"ASSALAMUALAIKUM." Tiyara memberi salam sedikit kuat sembari kekura tangannya mengetuk pintu kayu itu beberapa kali. Secara rasmi, harinya telah tiba dimana dia bekerja sebagai pembantu peribadi kepada Indra Hayyanshah. Beberapa saat menunggu, terpampang satu muka yang asing di layar mata Tiyara.
Tanpa perlu disoal, wanita di hadapannya terlebih dahulu membuka mulut.
"Tiyara, ya? Marilah masuk," pelawa wanita itu yang Tiyara kira umurnya awal lima puluhan. Lebar senyuman wanita itu menerima kedatangannya.
Tiyara sekadar mengangguk. Meskipun terbit rasa pelik dalam hati, tetap dia menurut ajakan wanita itu. Tiyara menggosok belakang tengkuknya. Terasa canggung pula. Entah ke mana langkah wanita ini ingin membawanya.
Drastik kaki Tiyara berhenti apabila tiba di meja makan. Ada dua pasang mata sedang memerhatikan dia. Masing-masing sedang menikmati hidangan di dalam pinggan. Hujung bibir Tiyara naik mengukir senyum. Seperti biasa, Emir yang ramah membalas senyuman Tiyara.
Orang yang duduk bertentangan dengan Emir pula sudah tentu dengan sifat dinginnya. Fokus lain macam mata dia pada makanan.
Sempat dia memerhati pakaian Indra yang serba hitam. Sama macam semalam. Gamaknya dia memang peminat rona hitam.
Ok... Sekarang dia kena buat apa? Tengok aje ke tuan rumah makan sambil berdiri? Sepuluh jari kaki Tiyara sudah tak reti duduk diam. Asyik digesel antara satu sama lain.
"Tiyara, duduk sini. Makan sekali dengan Indra dan Emir ni." Wanita separuh abad tadi mempelawa Tiyara supaya duduk sekali di meja makan. Seraya itu dia menuang air teh ke dalam cawan. Disorong cawan beralaskan piring kecil itu ke ruang meja yang kosong di sebelah Emir.
Namun laju kedua tangan Tiyara diangkat. Digerakkan ke kiri dan kanan, menolak niat baik wanita itu. Walaupun, mi goreng dalam mangkuk yang terletak di atas meja itu sangat membangkitkan selera Tiyara.
"Eh, tak apa. Saya dah sarapan tadi."
Mana mungkin dia duduk sekali dengan tuan rumah. Dia masih sedar diri, dia cumalah pekerja bawah naungan Tuan Indra. Bukankah kebiasaannya juga begitu? Mana ada majikan ingin perkerjanya makan sekali bersama-sama.
"Eh, janganlah macam tu. Minum pun jadilah." Wanita yang Tiyara tidak kenali itu bersuara lagi.
"Orang dah ajak tu, duduk ajelah. Jangan tolak rezeki." Suara garau yang sangat dikenali Tiyara itu menerpa gegendang telinganya.
Mata Tiyara dialihkan kepada Indra yang beriak selamba. Cawan dibawa ke bibirnya dan penuh hati-hati dia menghirup air panas itu. Mahu tak mahu, gadis itu menurut. Dia tahu, setiap perkataan yang keluar daripada kotak suara Indra adalah satu arahan.
Kerusi di sebelah Indra ditarik keluar dari bawah meja makan perlahan-lahan supaya tidak mengeluarkan bunyi. Cawan air teh tadi turut Tiyara tarik ke arahnya. Dihirup penuh hati-hati kerana suhunya yang masih panas.
Oh, jangan salah faham. Dia duduk sebelah Indra bukan kerana hendak menggatal. Dia tak sanggup nak duduk sebelah Emir sebab nanti dia akan berlaga mata dengan mamat singa itu. Jadi, Tiyara rasa duduk bersebelahan begini lebih elok kut.
Itu pun kerusinya sudah dianjak jauh daripada tempat duduk Indra awal-awal tadi. Tapi... Rasanya ini bukan pilihan yang terbaik. Dia masih dapat rasa ada panahan tajam daripada Indra di sebelah.
Baru beberapa minit Tiyara duduk di meja makan, Indra sudah mengangkat punggungnya jauh dari tempat duduk. Terpinga-pinga Tiyara juga bangun. Kenalah ikut bos, kan? Hai... Sungguh dia bingung dengan skop kerjanya sendiri. Ada bos pun jenis yang berat mulut pula tu.
YOU ARE READING
MASIH ENGKAU | OG
Random𝐌𝐚𝐬𝐢𝐡 𝐄𝐧𝐠𝐤𝐚𝐮 | 𝐎𝐧𝐠𝐨𝐢𝐧𝐠 "Sudi tak kau peluk aku sampai hujung nyawa?" -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲𝐲𝐚𝐧𝐬𝐡𝐚𝐡 "Tak sudi. Mana boleh. Kita bukan mahram, haram." -𝐓𝐢𝐲𝐚𝐫𝐚 𝐍𝐚𝐟𝐞𝐞𝐬𝐚 "Kau jangan buat-buat bengap." -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲�...