"Kan saya dah cakap, saya tak nak ikut!" Suara Umairah meninggi. Bengang dengan majikannya yang tak faham bahasa.
Raid kini berada di hadapan pintu rumahnya, lengkap berpakaian formal kasual. Seluar jean yang dipadankan dengan baju berleher panjang dan blazer kelihatan amat sesuai dengan Raid. Rambut panjangnya pula disorokkan dengan memakai beanie.
Raid tidak menghiraukan apa yang dikatakan Umairah. Sebaliknya, tangannya sudah pun menghulurkan plastik yang mengandungi pashmina dan dress yang tergantung elok di penyangkut baju. "You have too. If not..." ayatnya sengaja dibiarkan tergantung.
"If not, what? Nak pecat saya ke?" Umairah cabar.
"Gaji kau aku tolak separuh."
Mata Umairah terbuka luas. Mengarut! "Mana boleh!"
"Boleh. I will do it. Don't make me."
"Hmf! Bak sini baju tu." Penyangkut baju dan plastik di tangan Raid direntap kuat. Sengaja dia buat begitu supaya Raid tahu yang dia tidak rela dipaksa.
Raid tersenyum kemenangan.
"Bagus juga Encik Raid buat macam tu." Aira yang dari tadi memerhati bersuara.
"Kenapa?"
"Sebab Umairah tak suka dan tak pandai dress up. Dari universiti lagi. Setiap kali ada faculty dinner atau apa-apa event mesti dia takkan datang. Kecuali konvo." Aira tersenyum. "Nak juga nampak dia dress up cantik-cantik." Senyuman Aira melebar sehingga ke telinga.
"Oh... patutlah dia beria-ia tak nak pergi." Giliran Raid pula tersenyum kecil.
"Encik Raid baliklah dulu. Saya nak tolong dia bersiap sebab saya tak percaya kalau dia siap sorang-sorang. Nanti result dia ala kadar je." Aira bingkas bangun dari duduknya di pangkin dan masuk ke dalam rumah.
Raid hanya menunggu di depan rumah dengan sabar. Hampir setengah jam menunggu, Aira melompat keluar dari pintu. Mukanya ceria.
"Cepatlah keluar. Nanti lambat Encik Raid karang." Aira menarik lengan Umairah keluar dari rumah.
"Tak nak! Aira~!" Suara Umairah seakan-akan mahu menangis. "Aku tak suka mekap. Aku nak basuh muka dulu."
"Jangan. Kau. Berani!" Gertak Aira geram. Kali ini geramnya tidak dapat disorok lagi. Jengkel dengan Umairah yang tidak suka bersolek. "Aku dah penat mekap kau. Jangan berani usik. Kau usik, aku benci kau sampai bila-bila."
Ayat akhir Aira membuatkan Umairah terdiam. Akhirnya, dengan kaki yang berat, dia melangkah keluar dari pintu dengan perlahan.
Raid menonton dengan setia. Ingin juga dia melihat hasil kerja tangan Aira.
"Dah, jom." Umairah terus bergerak ke kereta Raid dengan kepala tertunduk malu. Dia tidak sanggup dimalukan sebegini rupa.
Raid tergamam. Mata meluas apabila melihat Umairah. Umairah kelihatan sangat berbeza dari sebelum ini. Wajahnya yang disolek membuatkan ia kelihatan lebih matang dari sebelum ini. Ditambah lagi dengan persalinan yang dibelinya. Sesuai baju tu dengan dia. Nasib baik muat. Cantik. Raid memandang Aira sekilas sambil mengangkat ibu jari. "Good job."
Aira tersenyum sumbing. "Thank you Encik Raid. Baik Encik Raid pergi sebelum dia ubah fikiran."
Raid lantas ke bahagian pemandu kereta. "Aku drive. Kau duduk sebelah."
"Hmph!" Umairah menghentak kaki dengan geram. Menyampah!
Sepanjang perjalanan, Umairah membungkam. Pipinya cembung, sengaja menunjukkan riak tidak puas hati. "Gaji tetap naikkan?" Umairah bersuara perlahan.
"Tak. Aku gurau je pasal tu." Raid bergurau.
Namun bukan bagi Umairah. Matanya sudah pun terjegil keluar memandang Raid. "Jangan main-main, encik. Karang kat sini juga saya lompat keluar kereta."
"Jangan! Aku gurau. Gaji tetap naik dan kau nampak cantik malam ni." Ayat terakhir membuatkan suasana menjadi janggal semula. Raid menggigit bibir dengan lembut. Shouldn't say that. Should keep it to yourself Raid.
Muka Umairah merona merah. Hmf! Sengaja je dia ni nak buat aku malu. Dia malu apabila dipuji. Lebih-lebih lagi kalau yang memujinya itu ialah lelaki yang bergelar majikannya. Seorang yang baginya mempunyai paras rupa yang elok walaupun berkali-kali hatinya menafikan. "Seronok encik kutuk saya."
"Bahagian mana yang aku cakap tu satu kutukan? Orang dah puji tu, Alhamdulillah jelah."
Umairah terkesima dengan jawapan Raid. Betul juga apa yang dia cakap tu. Umairah tertunduk malu. "Sorry."
"Don't be... and please... don't cry. Susah nanti aku nak jawab kalau orang nampak kau menangis."
"Mana ada saya menangis."
"Mata kau merah tadi. Masa dekat rumah."
Sekali lagi Umairah terkedu. Eh, dia perasan?! "O-okey, sorry."
"Don't be."
"Jadi, apa saya patut buat lepas ni?"
"Kau ikut je aku. I'll introduce you as my P.A. Kau cuma perlu maniskan muka."