Bab 21
Sedikit kekok Darin berdiri di sebelah Fakhri apabila mereka tiba di pinggir taman itu. Beberapa tetamu lain sudah tiba, dan pakaian mereka tiada langsung sepertinya. Tapak barbeku sudah dijaga oleh beberapa orang yang sedang membakar makanan, manakala tetamu yang lain berbual sesama sendiri dengan bebas dan galaknya.
Yang perempuan memakai singlet dan seluar pendek yang betul-betul di pangkal paha. Ada juga yang memakai dress, juga di paras paha saja. Yang lelakinya kacak bergaya. Cuma dia saja perempuan bertudung di situ. Tanpa disedarinya, dia mendekati Fakhri. Risau pula melihat pelbagai lagak orang di situ.
"Don't drink anything. Katanya cheese and wine. Saya akan carikan non-alcoholic drinks nanti. Selalunya, air mineral ada disediakan."
Darin mengangguk mengerti.
"Awak tak takut ke? Diorang ni semua kawan awak ke?" Terpacul soalan itu dari bibirnya, tetapi Fakhri cuma menggeleng sekali.
"Saya tak kenal sangat pun. Bukan selalu saya ada di sini. Lelaki tak risau sangat. Perempuan yang bahaya sikit. So be careful," pesan Fakhri prihatin.
"Makan macam mana?"
Fakhri menoleh dengan pandangan tidak percaya.
"Kan dah dinner dekat bawah tadi?"
Darin tidak berani menentang mata Fakhri. Malu pun ada. Tapi barbeku tu nampak macam best je. Isy, Fakhri ni...
"Nanti saya check diorang guna wain atau tak."
Darin terus tersenyum seraya mengangguk. Fakhri menggeleng saja melihat kerenah Darin, tetapi dia tidak sempat berkata lebih apabila didekati Charles dan seorang perempuan muda yang memeluk pinggang Charles dengan begitu mesra sekali.
"Hi, you're here," tegur Charles ramah dan Fakhri menunduk sedikit tanda hormat. Wanita itu menghulurkan tangan kepada Fakhri yang menyambutnya tanpa teragak-agak.
"Clarice."
"Fakhri. And this is Darin."
"What a nice name."
Darin saja yang terkulat-kulat di situ. Dia cuma mampu melempar senyum. Kali ini, Charles pula menghulurkan tangan kepada Darin. Terkedu dia merenung tangan itu tidak berkedip. Tanpa sedar, dia mengundur setapak sekali gus bersembunyi di belakang Fakhri, bimbang jika disua yang lain pula.
"Darin, ini Mr. Charles, manager kondo ni. Sorry, she is not really feeling well today." Fakhri memberi dalih. Charles kelihatan sedikit kecewa, tetapi tangannya terus saja melingkar di pinggang Clarice yang berbangsa Cina itu. Dia mengukir senyum pada Clarice.
"Well, there is always a next time." Dia menjongket bahunya, dan mereka ketawa serentak. Sungguh Darin tak faham, apalah yang lucu sangat?
Charles kemudiannya mengajak Fakhri berkenalan dengan yang lain, tetapi Darin tidak berani berganjak dari tempatnya. Fakhri yang mengerti dengan ketegangan itu menghadiahkan senyum padanya supaya gadis itu bertenang.
"Tunggu sini. Saya ambilkan makanan dan minuman."
Darin akur. Jika boleh, dia memang tak mahu menyertai mereka. Sungguh dia tidak biasa bercampur begitu. Pertama kali dia beada di dalam situasi begini. Sejak kenal Fakhri, memang banyak yang pertama kali dalam hidupnya!
"Peliknya. Isterinya muda, suaminya tua. Macam-macam ada."
Darin bersandar saja di dinding di situ, berharap tidak ada yang mempedulikannya. Dia membelek handphone sekejap, dan memerhatikan Fakhri sekejap. Beberapa minit kemudian, Fakhri dilihatnya mendekati ruang barbeku dan berbual dengan pekerja di situ. Dia kemudiannya mengambil sesuatu lalu diletak ke dalam pinggan, dan sebotol air mineral diberi padanya oleh pekerja yang sama.
YOU ARE READING
Aku Bulan Dia Bintang
RomanceDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...