Episod 1

10.2K 141 15
                                    

Kehidupan ini tak seindah yang kita impikan. Satu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan tentang hidup aku - neraka. Mungkin aku ditakdirkan untuk hidup begini. Kenapa aku perlu mewarisi kesusahan sedangkan aku tidak pernah meminta untuk dilahirkan ? Adilkah aku untuk diberikan
kesusahan sebesar ini?

Cerita aku bukanlah seperti cerita-cerita dongeng yang ditayangkan di layar kaca. Aku dilahirkan dalam keluarga yang sejak dari dahulu susah. Dikurniakan seorang "bapa" yang tidak berguna dan dianugerahkan seorang ibu yang penyayang. Kenapa aku cakap bapa aku tak guna? Sejak dari kecil, rumah aku menjadi tempat bapaku melepaskan amarahnya kepada ibuku. Ibuku menjadi mangsa keganasan dan kekasaran seorang lelaki bangsat. Bangsat? Kenapa bangsat? Bapaku seorang kaki judi dan kaki botol yang sering memeras ugut ibu aku. Setiap hari, bapaku akan berjudi bersama dengan rakan-rakannya sehingga lewat malam. Dia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan seorang bapa. Bagiku, tidak ada figura seorang ayah dalam keluarga kecilku.

Ibulah yang terpaksa menyara kami sekeluarga. Ibu aku hanya meniaga nasi lemak di kawasan kampung setiap pagi. Bersengkang mata di awal pagi bagi mencari rezeki yang tidak seberapa. Tepat jam 3pagi setiap hari, ibuku akan bangun untuk mencari rezeki bagi menyara keluargaku. Walaupun dipasangkan dengan seorang suami yang tak berguna, ibuku tetap gigih mencari rezeki demi keluarga. Dia terpaksa menutup mata terhadap kegagalan suaminya untuk menjadi ketua keluarga. Akan tetapi, rezeki yang diperolehi oleh ibu setiap hari akan digunakan oleh bapaku untuk berjudi. Dasar lelaki bangsat.

Semasa aku berada di tingkatan tiga, bapaku telah meninggal dunia akibat serangan jantung. Lelaki bangsat itu mati pada usia yang cukup muda. Kematian bapa sememangnya memberikan kesan kepada ibuku. Sejahat mana pun bapaku, dia masih disayangi oleh ibuku yang tak henti-henti berdoa supaya hatinya berubah. Belum sempat dia berubah, nyawanya sudah ditarik oleh Tuhan. Sejujurnya, aku tidak berasa sedih dengan kematiannya. Tetapi, aku gembira. Gembira kerana akhirnya orang yang membawa derita dan duka dalam kehidupan kami sekeluarga akhirnya telah pergi buat selama-lamanya. Aku tidak menyesal mahupun berasa sedih dengan kematian bapaku. Biarlah dia pergi kerana kewujudannya tidak membawa apa-apa erti buat kami sekeluarga.

Aku sangkakan kematian bapaku akan memudahkan urusan kami sekeluarga. Ternyata aku silap. Kematiannya menambahkan lagi beban di bahu kami. Rupa-rupanya bapaku telah meminjam wang daripada Ah Long bernilai RM500,000.00 untuk tujuan berjudi sebelum meninggal dunia. Si bangsat itu meninggalkan masalah baru kepada kami. Semakin buntu dengan jalan hidup yang semakin sempit. Sekiranya kami gagal melangsaikan hutang itu, pastinya kami akan sengsara dalam neraka dunia.

Ibu telah mengambil keputusan untuk menjual tanah peninggalan arwah atuk untuk menyelesaikan hutang Ah-Long. Itulah satu-satunya harta pusaka yang ditinggalkan oleh arwah atuk kepada ibu sebagai anak bongsu dalam keluarganya. Mahu tidak mahu, ibu terpaksa memejamkan mata dan menjual sahaja tanah itu kepada orang lain. Ibu mengambil keputusan untuk menjual tanah itu kepada keluarga terdekat kami iaitu Mak Lang. Sekurang-kurangnya tanah itu masih dimiliki oleh ahli keluarga sendiri.

Meskipun tanah tersebut berjaya dijual, hutang masih gagal untuk dilangsaikan. Mak Lang telah membeli tanah tersebut dengan nilai Rm250,000.00 sahaja. Kami sekeluarga terpaksa mencari duit untuk melangsaikan hutang arwah bapa yang selebihnya. Selepas tamat sekolah menengah, aku mengambil keputusan untuk berhijrah keluar daripada kampung untuk membantu ibu mencari rezeki bagi menyara keluarga serta dalam pada masa yang sama melangsaikan hutang arwah bapaku.

Aku bersyukur. Dalam kehidupan yang tersepit sebegini, aku masih dipertemukan dengan orang-orang yang sangat baik. Mak Lang dan Pak Lang telah memperlawa ibu dan adik aku untuk menetap di rumah mereka. Memandangkan ibu sudah tidak kuat untuk bekerja, Mak Lang telah menggalas tanggungjawab untuk menyara kehidupan ibu dan adikku.  Tetapi, aku tidak boleh untuk terus bergantung harap kepada Mak Lang dan Pak Lang. Aku tidak mahu makan terlalu banyak budi mereka. Sudah banyak yang mereka berdua lakukan untuk kami sekeluarga.

Hutang arwah bapaku masih belum dilangsaikan sepenuhnya. Kadar bunga semakin meningkat. Aku semakin terdesak. Aku telah mengambil keputusan untuk terus mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Seandainya aku terpaksa bekerja satu ataupun dua pekerjaan dalam satu hari, aku akan hadapi juga demi keluargaku di kampung. Aku tidak mahu terus hidup begini. Aku tidak mahu menjalani liku-liku pedih dalam hidup buat selama-lamanya. Aku mahu pengakhiran hidup yang bahagia walaupun hanya seketika. Aku mahukan kesempatan itu diberikan kepada diriku, Hadi Iman.

Hanya Satu : Aku & KamuWhere stories live. Discover now