M E | 1 7

100 17 1
                                    

TANGAN ditadah meruntun doa kepada Tuhan. Bersungguh-sungguh Tiyara berdoa sambil memejam mata. Semoga semua urusannya dipermudahkan. Terasa tenang hatinya tatkala meluangkan masa melakukan ibadah wajib itu. Belum sempat dia menghabiskan doa, bunyi nyaring loceng memecah sunyi di rumah banglo dua tingkat itu.

Berkali-kali loceng rumah dibunyikan, langsung tidak ambil peduli akan ketenteraman manusia di dalam rumah.

Kedua tapak tangan yang ditadah tadi segera diraup pada muka. Kelam-kabut Tiyara membuka telekung dan dibiarkan dulu di atas sejadah. Tudung pula disarung ala kadar sebelum melangkah ke luar rumah. Cukup dengan hanya ekor tudung bawalnya diselimpang ke bahu kiri. Ingin menyambut tetamu yang sepertinya kurang sifat penyabar. Gamaknya, ada melibatkan hal penting.

Tiyara mendecit halus. "Siapa pula yang datang waktu macam ni?"

Pintu pagar automatik Tiyara buka. Muncul wajah baru yang tidak pernah Tiyara nampak. Dia terpempan seketika saat bersua muka dengan tetamu itu. Susuk wanita di hadapannya sekarang nampak mahal. Lihat saja beg tangan berjenama yang dibimbitnya. Wanita itu mengenakan sepasang blazer dan seluar slek sama warna, menonjolkan auranya sebagai seorang wanita bekerjaya.

Mungkin ini antara client yang mempunyai urusan dengan Indra, duganya. Tapi bukankah sekarang ini waktu rehat? Kut ya pun, tunggulah waktu rehat tamat. Tiyara pelik dengan kehadiran wanita ini yang tak kena masa. Biarpun begitu, tetap dia mempamer senyum supaya tidak nampak sombong. Tambahan pula dia bukan sesiapa di rumah itu. Cuma kuli yang bila-bila sahaja boleh menapak pergi.

Cermin mata hitam yang tersemat elok di atas batang hidungnya ditanggalkan lalu disimpan ke dalam beg tangan berjenamanya. Rambut ikal mayangnya pula diselit ke belakang telinga. Makin terserlah kecantikan wanita itu.

"Ya, cik. Cik cari siapa, ya?" Setelah beberapa saat terpegun sendiri, baru Tiyara rajin menanya tujuan wanita cantik itu datang ke sini.

"I nak jumpa dengan Indra. Dia ada?" Wanita itu membalas senyuman Tiyara.

Baru saja Tiyara ingin membuka mulut, wanita itu terlebih dahulu melangkah masuk ke dalam kawasan rumah Indra. Selamba dia berjalan menonong melepasi Tiyara. Siap dilanggar bahu kanan Tiyara.

"Eh! Tapi cik, sekarang waktu rehat." Tiyara cuba menahan, tapi tidak dilayan.

Tiyara masih lagi memilih untuk bersangka baik. Mungkin wanita itu sudah membuat janji temu dengan Indra. Ataupun dia orang memang rapat. Tak pun, perempuan itu sebenarnya teman wanita Indra. Dan kerana itulah perempuan itu buat rumah ini macam rumah sendiri.

Bervariasi sebab munasabah disenaraikan buah akalnya kenapa wanita itu berada di sini. Tiyara menggeleng kecil lalu mempercepatkan langkah demi menyaingi wanita itu. Pintu masuk rumah dikuak luas, menjemput tetamu masuk.

"Tiyara, siapa yang datang?" Indra menyoal. Tepat pada waktunya, Indra muncul bersama wajah yang berkerut-kerut. Bengang dia bila ada manusia yang tidak penyabar sampai tekan loceng berkali-kali.

Bingit! Terganggu rehatnya. Datang rumah orang tapi terlupa bawa adab sekali.

Emir turut berada di sebelah Indra. Baru turun daripada tingkat atas. Entah bila lelaki itu pulang dari tempat kerjanya. Mungkin waktu Tiyara sedang menunaikan solat. Masing-masing tayang muka kurang senang.

"Tuan, ada orang datang. Dia kata nak jumpa, tuan." Terus Tiyara melaporkan kehadiran wanita yang dikenalinya itu.

"Tapi aku tak ada buat apa-apa appointment pun hari ni."

Tidak semena-mena wajah hairan Indra bertukar marah tatkala wanita tadi memunculkan diri dari belakang Tiyara. Hanya kepala yang dijengah keluar. Tapi sudah memadai bagi membangkitkan amarah Indra.

MASIH ENGKAU | OGWhere stories live. Discover now