SERABUT! Itu yang dia rasakan sekarang. Sedari tadi asyik nama dia yang dipanggil. Dia bukanlah pekerja tetap atau pekerja kontrak di situ. Dia cuma seorang budak praktikal yang sedang belajar perkara baru. Bukan niat dia untuk mengeluh. Tapi bukan dia seorang yang menjadi pelajar praktikal di situ. Masih juga muka dia yang dicari-cari oleh penyelianya itu.
Ya, itulah kehidupan gadis bernama Tiyara Nafeesa yang berumur dua puluh satu tahun. Seorang pelajar tahun akhir diploma program Komunikasi dan Media yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat majalah.
"Tiyara!"
Dia menarik nafas dalam-dalam dan dihela panjang. Cuma mendidik diri untuk berfikiran positif. Mungkin Miss Sally panggil aku sebab aku rajin buat kerja. Aku yang terpaling function di dalam ofis ini.
Tetikus dilepaskan dahulu dari tangannya.
"Yes, miss," jawabnya perlahan sambil tangannya mengemas sedikit kertas-kertas di atas mejanya.
"Tiyara, masuk bilik saya!" Depan staf lain dia digertak sebegitu rupa. Tak apalah... Dia sudah biasa. Mukanya pun sudah sama tebal macam dinding konkrit. Staf-staf di situ juga cukup kenal dengan sikap Miss Sally yang agak tegas. Bukan gadis itu seorang yang pernah kena dengan beliau. Jadinya, orang tak hairan.
Bermacam cerita padal Miss Sally dia pernah dengar sepanjang tiga bulan dia menjalani latihan praktikal di syarikat itu. Jadi, dari situlah Tiya belajar bahawa dia perlu bersiap sedia mahupun dari segi mental dan fizikal. Demi menghadap penyelianya yang dikira garang.
Pintu yang bertampal papan tanda kecil bertulis Cik Siti Salmah binti Rashid itu diketuk sopan oleh Tiyara sebanyak tiga kali. Buat syarat sebelum dia memulas tombol pintu dan masuk ke dalam bilik pejabat tersebut.
"Sorry, Miss Sally. Saya baru balik dari tandas tadi. Ada apa miss panggil saya?" Dia buat dosa kering dengan menipu. Padahal tadi dia sedang sedaya upaya menyiapkan kerja lain.
"Ada ajelah jawapan awak. Saya nak awak betulkan balik laporan ini. Sikit aje lagi. Ayat kasi lebih menarik." Miss Sally meletakkan sekeping fail di atas mejanya.
Tiya hanya merenung fail itu untuk beberapa saat. Dalam hatinya memberontak malas. Ini sudah masuk kali keempat dia perlu buat pembetulan ke atas laporan tersebut. Teruk sangatkah hasil penulisan dia? Mungkin aku dah boleh tukar karier kut, getus hatinya sendiri.
Berat tangannya mencapai fail berwarna hitam tersebut. Bertambah lagi satu kerja. "Baik, miss."
Tanpa banyak kerenah, dia hanya menurut. Nak memberontak lebih-lebih karang, takut markah penilaian dia rendah pula. Maka, dia kembali ke mejanya dengan langkah yang longlai. Hilang semangat. Kepala Tiya disembamkan ke atas meja.
"Tak apa, Tiya. Sikit aje lagi kau dah nak habis praktikal dekat sini. Kurang sebulan aje lagi. Kena sabar sikit aje lagi." Dia mengomel sendiri sambil mengurut dada, menyalurkan semangat supaya kekal tabah.
"Oi! Bebel apa sorang-sorang? Baru keluar bilik Miss Sally terus jadi tak betul macam ni?" Seorang lelaki datang mengetuk meja Tiya. Seraya itu Tiya mengangkat kepala, melihat gerangan empunya suara.
"Hmmm... Kau nak apa pula, Wan? Tak payahlah nak tambah serabut dekat kepala aku." Ikhwan juga merupakan seorang pelajar praktikal di situ. Kalau ikutkan, mereka belajar di universiti yang sama. Cuma itulah... Sebelum ini tak pernah bertegur sapa. Tiba-tiba boleh tersama tempat praktikal.
"Tengok jamlah, weh. Pukul satu dah. Jom, lunch." Semangat dia mengajak teman sepejabatnya itu.
Tiyara melihat waktu di skrin telefon pintarnya. Ikhwan tak tipu. Memang betul dah pukul satu petang. Patutlah perutnya pun dah mula rasa lapar. Tas tangan di atas meja dicapai.
YOU ARE READING
MASIH ENGKAU | OG
Random𝐌𝐚𝐬𝐢𝐡 𝐄𝐧𝐠𝐤𝐚𝐮 | 𝐎𝐧𝐠𝐨𝐢𝐧𝐠 "Sudi tak kau peluk aku sampai hujung nyawa?" -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲𝐲𝐚𝐧𝐬𝐡𝐚𝐡 "Tak sudi. Mana boleh. Kita bukan mahram, haram." -𝐓𝐢𝐲𝐚𝐫𝐚 𝐍𝐚𝐟𝐞𝐞𝐬𝐚 "Kau jangan buat-buat bengap." -𝐈𝐧𝐝𝐫𝐚 𝐇𝐚𝐲�...