TIBA-TIBA gelak Tiyara terhambur keluar. Pertama kali dia nampak sisi Indra yang ini dia jadi geli hati. Beria-ia menjelaskan sesuatu perkara. Cuping telinganya memerah, itu yang paling tak tahan. Kerana marah atau malu akan perbuatan sendiri?
Indra menjeling sekilas kepada Tiyara di sebelah bersama kerutan yang masih singgah di dahinya. Hatinya mula berputik rasa marah. Kira untung dia mahu tolong menghantar perempuan itu ke hospital. Malah kini dia digelakkan. Dia ada buat lawak ke sepanjang perjalanan mereka dari hospital tadi?
Indra menoleh ke sebelah buat tiga saat lagi, memandang hairan Tiyara yang masih berbaki sisa gelak tawanya. Bersama tanggapan, sudah gilakah minah ini? Buatnya otak dia betul-betul jadi mereng akibat daripada tumbukannya tadi. Kut ada wayar yang putus. Boleh dia buat pusingan U, patah balik ke hospital.
Boleh doktor lakukan apa-apa pemeriksaan yang patut.
Stereng kereta diputar ke kiri lalu ditekan brek secara mengejut. Kereta diberhentikan di bahu jalan untuk pastikan Tiyara betul-betul dalam keadaan baik. Brek tangan ditarik. Tali pinggang keledar dibuka dan kedian menoleh ke arah Tiyara.
"Eh, Tiyara! Kau okey tak ni?" Dalam marahnya, ada juga sedikit rasa risau yang terbit dalam hati Indra.
"Okey, tuan. Saya okey. Serius!" Aduh! Bila duda ini sudah pasang muka serius, mati terus tawa Tiyara.
"Terima kasih, tuan. Dalam garang tuan ni ada juga baiknya. Sanggup bawa saya ke hospital. Tapi tak manislah nak dukung-dukung macam tu." Tiyara memaksa hati untuk buang rasa seronok yang sempat bertandang dalam hatinya. Tak elok untuk dia rasa suka dengan perkara yang Indra lakukan sebentar tadi.
Berdosa, Tiyara. Berdosa!
"Aku minta maaf. Aku terpaksa." Indra melarikan mata hitamnya ke depan. Melihat jalan raya yang agak lengang tanpa kenderaan. Memang salah dia sentuh wanita tanpa izin.
Waktu dia hanya fikir untuk segera bawa Tiyara ke hospital. Melihat Tiyara pengsan, sudah memadai untuk buat hatinya rasa gundah gulana.
"Tak apa. Benda dah lepas dah pun." Gadis itu memaafkan. Dia faham niat baik majikannya itu. Sekarang pun dia baik-baik saja.
"Kalau dah halal mesti lagi sweet." Tiyara menggumam perlahan dengan kepalanya yang tertoleh membelakangkan Indra. Menikmati langit malam di luar tingkap kereta.
"Apa?"
Hampir terseliuh urat leher Tiyara dek kelajuan dia berpusing memandang Indra. Terkedu saat suara garau lelaki itu menerjah telinganya. "Hah? Hehe... Tak ada apa-apa."
Tajam juga pendengaran mamat ni. Mujur Indra tak dapat tangkap apa yang barusan terpacul daripada bibirnya tadi.
"Aku hantar kau balik." Kereta kembali digerakkan menuju ke destinasi seterusnya, rumah Tiyara. Hari pun sudah hendak menjelang maghrib. Ada baiknya kalau dia terus hantar Tiyara terus pulang ke rumah.
Beberapa minit pacuan empat roda itu membelah jalan, akhirnya berhenti di hadapan rumah Tiyara. "Tuan, tak nak masuk dulu ke? Boleh berkenalan dengan bakal mak dan ayah mertua." Tiyara buka mulut dengan nada gurauan sebelum dia keluar daripada perut kereta.
Pintu bahagian pemandu Indra buka. Dia mengacah ingin keluar daripada kereta sebelum pergerakannya lumpuh dek ditahan Tiyara.
"Eh, tuan! Nak pergi mana?" Wajah Tiyara bertukar pucat. Susah jadi manusia bernama Indra ni. Semua benda dia anggap serius. Main-main aje pun.
Bibir Indra tersungging senyum sinis. "Jumpa bakal mertualah. Jom."
Tiyara fikir dia saja yang boleh bergurau begitu? Jangan silap kerana dia juga mampu buat hal yang sama. Sudah lama dia biarkan kenakalan Tiyara tidak berbalas. Hari ini biar dia tunjuk skil dia pula.
YOU ARE READING
MASIH ENGKAU | OG
Random𝐌𝐚𝐬𝐢𝐡 𝐄𝐧𝐠𝐤𝐚𝐮 | 𝐎𝐧𝐠𝐨𝐢𝐧𝐠 "Sudi tak kau peluk aku sampai hujung nyawa?" -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲𝐲𝐚𝐧𝐬𝐡𝐚𝐡 "Tak sudi. Mana boleh. Kita bukan mahram, haram." -𝐓𝐢𝐲𝐚𝐫𝐚 𝐍𝐚𝐟𝐞𝐞𝐬𝐚 "Kau jangan buat-buat bengap." -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲�...