M E | 2 0

88 11 0
                                    

"KENAPA? Kau takut nak berkawan dengan bekas banduan macam aku?" Soalan berani mati dilontarkan Indra kepada Nana tempoh hari.

Nana mengambil beberapa saat sebelum menjawab soalan Indra. "Setakat ni aku selesa berkawan dengan kau. Tak ada rasa takut."

"Serius? Bekas banduan kut... Orang selalu fikir kita orang jahat." Agak sukar sebenarnya untuk Indra percaya. Mungkin itu hanya jawapan sebagai penyedap hati dia.

"Mungkin kau pernah jahat. Tapi tak semestinya sekarang pun kau jahat. Kadang-kadang banduan dalam penjara tu lebih baik daripada orang-orang dekat luar. Dekat dalam penjara, dia orang ada peluang untuk perbaiki diri sendiri. Bukan ke macam tu?" Siapalah dirinya untuk menilai sedangkan dia juga manusia yang buat banyak kesilapan.

Pemikiran Nana tak salah. Sepanjang hidupnya di dalam penjara dunia itu, cukup untuk membuat dia belajar erti kehidupan. Banyak. Bila dia melangkah keluar dari situ, ia bagaikan satu nafas baru untuk Indra. Berazam dengan diri sendiri untuk jadi versi lebih baik dari sebelumnya.

"Macam mana kau... Boleh masuk dalam?"

"Adalah... Orang yang pernah aku sayang suatu masa dulu... Hancurkan hidup aku. Dunia ni kejam. Dan kelakar? Orang yang rapat dengan kita pun boleh khianat kita. Ini bukan ayat bela diri, tapi jujur aku tak buat benda-benda untuk disumbat dalam penjara. Tak tahu dekat mana silapnya. Selebihnya, terpulang pada kau nak percaya atau tidak." Ayatnya tidak teratur, sama berselerak dengan fikirannya. Indra menggantung ceritanya tatkala Nana sedang khusyuk meminjamkan telinga.

Hai... Dia ingin dengar lebih lagi.

Cukuplah sampai situ Indra buka cerita. Dia rasa tak perlu pun untuk sebar aib orang. Dia tidak mahu canang kepada orang lain. Cukup sekadar dia dan orang terdekat tahu punca sebenar.

Sekujur tubuh badan Indra bergerak kecil menandakan lelaki itu tak lena tidur. Sedari tadi, layar fikirannya tidak berhenti mengingatkan perbualan dia dan Nana pada beberapa hari lepas. Sudah lewat malam tapi otaknya masih rancak berfikir benda yang tak penting.

Terpisat-pisat dia membuka mata dalam bilik tidur yang serba gelap itu. Rengkungnya terasa kering, dahagakan air minuman. Tangannya terkapai-kapai ingin mencapai botol air di atas meja kecil sebelah katilnya. Dengan keadaan mata separuh terbuka, dia melihat isi botol air.

Kosong.

Hai... Satu keluhan terhasil dari bibir lelaki itu. Selimut yang menutup separas dada diselak ke tepi. Indra mengesot dan duduk di birai katil. Lampu tidur di atas meja kecil dia hidupkan. Hendak tak hendak, terpaksa dia gagahkan diri turun ke tingkat bawah demi mencari air. Longlai kakinya meniti turun satu per satu anak tangga.

Suis lampu dapur dihidupkan bagi menyuluh cahaya di kawasan itu. Setelah mendapatkan air, dia duduk di kitchen island. Ralit tekaknya menikmati setiap tegukan air masak sambil memerhati sekeliling. Matanya tertancap pada kabinet dapur.

Berputar kembali dalam mindanya kejadian petang tadi. Indra tersenyum nipis. Tanpa disuruh, ringan kakinya melangkah ke situ. Tangannya membuka pintu kabinet bahagian atas yang hampir sama paras dengan ketinggiannya.

Dengan mudah, pek-pek mi segera yang asalnya diletakkan di rak paling atas dialihkan ke belah bawah. Pintu-pintu kabinet atas lain juga diperiksa dengan teliti. Mana-mana barang yang dia rasa diperlukan Tiyara, dia alihkan ke tempat yang lebih mudah untuk dicapai.

Apa? Dia cuma mahu memudahkan kerja budak pendek itu di kedian hari. Tidak mahu ada barang lain pula menjadi mangsa terhempas ke lantai rumahnya.

Tiba-tiba terlintas sesuatu di benaknya Indra.

Kalau dia cerita benda sama pada Tiyara, adakah gadis itu akan terima diri dia seadanya? Adakah penerimaan gadis itu akan sama seperti Nana?

Indra meraup muka sendiri. Kenapa dia perlu kesah akan tanggapan Tiyara terhadap dirinya? Apa yang Tiyara dah buat sampai dia terfikirkan Tiyara pada larut malam begini... Dia sendiri tidak faham. Gila betul penangan budak itu. Semua gara-gara Emir yang membuatkan dia tertanya-tanya pasal perasaannya sendiri.

MASIH ENGKAU | OGWhere stories live. Discover now