M E | 0 1

150 12 0
                                    

HARI Jumaat, tepat jam sembilan malam. Malam hujung minggu sudah pasti dataran ini akan menjadi tumpuan manusia sejagat. Tidak dapat dinafikan kemeriahannya. Sama ada keluarga, pasangan kekasih atau kawan-kawan. Masing-masing dengan tujuan yang sama, untuk menghiburkan diri. Orang-orang yang menjemput rezeki di tapak itu juga tidak kurang ramainya.

Ada yang menjual pelbagai jenis air. Ada yang menjual makanan kudap-kudapan. Ada yang menjual khidmat kereta mainan dan servis buih sabun gergasi. Masing-masing berusaha untuk mendapatkan wang saku secara halal. Kebanyakan mereka sudah berada di situ sejak petang lagi.

Di tengah-tengah lautan manusia itu ada satu maskot panda yang menarik perhatian umum terutamanya kanak-kanak. Kejap-kejap dia buat gaya sedang ketawa dengan meletakkan tangannya di mulut. Kejap-kejap dia mula menepuk-nepuk tangan.

"Hai, adik. Comelnya adik ni. Adik nak belon?" Penuh ceria suara di sebalik maskot itu menegur kanak-kanak.

Ada masa dia mengagah-agah anak-anak kecil yang melintas di hadapannya. Sudah menjadi tugas dia sebagai maskot. Kecomelan gaya maskot itu berjaya membuatkan mereka tersenyum gembira. Juga begitu, ada sesetengah budak kecil yang menangis kerana takut barangkali. Perkara yang biasa dilihat oleh insan di balik maskot tersebut. Sekali-sekala ada tangan yang menghulur wang seikhlas hati apabila bergambar dengan maskot tersebut.

Di tapak yang sama, dapat juga didengari suara individu sedang menyanyi. Dalam erti kata lain, aktiviti busking. Kumpulan itu siap dilengkapi dengan pelbagai instrumen muzik. Merdu suara si vokalis menyapa halwa telinga manusia-manusia di kawasan itu. Ada kalanya beberapa orang awam singgah sejenak demi menonton persembahan yang disajikan.

Tiba-tiba, suasana yang ceria tadi bertukar kecoh.

"Tolong! Ada orang curi beg saya!" jerit seorang wanita yang berjaya menarik perhatian orang ramai.

"Woi! Berhenti!"

"Kejar dia, weh! Kejar!"

Maskot panda itu turut terkaku melihat senario yang berlaku di depan matanya. Ada orang kena ragut! Maka terjadilah aksi kejar-mengejar tak ubah macam dalam filem aksi. Seorang hero yang sedang berlari mengejar si pesalah dari belakang.

Dari jauh, sempat maskot panda itu meneliti si pesalah yang nampak sihat tubuh badan. Elok kudratnya tapi memilih untuk menyamun. Dia geleng kepalanya sendiri.

"Aduh!" Maskot panda itu melirih kesakitan. Dia jatuh terduduk bila lelaki berambut gaya bun secara tidak sengaja melanggar bahunya tatkala mengejar penyamun tadi. Lelaki itulah hero tadi, berlari berkejaran ala-ala polis dalam cerita Gerak Khas.

Tak lama selepas itu, suasana gamat dengan bunyi tepukan daripada orang ramai. Nampak gaya hero tadi dah berjaya menangkap si penjenayah. Itu andaian daripada insan di balik maskot panda itu. Penyamun manalah yang bijak nak buat masalah di tempat awam yang ramai orang begini. Memang sengaja menempah tiket VIP pergi lokap ke apa?

Sekarang ini maskot itu menghadapi kesukaran untuk bangun semula. Terasa kepala maskot itu menambah beban kepada dirinya untuk berdiri. Tak ada orang nak tolong aku ke? Huaaa...

Samar-samar pemandangannya dari dalam maskot, ada satu tangan yang baik hati membantunya untuk berdiri. Tanpa ragu maskot itu menyambut tangan baik itu.

"Sorry, aku terlanggar kau tadi. Tak sengaja. Ada sakit dekat mana-mana ke? Kut aku boleh bawa kau pergi klinik." tanya jejaka itu prihatin. Terasa dirinya bertanggungjawab atas sebarang kecelakaan pada maskot itu jika ada.

"Tak apa. Saya ok." jawabnya, tak mahu membesarkan isu.

Yang sakit sekarang cumalah punggungnya. Mujur badannya berbalut pakaian maskot. Tidaklah terluka mana-mana anggota badannya. Selain membantu mencari rezeki, maskot itu juga telah menjadi pelindung kepada tuannya. Ada lagi faedah lain, orang tak tahu ekspresi muka dan identiti dia di dalam maskot itu. Saham malu pun tak dapat sebab dah jatuh depan orang ramai tadi.

MASIH ENGKAU | OGWhere stories live. Discover now