata-kata.
"Kau dah makan belum ni, kak?" soal mama. Beg pakaian aku diletakkan di tepi pintu dulu.
"Dah, ma."
"Bohong," wanita lanjut usia itu terus menampar bahuku.
"Mama ada masak sikit. Makan sekali kak, ayah dengan abang ada sekali ni."
Aku baru membuka mulut, tapi jujur tiada apa-apa ayat melintas fikiranku. Awalnya aku hendak menolak, tetapi selepas melihat wajah berseri mama itu, aku terus mati akal.
"Okey, ma. Kakak masuk bilik kejap."
"Okey, okey. Nanti mama panggil!" sahut mama.
"Eh,"
Aku mengangkat satu tubuh genit milik anjing berbaka Teacup Pomeranian itu dari terus menggesel kaki. Seakan-akan menghalang dariku meloloskan diri ke dalam bilik.
"Hello, Bogum!"
Mama aku minat Park Bogum gila babi. Itu je penjelasan di sebalik nama anak anjing belaan keluarga ni.
"Dia dah makin nakal kak. Hari tu habis pokok mama tumbang dia buat parkour!" suara mama dari ruang dapur. Aku hanya mengekek. Si Bogum ni dari dia kecil aku dah nampak bias-bias potensi kenakalan dia. Jadi tak hairan la macam-macam cerita pasal dia mama tukang mengadu ke aku.
"Amboi, dia. Suka eh buat onar? Suka eh? Awak dah mamam belum? Dah makan shnek belum???"
Aku gomol-gomol hidung ke mukanya. Geram, gebu sangat bulunya. Si Bogum pula makin rancak ekornya menari.
"Hah, awak belum mamam? Jom mamam!"
"Eh! Dia baru je makan tadi. Kau jangan pandai-pandai, kak!"
"Muka macam lapar je, ma! Kesian kakak tengok,"
"Dia tu memang kuat eksyen! Baik kakak tolong mama hidang ni. Sekali makan je nanti,"
Bogum aku kepit ke ketiak. "Nak main dengan Bogum sekejap!"
"Nanti-nanti la! Sini tolong meh,"
Aku mengeluh malas. Rasanya abang pun ada juga kat biliknya. Kenapa mama tak panggil?
"Okey, ma. Kejap." perlahan-lahan aku turunkan Bogum.
"Duduk sini diam-diam okey. Kalau nak buat khianat, awak pergi gigit bontot abang okey?"
Seakan faham, Bogum terus beredar dari ruang tamu. Pergi ke mana, aku tidak tahu. Mungkin hendak menjalankan modus operandi yang diarahkan tadi.
Baru sahaja aku hendak menapak ke ruang dapur, perhatian aku beralih ke arah satu bilik. Pintunya diselak dari dalam.
Pabila muncul wajah papa di muka pintu, senyuman aku terus hilang.
