P R O L O G

171 14 0
                                    

SEBUAH teksi berhenti betul-betul di hadapan rumah teres dua tingkat. Sepanjang perjalanannya tadi, pelanggan di dalam teksi itu tak putus-putus mengucapkan syukur kerana dia sudah bebas. Dalam kepalanya kini hanya memikirkan ahli keluarganya. Walaupun belum sampai 72 jam dia menghilang, tetap dia rasa gembira dan tak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarganya. Rindunya kepada famili sudah membukit tinggi.

Seorang gadis keluar daripada perut teksi itu selepas membayar tambangnya. Penampilannya mungkin nampak tidak semenggah. Tubuhnya masih tersarung dengan pakaian maskot. Tangannya pula sedang menjinjing kepala maskot panda.

Dia sendiri tidak tahu bagaimana rupanya sekarang. Mana ada masa untuk dia menatap dirinya depan cermin. Yang dia fikir hanyalah untuk pulang.

Ayah, mak, abang... Nana dah balik. Setitik dua air mata yang mengalir dikesat.

Lama dia berdiri pegun di hadapan pintu pagar rumah. Cuba membaca keadaan yang asing bagi dirinya. Kenapa banyak kenderaan di perkarangan rumah? Kenapa banyak selipar dan sandal pelbagai warna di hadapan pintu rumah? Apa yang dah jadi?

Dia mula rasa tak sedap hati. Dia berlari-lari anak menuju ke pintu masuk untuk tahu apa yang telah terjadi sepanjang ketiadaannya.

Serta-merta kepala maskot yang dibawa kehulur-hilir tadi jatuh bergolek ke tanah apabila matanya melihat apa yang berlaku. Sama seperti hatinya yang gugur saat menerima perkhabaran buruk itu.

Tak mungkin... Itu yang berbisik dalam hatinya. Menolak untuk percaya sama sekali.

Perlahan-perlahan gadis itu mendekati sekujur tubuh di tengah-tengah ruang tamu itu. Sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa, yang sudah dibalut dengan kain putih.

"Ayah? Ayah... Bangunlah," rintihnya penuh sayu.

Kulit ayahnya sejuk.

Dipeluk cium penuh rasa rindu dan sayang jasad yang tidak lagi bernyawa itu.

Langsung tidak dipedulikan tetamu-tetamu lain di sekelilingnya yang sedang menghadiahkan Surah Yasin kepada sang mati. Tidak diendahkan mata-mata yang memerhatikan perilakunya yang mungkin nampak tak elok di mata sesetengah manusia.

"Ayah takkan tinggalkan Nana, kan? Ayah..." Berkali-kali dia panggil nama itu namun tiada sahutan. Membuatkan dia perlu terima kenyataan bahawa kini dia hilang belaian dari seorang lelaki bergelar ayah.

Dia hilang tempat bermanja.

Selama-lamanya.

Sedang dia merintih kesedihan, ada tangan yang menarik lengannya. Memaksa gadis itu untuk berdiri. Dia diheret dan ditolak kasar oleh seorang wanita yang berumur separuh abad keluar dari rumah tersebut. Tak ambil kesah pandangan tetamu terhadap aksinya. Nana jatuh tersungkur atas lantai.

"Eh, jangan nak buat malu aku dengan menangis-nangis depan jenazah suami aku. Sebab kau ayah kau jadi macam tu kau tahu? Tak payah tunjuk muka kau dekat sini. Baru sekarang kau reti nak balik pun tak guna juga. Pergi main jauh-jauh." Terkacip-kacip gigi wanita itu saat menutur kata.

Tak pernah dalam sejarah hidupnya dia dihalau begitu. Tambah pula dia dihalau oleh ibu kandungnya sendiri.

Sekelip mata, ibunya berubah menjadi lebih garang. Tak pernah dia nampak ibunya semarah itu.

Tersentak Nana bila dia dituduh menjadi penyebab kepada kematian bapanya. Atas dasar apa?

Mustahil... Air matanya gugur makin laju. Gadis itu memeluk betis ibunya erat sambil duduk bersimpuh. Nana menengadah memandang raut wajah bengis ibunya.

"Mak, jangan buat Nana macam ni. Nana nak tengok ayah. Na... Nana kena culik. Ada orang buat Nana. Nana bukan sengaja tak nak balik, mak." Nada suaranya seolah-olah merayu. Dipukul-pukul dadanya demi menunjukkan kesungguhan dalam ceritanya. Dia mahu ibunya percaya.

Dia belum puas menatap jenazah ayahnya buat kali terakhir. Mata ayah yang tak mungkin akan celik lagi. Ayah dah pergi buat selama-lamanya...

"Mak! Mak! Mak, kenapa buat adik macam ni?" Seorang lelaki cuba meleraikan pertelingkahan itu. Pertelingkahan yang tak sepatutnya berlaku pun pada hari yang penuh duka cita seperti ini.

Lelaki itu berdiri di antara ibu dan adik perempuannya. "Mak, adik mesti ada sebab kenapa dia tak balik, mak. Kita boleh bincang baik-baik. Mak tak kesian ke dekat adik? Tengoklah keadaan dia macam mana. Jangan marah-marah macam ni, mak. Malu kat orang."

Dia memohon supaya ibunya tidak membuat kecoh pada waktu begini. Tak sedap dipandang oleh jiran tetangga. Lelaki itu kalihkan pandangan kepada adiknya pula. Matanya penuh dengan rasa simpati. Barangkali sedang berfikir siapa yang sudah menganiaya adiknya sehingga jadi begini.

Lihat saja pada wajahnya. Ada kesan lebam dan sedikit kesan darah di sudut bibir.

"Aku lagi malu ada anak macam dia ni. Kau bawa dia pergi!" Herdik wanita tua itu lagi. Terus dia memusingkan tubuhnya dan berlalu pergi.

Lekas dia menghulurkan tangan bagi membantu adiknya yang sedang bersusah payah untuk bangkit. Ditarik batang tubuh Nana ke dalam pelukannya, menjadi bahu kepada adiknya untuk bersandar dan menangis. Meskipun dia juga rasa ingin meraung sekuat hati, tapi ditahan sehabis baik. Hanya kerana dia anak lelaki dan anak sulung. Dia harus kuat demi keluarganya.

"Nangislah, dik. Nangis puas-puas. Abang ada." Tak putus-putus dia memujuk adik perempuannya itu.

" Tak putus-putus dia memujuk adik perempuannya itu

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
MASIH ENGKAU | OGWhere stories live. Discover now