Disebabkan saya lama sangat tangguh penjualan E-book Memoir, saya bagi satu lagi ekstra bab 26. Selamat membaca!
Lagi satu, baca sampai habis tauu.
____________________________________________________________________
"Isterinya Raid ke?" Seorang lelaki tua yang mungkin lewat 70-an menyapa.
Umairah tersenyum sumbing. Kalau tak dijawab soalan, dianggap kurang ajar. Kalau nak jawab, dia sendiri tidak tahu jawapannya. Takkan nak cakap, 'Saya tak pasti. Boleh tanya Encik Raid sendiri.' Karang apa pula dia cakap. "Bukan. Saya cuma pembantu peribadi sahaja."
"Oh, isteri. Cantik orangnya."
Aduh, pekak pula orang tua ni. Umairah kali ini bersuara dengan agak kuat, memandangkan orang tua itu seorang yang agak lemah pendengarannya. "Bukan, pakcik! Saya pembantu peribadi sahaja."
"Ya, ya. Saya tahu." Lelaki tua itu terangguk-angguk. "Bila kamu nikah? Tak buat majlis ke?" Lelaki tua itu masih beranggapan bahawa Umairah itu isteri Raid.
Allahu, orang tua ni! Sekali lagi! "Saya. Bukan. Isteri. Dia!" Suara Umairah naik seoktaf. Dia tidak pasti mengapa tetapi orang sekelilingnya memandang ke arah mereka berdua dengan senyuman. Kenapa pula dorang ni senyum-senyum?
Galeri mula itu dipenuhi dengan bunyi tepukan. Ketika dia sedang bercakap dengan lelaki tua itu, perkataan 'bukan' itu tidak didengari oleh orang ramai kerana bunyi mikrofon yang kuat mengganggu pendengaran mereka semua. Jadi apa yang didengari orang ramai hanyalah, 'Saya isteri dia!'
Allahuakbar! Mati aku macam ni. Habis semua ingat aku ni bini dia.
Lelaki tua tadi melopong sambil termenung kosong.Kemudian, kepalanya mengangguk-angguk bagai belatuk. "Tahniah, tahniah. Nanti jemputlah saya ke kenduri kamu, ya."
Pelipis Umairah berurat. Ya Allah, sabarkanlah aku.
Sebelum Umairah sempat menjawab, Raid yang datang entah dari mana, memegang bahu orang tua itu dengan lembut.
"Assalamualaikum, Datuk. Sihat?"
Datuk?! Lelaki tua ni Datuk?! Mati anak ayam! Muka Umairah pucat lesi. Habislah aku. Tulah, lain kali jangan bersabar lagi. Kan dah kena.
"Waalaikumussalam. Aku sihat sahaja. Aku tak tahu kau sudah berkahwin, Raid Abdullah." Lelaki tua yang berpangkat Datuk itu menjawab dengan tenang. Nama penuh Raid disebut.
Aik, boleh pula dengar?! Umairah geram. Terasa seperti diri dipermainkan.
Kepala Raid didekatkan ke telinga lelaki tua itu sambil tersenyum kecil. "Belum lagi, Datuk. Insya-Allah, tak lama lagi. Doakan ya."
Suara Raid yang begitu seksi di telinganya bertutur lembut. Bukan sengaja curi dengar tetapi terdengar. Pipinya sedikit merah apabila perkara itu terlintas di fikirannya. Apa ni, Umairah oi. Miang tak sudah. Lagipun, bukan kau tak suka ke majikan kau tu?
"Hm, hm. Bagus, bagus. Orangnya pun cantik. Sama padan dengan kau." Datuk mengangguk perlahan. "Perangainya pun elok."
Raid tersenyum kecil. Mata mengerling Umairah yang sedang terdiam kaku. Mungkin terkejut dengan apa yang baru sahaja dikatakan oleh Datuk.
Orang tua ni perli aku ke?! Kurang asam! Sekali lagi urat di pelipisnya mengeras. Encik Raid ni pun satu. Tak hinginlah aku kahwin dengan dia!
Raid tersenyum sambil ketawa kecil. "Memang elok perangai dia, Datuk. Macam mana dia layan Datuk, macam tu juga dia layan saya," Perli Raid perlahan.
Dah, baik aku blah. Malas aku dengar dorang ni kutuk-kutuk aku. Segera Umairah meminta diri dan melangkah ke satu sudut yang penuh dengan hasil catan Raid. Malas hendak menghadapi situasi yang menyakitkan hati.

ANDA SEDANG MEMBACA
Memoir
RomanceKisah tentang caretaker rumah dah majikan artisnya. Bahasa: Melayu Rating: T Tema: Umum, Percintaan, Hubungan, Kekeluargaan, Fiksyen,Perkahwinan, Kehidupan, Persahabatan Status: Lengkap (Self-publish)