TIYARA duduk berteleku di dalam bilik bacaan. Hari ini genap sebulan dia bekerja di sini. Termenung seorang diri. Bilik bacaan ini pun sudah berapa kali dia habis jelajah. Lebih tujuh kali sudah dia tawaf. Buku-buku rujukan milik Indra habis sudah dia buka. Dia tak faham satu benda pun. Nak main telefon pintar tapi nanti dia dihurung rasa bersalah pula.
Walaupun sejujurnya ada saja masa dia curi-curi untuk buka media sosial. Hehe.
Bilik bacaan ini sudah umpama pejabat Tiyara. Bak kata Indra, dia perlu duduk saja di situ. Senang kalau Indra nak mendapatkan dia jika lelaki itu perlukan apa-apa. Tiyara cuma setuju. Malah, lagi dia suka. Macam ni baru ada gaya seorang PA. Ada ruang sendiri, ada meja sendiri.
Kerusi rodanya dipusing-pusingkan sambil kepalanya mendongak memandang siling. Hanya mampu menghiburkan diri sendiri. Sesekali dia tergelak sendiri mengenangkan episod-episod lawak yang pernah berlaku dalam hidupnya. Dia memang betul-betul tak ada kerja sekarang. Nak masak pun masih awal lagi. Jam baru menginjak pukul sembilan pagi. Kenyang daripada sarapan tadi masih terasa.
Dalam waktu lapang begini mulalah dia mempertimbangkan kembali keputusannya untuk menjadi pembantu peribadi kepada Indra. Macam manalah dia boleh melencong ke bidang pekerjaan yang ini? Dari sudut positif pula, dia anggap ini sebagai satu peluang untuk dia belajar sesuatu yang baru.
Kring! Kring!
"Oh mak kau!" Mujur kerusinya tidak tumbang ke belakang angkara terkejut. Cepat-cepat tangannya berpaut pada meja. Terlambat sikit saja, sia-sia ada peristiwa nangka busuk jatuh kerusi.
Baru dua kali telefon pejabat berwarna hitam itu melalak, gagangnya terus dicapai Tiyara. Gembira apabila menerima panggilan. Baru kali ini dia berfungsi sebagai PA untuk hari ini. Kalau tidak, dia asyik goyang kaki mengalahkan bos di bilik sebelah.
"Helo. PA kepada Tuan Indra bercakap. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?"
Tiyara diam dulu, memberi peluang pihak di hujung talian menyatakan tujuan mereka membuat panggilan.
"Boleh saya tahu encik daripada syarikat mana?"
"Okey, sekejap ya. Saya maklumkan dulu pada Tuan Indra."
Gagang telefon diletakkan cermat di atas meja. Kekura tanggannya naik mengetuk pintu sebelum memulas perlahan pintu yang menghubungkan ruang mereka berdua. Separuh kepalanya dijengah keluar di muka pintu. "Tuan, ada orang daripada syarikat Puncak Emas telefon. Nak buat appointment secepat mungkin katanya. Dia tanya bila tuan free?"
Indra menoleh kepada pembantu peribadinya itu. Cermin mata yang dipakai ditanggalkan dari wajah. "Is he still on the phone?"
Tiyara angguk. Indra bangkit daripada duduk, menuju ke bilik sebelah. Sekelip mata Indra telah mengambil alih gagang telefon pejabat itu.
"Helo. Indra bercakap. Kalau kita buat meeting hari ni boleh? Dalam pukul 10.30 kejap lagi?"
"Okey. Nanti saya hantar location. Terima kasih."
Tak sampai seminit bercakap dalam telefon, Indra berdiri setempat sambil memandang Tiyara selepas meletakkan gagang telefon. "Kau reti buat minit mesyuarat?"
"Ermmm... Tak," jawabnya jujur sambil menggeleng kecil. Ya lah... Dia mana biasa dengan bidang pekerjaan yang ini. Perlahan-lahan kayuh sambil belajar benda baru.
"Tapi kalau tuan ada contoh, boleh bagi saya. Nanti saya belajar cara nak buat minit mesyuarat tu."
"Okay, good. Nanti aku bagi contoh minit mesyuarat dan soft copy fail-fail yang berkenaan. Kau tolong prepare apa yang patut."
YOU ARE READING
MASIH ENGKAU | OG
Random𝐌𝐚𝐬𝐢𝐡 𝐄𝐧𝐠𝐤𝐚𝐮 | 𝐎𝐧𝐠𝐨𝐢𝐧𝐠 "Sudi tak kau peluk aku sampai hujung nyawa?" -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲𝐲𝐚𝐧𝐬𝐡𝐚𝐡 "Tak sudi. Mana boleh. Kita bukan mahram, haram." -𝐓𝐢𝐲𝐚𝐫𝐚 𝐍𝐚𝐟𝐞𝐞𝐬𝐚 "Kau jangan buat-buat bengap." -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲�...