BAB 2

980 52 11
                                    

"Najla." Suara Encik Khair Jamalyanto menyapa gegendang telinga Najla. Najla yang waktu itu sedang mengunyah biskut cip coklat buatan rakan serumahnya Basyirah, menutup balang biskut di hadapannya.

"Ye, Abi." Najla menjawab perlahan. Dia seakan dapat meneka atas asbab apa bapanya itu menghubungi dia malam ini.

"Umi kamu cakap kamu nak bincang sesuatu dengan Abi. Apa benda nak dibincangkannya?" Bicara Encik Khair yang jelas berlenggok Jawa Ponorogo itu kedengaran di hujung talian. Najla menggigit bibir. Nampaknya Puan Nafeesa benar-benar mahu dia sendiri yang menghadap Abinya nanti.

"Umi beritahu Abi apa?" Najla balas soalan bapanya dengan soalan.

"Umi tak beritahu kamu nak bincang apa. Umi cuma beritahu mungkin kamu akan balik esok. Esok kamu cuti ke?" Soal Encik Khair lagi. Kedengaran bunyi cengkerik berseli dengan suara Encik Khair. Bapanya itu pasti sedang menjamah kopi di beranda rumah ditemani nyanyian unggas malam.

"Najla nak cakap sesuatu tapi Najla tak rasa Najla boleh datang esok Abi. Esok Najla pagi-pagi lagi dah kena pergi mahkamah. Mungkin hujung minggu nanti?" Najla menyusun kata dengan berhati-hati.

"Abi tak kesah tapi kalau benda tu penting sangat, jangan lewat-lewat. Kamu nak cakap sekarang pun boleh." Balas Encik Khair.

"Najla tak rasa sesuai untuk Najla cakap sekarang. Tak apa lah Abi. Najla tunggu hujung minggu nanti Najla balik. Abi kirim salam sayang Najla pada Umi tau?"

"Karepmu (terserah kamu) lah. Nanti Abang sampaikan pada Umi kamu. Kerja elok-elok. Jangan main-main aja kerjanya." Pesan Encik Khair saban kali diulangnya lagi.

"Boek Abi. Najla letak telefon dulu. Assalamualaikum." Najla memberi salam. Telefon dijauhkan dari telinganya apabila salam berjawab dan panggilan ditamatkan oleh Encik Khair.

Basyirah duduk di sisi Najla.

"Abi kau ke?" Bantal kecil diambil dan diletakkan di ribanya. Najla hanya mengangguk.

"Kau dah beritahu Abi kau pasal keputusan kau nak putus tunang tu?" Kali ini giliran Basyirah pula bertanya. Gadis genit itu mencapai balang biskut berisi biskut cip coklat yang dibuatnya siang tadi.

"Aku dah beritahu Umi aku. Abi aku belum tahu. Aku rancang nak beritahu masa aku balik kampung hujung minggu nanti." Basyirah hanya mengangguk.

"Kau pasti dengan keputusan kau? Kau dah jelaskan belum pada Umi kau pasal kenapa kau nak putus tunang?" Basyirah bertanya lagi.

"Aku seratus peratus pasti. Setakat lelaki macam Nasruddin tu. Aku tak gila sangat lah nak kahwin dengan dia. Apa benda lah masalah dia nak bertunang dengan perempuan lain dalam masa yang sama dia tunang aku? Wayar dalam kepala dia tu dah tercabut ke?" Basyirah hanya mendengar dengan tekun.

"Aku tak beritahu pada Umi aku kenapa aku nak putus. Malas aku nak panjangkan cerita. Lantaklah Umi aku nak marah ke apa yang penting aku tak akan dan tak ingin kahwin dengan Nasruddin tu." Hidung Najla kembang kempis menahan marah.

"Weh kau tahu tak?" Najla sudah mengalihkan badannya agar dia menghadap sepenuhnya ke arah Basyirah. Anak mata Basyirah yang sejak tadi terpasung pada paparan drama korea di televisyen kini beralih ke arah Najla.

Basyirah tidak menjawab. Kalau dia jawab tahu atau tidak tahu pun, memang Najla akan bercerita juga.

"Ada orang baru masuk office aku hari ni. Aku rasa dia lawyer lah sebab office dia is office Puan Masyitah yang baru pindah lima bulan lepas." Basyirah masih menjadi pendengar setia.

"Bab tu aku tak kesah lah sebab dia tak berkait pun dengan kerja aku. Perkara yang aku kesahkan adalah betapa kerek, sombong pakej tak gunanya lawyer baru tu." Najla sudah mengepalngepalkan tangannya apabila teringat layanan peguam baru yang bernama Fajar Baihaqi itu terhadapnya.

FAJAR BAIHAQI | NOVEL [C]Where stories live. Discover now