Aku Bulan Dia Bintang 2

3.7K 58 4
                                    

Fakhri mengukir senyum nipis saat matanya tertancap pada papan tanda kedai yang kini cuma berjarak beberapa meter saja darinya. Sudah lama dia tidak bersua muka dengan Kei, temannya yang juga merupakan pemilik kedai SmartTech Sdn Bhd itu. Siapa sangka, dalam ramai-ramai kenalannya, Kei yang berbangsa Cina dan beragama Kristian itu pula yang boleh ngam dengannya.

Sudah lama juga dia tidak menjenguk shopping complex ini sejak dia tinggal di UK bersama keluarganya yang menetap di sana. Jika bukan kerana urusan kerja, pasti dia tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia pun dalam masa terdekat ini.

Sampai di depan kedai, Fakhri tersenyum sumbing melihat Kei yang sedang tekun menghadap laptopnya. Kelihatannya cuma dia seorang saja di dalam kedai ketika itu. Fakhri terus memasang rancangan untuk mengenakan Kei.

Sebuah laptop yang terpamer di atas rak pameran dibeleknya dengan membelakangi Kei.

"Ini berapa?" Soalnya seraya meletakkan tangannya di mulut, bimbang suaranya dicam Kei. Ternyata soalannya mengejutkan Kei yang sedang ralit sebentar tadi. Mengenangkan pelanggan yang datang dan tiada seorang pun pekerjanya di dalam kedai sekarang ini, Kei terus meninggalkan laptopnya dan mendapatkan Fakhri.

"Oh, ini dua ribu saja. I boleh kasi you windows original sekali kalau you mau." Apabila Kei berdiri di sebelahnya, Fakhri terus berpusing sedikit dan memusatkan perhatiannya pada laptop lain pula. Sebelah tangannya di dalam poket seluar manakala sebelah lagi masih di mulutnya. Geli hati Fakhri cuba menahan tawa melihat Kei yang sedikit terkulat-kulat apabila dia tidak lagi menunjuk minat pada laptop pertama tadi.

"Ini pula berapa?" Tunjuknya pada laptop lain pula.

Kei turut beralih tempat, kali ini hampir berdepan dengannya membuatkan Fakhri berpusing 180 darjah bagi mengelakkan wajahnya kelihatan di mata Kei. Geli hatinya usah cakaplah.

"Oh, ini 1800 saja. Apa specs yang you mau?" Kei bersungguh-sungguh bertanya. Di dalam hatinya, rasa aneh sudah bertandang. Kenapa pelanggan ni macam kenal saja?

"I nak laptop yang harga seribu saja tapi ada semua specs terbaru. Ada?"

Kei menggaru kepala yang tidak gatal sambil merenung belakang kepala pelanggan itu.

"Sorry lor. Kalau you mau semua specs terbaru, seribu tak dapat lor." Dengan sedikit terkilan, Kei memaklumkan.

Fakhri menggeleng keras.

"Mesti ada. Macam mana you berniaga ni?" Marah Fakhri tercetus tiba-tiba, membuatkan Kei semakin bingung. Apa fasal pelanggan ni macam orang wayar putus saja?

Kei membuka langkah lagi untuk menghadap pelanggan itu. Mahu juga dilihat rupa pelanggan yang tak betul ini. Kali ini, Fakhri membatu saja.

"Haiya, sorry to..." Kei terus menepuk dahinya saat matanya menyapa wajah itu. Fakhri sudah pecah tawa seraya menarik bahu Kei ke arahnya kasar.

"How are you, my friend?" Soal Fakhri dalam tawa yang bersisa. Seronok betul dapat mengenakan Kei yang begitu lurus itu. Mungkin sebab itu dia suka berkawan dengan Kei walaupun berlainan agama dan bangsa. Sekarang, walaupun sudah jadi tauke tapi masih rajin melayan sesiapa yang bertanya kepadanya.

Kei turut membalas pelukan Fakhri dengan tumbukan ke pinggangnya, membuatkan Fakhri mengaduh kecil, masih dengan tawa yang belum mati.

"I almost thought ada pelanggan gila sudah datang ini kedai! Mana ada laptop with full specs harga seribu! Jutawan macam you pun manyak kedekut woo!" Marah Kei dalam nada yang ditinggikan.

Pelukan dua sahabat itu direnggangkan dan Kei terus membuka langkah ke belakang kaunter kembali dengan menggelengkan kepalanya.

Fakhri terus menarik sebuah kerusi tanpa dipelawa lalu duduk di depan Kei. "Alah Kei. You yang kedekut! Apa salahnya kasi diskaun untuk kawan you ni? Bukan selalu I balik sini."

Aku Bulan Dia BintangTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang