M E | 1 5

99 13 2
                                    

SATU peti ais diselongkar Tiyara demi mencari bahan mentah untuk masak makanan tengah hari. Habis setiap sudut peti ais dia geledah sambil terbongkok-bongkok. Tapi yang dia jumpa cumalah telur, ayam mentah dan nuget sejuk beku. Bawang dan cili hidup pun tinggal beberapa biji dan batang sahaja.

Melihatkan keadaan peti ais dan dapur rumah ini, kini dia mengerti kerisauan yang bertandang dalam hati Mak Da. Patutlah wanita itu susah hati jika dia tidak menjengah ke sini.

Maklumlah... Rumah orang bujang.

Dia bangkit daripada duduk bertinggung. Kepalanya digaru, pening memikirkan apa yang boleh dimasak dengan bahan terhad seperti ini. Tiyara termenung sendiri. Menu paling mudah yang boleh dia masak ialah nasi goreng. Tapi sarapan tadi baru aje dia hidang nasi goreng kepada Indra dan Emir.

Balun sajalah. Kira ok la daripada atas meja makan kosong. Dengan itu, Tiyara memulakan misi memasak nasi goreng.

Siap nasi goreng campak-campak versi Tiyara, hasil daripada titik peluhnya selepas berperang dengan kuali dan senduk di dapur. Belum campur lagi tadi dia pecahkan telur tembelang. Mujur dia pecahkan dulu dalam mangkuk berasingan. Tidaklah rosak masakan dia.

Apron yang dipakai, ditanggalkan daripada tubuh. Ingin menuju ke rumah dua. Hendak memanggil putera raja supaya bertandang ke sini untuk santapan tengah hari.

Pintu bilik pejabat Indra diketuk dua kali sebelum tombolnya dipulas. Selamba dia masuk walaupun Indra belum memberi isyarat. Tiyara berdiri di depan meja Indra.

"Tuan, sibuk sangat ke?" Tiyara bertanyakan soalan yang sudah terang lagi bersuluh jawapannya. Dia sendiri boleh nampak betapa bersepahnya atas meja kerja Indra dengan lukisan-lukisan bangunan yang semestinya tidak difahaminya. Wajah lelaki itu pula tidak usah dikata. Terserlah seribu satu masalah yang tidak boleh dibantu oleh Tiyara.

"Straight to the point, Tiyara Nafeesa." Indra berkata tanpa memandang wajah gadis itu. Fokusnya cuma pada lukisan di hadapannya. Tiada masa untuk dia memanjangkan perbualan yang dianggapnya tidak penting.

"Saya dah siapkan makanan tengah hari. Jomlah, makan. Dah pukul satu tengah hari dah."

Barulah lelaki itu menengadah memandang jam dinding bertentangan dengan tempat duduknya. Cepat betul masa berlalu.

"Okey. Kejap lagi aku datang," balas Indra ringkas. Dia ingin kemaskan dulu mejanya yang berterabur dengan pelan-pelan bangunan.

Berikutan jawapan daripada Indra, Tiyara melangkah keluar meninggalkan bilik pejabat. Menunggu lelaki itu di ruang makan. Dia tidak mahu mengganggu waktu lelaki itu.

Tiyara berdiri memandang nasi goreng yang baru dihidang di atas meja makan. Dia tersenyum bangga. Tak sia-sia dia belajar masak nasi goreng daripada ibunya dulu. Walaupun rasanya tak serupa dengan masakan ibunya, tapi oklah untuk mengenyangkan perut.

"Tahniah, Tiyara. You did a very good job." Tiyara menepuk tangannya tiga kali, meraikan kejayaannya.

Kebetulan, kelibat Indra sampai di ruangan dapur itu. Raut wajahnya menyeringai hairan melihat gadis itu bercakap seorang diri. Spontan dia memicingkan mata sambil menggeleng sekali.

Hai... Tiyara... Tiyara... Ada saja perangai pelik yang dia buat.

"Dah tak ada orang ke dalam rumah ni sampai kena bercakap sorang-sorang?" Sempat dia menyindir sebelum mengambil tempat di meja makan.

"Ada orang pun, bukannya dia nak bercakap dengan kita." Si gadis tak nak kalah, selamba dia membalas.

Terus Indra panggung kepala mendengar jawapan Tiyara. Budak ini memang pandai melawan kata.

MASIH ENGKAU | OGWhere stories live. Discover now