Selepas tamat sekolah menengah, aku tidak fikir panjang mengenai masa depanku. Aku hanya memikirkan tentang keluargaku. Tanpa membuang masa, aku terus merancang untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Aku tidak mempunyai kenalan mahupun saudara mara yang menetap di sana. Meskipun begitu, aku perlu berhijrah segera untuk menjamin nasib ibu dan adik.
Aku memaklumkan kepada ibuku mengenai rancangan untuk berhijrah mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Ibu pada awalnya tidak senang dengan perkhabaran itu. Dia mahu aku terus kekal bersama dengannya. Biarlah kami sama sama susah, asalkan tidak terpisah jauh. Namun selepas berkali-kali aku memujuk, akhirnya dia memberikan restu kepada diriku untuk pergi.
Mak Lang dan Pak Lang menawarkan diriku untuk bekerja di ladang sawit yang dimiliki mereka. Mereka sanggup untuk membayarkan gaji yang lebih kepada aku sekiranya aku mahu. Namun aku tahu, pekerjaan di desa masih belum mencukupi untuk menyara keluargaku dengan selesa. Aku menolak permintaan Mak Lang dan Pak Lang dengan baik. Sebaliknya, aku meminta mereka untuk mendoakan semoga perjalanan hidupku di Kuala Lumpur akan dipermudahkan.Mak Lang dan Pak Lang menyokong penghijrahan aku ke Kuala Lumpur.
Persoalannya, mengapa Kuala Lumpur? Tidak ada tempat lainkah untuk aku berhijrah? Sejujurnya aku sendiri tidak tahu mengapa aku memilih Kuala Lumpur. Cumanya aku percaya bahawa aku perlu merantau jauh untuk mencari rezeki. Naluri hatiku berkata begitu. Aku hanya mengikuti kata hati ku.
Aku masih ingat lagi sewaktu aku meninggalkan kampung. Aku berasa sayu dan sedih untuk meninggalkan keluarga pada usia yang masih muda. Namun, aku harus kuat. Aku tidak boleh lemah kerana aku perlu menggalas tanggungjawab ibu bagi melangsaikan hutang arwah bapa. Kini, aku harus menjadi bapa yang menyara keluargaku. Aku tidak mahu ibuku dibebani dengan tanggungjawab untuk menyara keluarga di usia emas.
Aku berkunjung ke Kuala Lumpur dengan bas. Bayangkan betapa sunyinya perjalanan hidupku setelah sampai di Kuala Lumpur. Aku tidak kenal sesiapa. Aku tidak pasti dimana bakal aku bermalam. Namun, tekad untuk menyara keluarga mendesak aku untuk terus melangkahkan kaki dengan gagah di Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur sangat berbeza dengan kampungku. Terlalu banyak bangunan-bangunan tinggi yang mencakar langit. Sesekali ku pandang, memeningkan benak otakku. Aku tidak terbiasa dengan panaroma kota yang sarat dengan bangunan-bangunan sehingga menutupi langit biru. Di kampungku, aku boleh menikmati pemandangan langit biru tanpa halangan dari timbunan bangunan-bangunan yang mengaburi mata. Aku berjalan bersendirian melewati kota Kuala Lumpur tanpa halu tuju.
Aku terus berjalan di kawasan kaki lima tanpa berhenti. Melewati banyak kedai-kedai yang menjual aneka barangan. Beg pakaian yang ku galas kian lama terasa berat.Bahuku pegal dengan beg pakaian yang berat. Tangan kananku pula memegang satu lagi beg berisi barangan peribadiku. Perutku berbunyi tanda lapar. Namun aku endahkan kerana aku perlu berjimat dengan duit pemberian Mak Lang dan Pak Lang. Aku tidak boleh untuk membelanjakannya sesuka hati.
Aku terus melangkah dari satu bangunan ke bangunan yang lain. Setelah penat, aku berhenti seketika. Aku duduk di kerusi batu yang tersedia di sebuah taman yang aku sendiri tidak tahu namanya. Aku melihat langit. Langit sudah bertukar menjadi jingga menandakan hari bakal melabuhkan tirai siangnya. Aku meletakkan beg galas dan beg pakaian ku ke tepi. Lalu aku melihat sahaja langit itu perlahan-lahan bertukar warna.
Setelah malam, aku masih berjalan mencari tempat untuk aku berteduh. Aku perlu mencari tempat untuk bermalam memandangkan aku masih tidak memiliki tempat tinggal dan pekerjaan. Pada awalnya, aku ingin bermalam di kawasan surau mahupun masjid. Tetapi aku tidak menemui mana-mana masjid mahupun surau yang berdekatan untuk aku bermalam buat sementara waktu.
Perutku yang kosong terus berkeroncong. Aku memegang perutku sambil berjalan. Aku melihat ada banyak kedai-kedai makan yang berada di pinggir kota. Aku endahkan sahaja kelaparanku. Aku tidak mahu membelanjakan duit kerana aku perlu menyimpan duit untuk membayar sewa bilik yang aku sendiri tidak jumpai.
Aku terus melangkah ke hadapan. Aku menghampiri sebuah kawasan yang kelihatan sunyi tetapi diwarnai dengan pelbagai lampu neon yang berwarna warni. Aku melihat ke arah papan tanda kelab-kelab malam yang berada di sekitar kawasan itu. Kelihatan ramai orang berkunjung ke kelab-kelab itu.
Fikiranku melayang seketika. Aku memegang perutku yang pedih. Aku mengigit bibirku akibat kesakitan. Beg di tangan kanan ku terjatuh ke atas lantai. Aku terduduk di atas lantai. Dalam masa yang sama, aku turut berasa pening. Mungkin Tuhan mahu mencabut nyawaku supaya penderitaan aku di dunia bakal berakhir.
YOU ARE READING
Hanya Satu : Aku & Kamu
Fanfiction[ Musim Pertama ] Takdir telah menemukan dua insan yang berbeza. Hadi Iman yang tersepit dalam kehidupan telah dipertemukan dengan Zafran Mikael yang hidup dengan penuh kemewahan. "Saya sedar yang saya ni orang susah. Orang hina yang tak patut dapat...