Sejak pulang dari sekolah pada petang tadi, Hawa hanya berkurung di dalam biliknya sahaja. Dia langsung tidak menjamah makanan yang telah dimasak oleh makciknya.
Ketika berada di sekolah pun, dia banyak mendiamkan diri. Naik pening rakan-rakannya melihat sikapnya itu.
Bukan dia tidak mahu berkongsi masalahnya bersama dengan Aisyah dan Qamariah. Dia cuma tidak mahu menyusahkan mereka. Biarlah dia pendam sahaja masalah ini.
Hatinya sedih dengan apa yang telah berlaku kepada dirinya. Ya, Hawa tahu bahawa Allah tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuannya. Namun, berat untuk dia menerima dugaan yang menimpanya pada kali ini.
Surat saman yang terletak di atas meja diambil dan direnyukkan lalu dilempar ke atas lantai. Matanya kembali berair menangisi nasibnya.
"Kenapa kau ni lembik sangat, Hawa? Hiks. Mana Hawa yang kuat dulu? Hiks. Mana dia pergi? Aku dah penat. Hiks." Teresak-esak dia menangis.
Tok tok
Pintu biliknya diketuk dari luar.
"Hawa, maksu ada bawakkan makanan ni." Kedengaran suara maksunya, Anita daripada luar.
Pintu dikuak perlahan.
"Ya Allah! Hawa kenapa ni?" Anita terus meletakkan dulang di atas meja lalu mendapatkan anak buahnya itu.
"Hawa, tengok maksu. Kenapa ni? Apa yang dah jadi?" Air mata gadis itu dikesat. Risau dia melihat keadaan Hawa pada ketika itu.
"Maksu!" Hawa yang tersedar terus merangkul erat tubuh maksunya itu.
Dia perlukan seseorang sekarang ini. Dia tidak mampu menanggung beban ini seorang diri.
Tangisannya kembali pecah apabila tubuhnya didakap erat oleh maksunya. Anita menggosok perlahan belakang tubuhnya bagi meredakan tangisan gadis itu.
Setelah tangisannya reda, Hawa mengangkat muka memandang maksunya. Dia perlu ceritakan segalanya kepada maksunya.
"Maksu, sebenarnya..." Hawa mula menceritakan segala masalahnya bermula dari waktu hari temu bual sehinggalah kejadian yang berlaku di sekolah pada pagi tadi.
"Allah Akhbar, sampai macam tu sekali dia buat pada Hawa. Kesiannya anak buah aku." Sekali lagi tubuh kecil milik Hawa dipeluk erat.
"Maafkan maksu, Hawa. Maksu gagal lindungi kamu. Maksu sibuk dengan kerja sampai abaikan kamu. Maksu minta maaf, Hawa." Pinta Anita. Dia berasa kasihan melihat nasib Hawa.
"Maksu tak salah. Hawa dah okay. Maksu jangan risau tau. Cuma, Hawa nak minta maksu tolong uruskan urusan pindah sekolah Hawa, boleh?" Pinta Hawa.
Mahu tidak mahu dia perlu menurut juga arahan daripada Ahmad.
"Tak payah, Hawa. Kita buat report. Kita lawan balik apa yang dia dah buat pada Hawa. Hawa tak boleh macam ni, nak. Hawa kena kuat. Hawa tak boleh biar je dia pijak Hawa macam ni." Pujuk Anita lagi.
Hawa menggeleng perlahan.
"Tak boleh, maksu. Dia ada kuasa kat sekolah. Kita tak mampu. Lagipun, Hawa dah fikir masak-masak. Hawa nak balik kampung. Mungkin dah tiba masanya Hawa kembali pada ibu dan ayah. Selama ni Hawa dah banyak menyusahkan maksu dan paksu. Maafkan Hawa, maksu." Tubuh di hadapannya ini dipeluk erat.
Anita membalas pelukan Hawa. Matanya kembali berair.
"Hawa tak pernah menyusahkan kami. Maksu dah anggap Hawa macam anak maksu sendiri. Baiklah, kalau itu yang Hawa mahukan. Nanti maksu selesaikan semua, ya. Walaupun Hawa dah balik sana, Hawa kena ingat tau. Rumah ni sentiasa terbuka untuk Hawa." Balas Anita.
YOU ARE READING
[C] Saya Benci Awak! ✓
Novela Juvenilqrienaa, 2022 Saya Benci Awak! AHMAD IZUAN, seorang atlet berbasikal ataupun cyclist sekolah yang begitu terkenal dalam kalangan pelajar serta guru di sekolahnya. Wajahnya tampan dan kulitnya agak gelap akibat terbakar di bawah sinaran cahaya matah...