Pintu tempat pengumpulan para pembunuh upahan dibuka. Masing-masing melihat ke arah tiga orang manusia yang masuk ke dalam bangunan itu. Mereka kelihatan sedang berbisik-bisik sambil melihat ke arah tiga orang manusia itu. Jauhari hanya mengabaikannya walaupun dia dapat mendengar dengan jelas.
"Apa Kitsune buat dekat sini? Tak akan la dia nak ambil job di sini?"
"Dah lama aku tak nampak dia dalam kawasan ni. Dia cari orang lagi ke?"
"Siapa mereka berdua tu? Mana pelajar dia yang dia selalu bawa tu?"
Jasmin menghampiri Jauhari lalu berbisik. "Terkenal juga kau ni, ya?"
"Terkenal sebab selalu buang masa dalam kawasan ni," katanya perlahan.
Langkah mereka berhenti di hadapan kaunter pertanyaan. Di situ terdapat seorang lelaki berwajah bengis dan bermisai tebal. Dia sedang membersihkan pistol miliknya di kaunter tersebut.
"Nak apa?" tanya lelaki itu kepada mereka.
Jauhari mengeluarkan kipas tangannya lalu membukanya. Terpapar lambang milik Kitsune pada kipas tersebut. Lelaki itu terus berhenti membersihkan pistolnya. Dia berdiri lalu mengacukan pistol tersebut pada dahi Jauhari. Jasmin dan Unknown bersiaga.
"Siapa hantar kau ke sini?" tanya lelaki itu.
"Aku ke sini bukan untuk kepala ketua kau. Masa dia masih panjang selagi dia tak masuk campur urusan aku," kata Jauhari dengan berani.
"Jadi, apa kau nak?"
"Aku nak jumpa dia untuk cari seseorang."
"Siapa?"
"Kau tak perlu tahu." Muncung pistol ditolak ke tepi.
Lelaki itu melihat ke arah mereka berdua di belakang Jauhari. "Hanya kau boleh naik. Mereka tunggu sini." Pistol disimpan disebalik jaket.
Kipas tangan ditutup. "Ya. Aku faham."
"Tak apa kau naik seorang? Manalah tahu kalau..."
Kata-kata Unknown dipotong oleh Jauhari. "Jangan risau. Kita datang bukan nak gaduh."
"Baiklah," kata Jasmin.
Mereka melihat Jauhari mengekori lelaki itu ke arah lif untuk ke tingkat dua. Kemudian, suasana sekeliling dilihat. Mereka mencari tempat untuk duduk sementara menunggu Jauhari.
***
Saber memerhati rakaman CCTV di sebuah hotel. Dia hanya mampu melihat kawasan koridor kerana di dalam bilik tiada CCTV. Rakaman kamera pada alat komunikasi pula hanya boleh dilihat selepas diselongkar. Dia hanya mampu mendengar suara Ian dan Vincent sahaja tetapi jarang sekali mereka bercakap.
Macam ada sesuatu tak kena. Kenapa mereka lama sangat senyap? Bercakap pun pasal benda tak penting. Lama juga mereka ada dalam bilik tu. Buat apa? Suara pun tak dengar. Aku kena cek rakaman nanti.
Saber berfikir sejenak tentang kecurigaan itu. Dia tidak mengenali mereka terlalu lama. Maka, dia tidak tahu tentang hal peribadi mereka. Dia hanya tahu bahawa mereka berdua merupakan pembunuh profesional milik Crown Legacy.
"Ian. Jom singgah McD kejap. Aku lapar la." Suara Vincent kedengaran melalui alat komunikasi yang dipakai oleh Saber. Dia memang sengaja memberi fokus kepada dua manusia itu.
"Aku tak tahu sangat kawasan ni," kata Ian.
"Kejap aku tanya Pakcik Google."
Sempat lagi singgah beli makanan. Macam mana kalau orang tu sedar nanti?
YOU ARE READING
A.K.U : BLACK CAT
Mystery / ThrillerSeramai enam orang ahli baru telah dipilih untuk menyertai satu misi khas dalam sebuah organisasi bernama Eagle Eyes Spectral (EES). Terdapat seorang manusia unik terlibat dalam kumpulan Falcon, Syam Syahrul Azmi. Dia terkejut apabila dirinya didap...