MATA Tiyara melilau ke luar tingkap kereta apabila kenderaan itu sudah tidak lagi bergerak. Indra memarkir keretanya betul-betul di hadapan satu bangunan besar. Tekanya, dia sudah sampai ke destinasi. "Shopping mall? Tuan, tak ada pasar raya ke dekat kawasan ni?"
Bukannya apa... Kalau pergi pasar raya biasa, pasti harganya jauh berbanding lebih murah daripada tempat begini. Untuk orang seperti Tiyara, pasti dia lebih suka tempat begitu. Berbaloi pun berbaloi.
"Kita dah sampai dah pun. Dalam tu pun ada juga jual bahan memasak, kan? Cepat pergi, cepat balik," ujar Indra mendatar. Tak kuasa dia mahu cari pasar raya lain.
Tali pinggang yang melilit badan, Indra buka. Bersedia untuk menapak ke dalam pusat beli-belah. Tidak mahu membuang masa.
"Errr... Betul ke tuan nak turun sekali?" Tiyara bertanya apabila teringat akan kata-kata Emir semalam. Gerak-geri Indra terhenti.
Menurut Emir, abangnya benci tempat ramai orang seperti ini. Kenyataan itu sudah terpahat di dalam otak Tiyara. Tuan Indra ni pun satu. Dah tahu tak suka, yang dia pergi pilih untuk beli barang dapur di sini dah kenapa? Tak ada ke pasar raya terdekat di kawasan ini yang kurang orang?
"Hmmm."
Ikutkan Indra, dia bukannya mahu sangat berada di tempat sesak begini. Tapi berat hati untuk dia lepaskan Tiyara berjalan seorang diri di dalam pusat beli-belah itu. Kalau jadi apa-apa, siapa yang mahu bertanggungjawab?
Tiyara mengangkat sebelah bahunya, hanya menurut. Kalau tuan badan sudah kata ok, dia akur sajalah. Gegas mereka berjalan menuju ke bahagian barang basah.
Indra setia membuntuti langkah Tiyara yang sedang memilih bahan-bahan masak. Membiarkan Tiyara ambil apa yang dia mahu, memandangkan perempuan itu lebih tahu. Dia serahkan sepenuhnya kepada pembantu peribadinya itu. Satu demi satu barang basah dimasukkan ke dalam troli membeli-belah.
Tiyara pun tidak mahu berlama-lama di situ. Dia memilih barang secepat yang boleh, mengambil kesah tentang orang di belakang. Sesekali dia toleh ke belakang melihat Indra yang sedang menyorong troli. Terserlah rasa tidak selesa pada tampang wajahnya.
"Tuan, ada nak beli apa-apa ke?"
"No. Just make it fast."
Sudah lama dia tidak jejak ke kawasan begini membuatkan Indra mula berasa gelisah. Kancing butang bajunya dibuka tiga daripada atas bagi melegakan sedikit rasa berat di dada. Genggaman tangannya di pemegang troli mula menggigil. Saat itu dia menyinis diri sendiri. Siapa suruh dia beria-ia sangat menawarkan diri untuk temankan gadis itu? Hai... Sendiri cari nahas namanya.
"Tuan, okey tak?" Tiyara bertanya khabar. Perasan dengan perubahan Indra.
"Saya rasa dah cukup dah barang-barang ni. Kalau tuan tak selesa, pergilah tunggu dalam kereta dulu. Tak apa. Biar saya yang bayar." Tiyara jadi serba salah bila melihat keadaan Indra begitu.
Ini antara perkara yang Indra tidak gemar. Kelihatan lemah di mata orang lain.
"Aku ok." Tegas nada suaranya memberitahu. Indra pun tidak mahu memanjakan diri selalu. Kalau terlalu layankan perasaan gelisahnya, sampai bila-bila dia takut nak berhadapan dengan dunia luar.
Kelakar... Secara luarannya, orang pasti akan anggap dia sebagai lelaki yang gagah perkasa dan garang. Hakikatnya, dia hanyalah lelaki lemah.
Selesai urusan jual beli, mereka kembali ke kereta. Plastik-plastik berisi barang-barang dapur diangkat masuk ke dalam kereta. Sejurus mereka meloloskan diri ke dalam perut kereta, Tiyara menatap Indra penuh bimbang. Ada peluh merenik di sekitar dahi Indra. Lelaki itu nampak masih berusaha untuk menstabilkan semula nafasnya.
YOU ARE READING
MASIH ENGKAU | OG
Random𝐌𝐚𝐬𝐢𝐡 𝐄𝐧𝐠𝐤𝐚𝐮 | 𝐎𝐧𝐠𝐨𝐢𝐧𝐠 "Sudi tak kau peluk aku sampai hujung nyawa?" -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲𝐲𝐚𝐧𝐬𝐡𝐚𝐡 "Tak sudi. Mana boleh. Kita bukan mahram, haram." -𝐓𝐢𝐲𝐚𝐫𝐚 𝐍𝐚𝐟𝐞𝐞𝐬𝐚 "Kau jangan buat-buat bengap." -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲�...