"Letak je kat atas lantai. Nanti acu angkatkan. Awak tunggu di luar rumah." Fakhri angkat kening.
"Awak nak saya duduk je dekat luar dalam cuaca panas terik macam ni?" Tanya Fakhri tak percaya.
Darin membesarkan matanya.
"Nak ke tak nak? Kalau nak, ikut cakap saya. Saya takkan benarkan lelaki asing masuk rumah ni. Faham?" Ditolaknya tubuh kekar Fakhri yang menghalang laluannya. Dia terus menghamparkan tikar di tangan. Barang di tangan Fakhri diambilnya tanpa banyak bicara.
"Duduk situ. Tunggu saya masak nanti saya bawa ke luar. 30 minit." Darin terus menghilang ke dalam rumah.
Fakhri cuma menggeleng tak percaya. Iris yang keluar untuk mengambil barang lagi terkejut melihat tikar yang berhampar di garaj kereta.
"Ngah! Apa ni?" Jerit Iris tak puas hati.
Darin yang sudah mula menyediakan bahan masakannya tidak mengendahkannya.
Iris pandang Fakhri yang menjongket bahu.
"Biarlah. Abang okey je. Lagipun, dia tengah marah kan? Ikut je. Daripada kena halau balik..." Fakhri sengih pada Iris. Ditanggalkan kasutnya lalu dia duduk melepaskan lelah. Baik aku duduk dalam kereta. Ada aircond!
Tapi hati kecilnya menghalangnya bertindak begitu. Macam mana nak ambil hati kalau panas macam ni pun tak tahan? Fakhri terus mengeluarkan telefonnya sementara Iris mengangkat barang masuk ke dalam rumah dengan mulut muncung.
"Cu..." panggil Darin apabila Iris lalu di belakangnya.
"Hmm..."
"Keluarkan kipas bilik aku. Pasang dekat luar."
Arahan ringkasnya mendatangkan senyum Iris. Sayang jugak dia dekat Abang Fakhri ya. Kalau tak, takkan dia kisah Fakhri berpanas di porch tu, kan?
Fakhri kelegaan apabila Iris keluar dengan kipas kecil.
"Thanks. Acu je yang kisah dengan abang kat rumah ni."
Iris sengih. "Angah yang suruh keluarkan. Ni kipas bilik dia ni."
Fakhri terdiam sebelum tersenyum senang menghantar Iris masuk ke dalam rumah. Angin yang mula menampar wajahnya membuatkan Fakhri memejamkan matanya. Nikmat betul.
Telinganya sudah dapat mendengar bunyi gorengan di dapur. Mungkin Darin sedang menggoreng drummet tadi. Fakhri tersenyum sendiri.
Darin sedang masak untuknya. Akan ada lagikah peluang ini? Fakhri mengeluh berat.
Dia membelek telefonnya. Mesej daripada ayahnya bertalu-talu masuk sejak tadi. Sengaja disenyapkan telefon itu supaya dia tidak terganggu. Lagipun, dia tidak punya jawapan untuk soalan-soalan itu. Mujurlah jadual kerjanya di Malaysia diatur olehnya sendiri. Maka Fakhri boleh saja berdalih mengatakan dia sedang berurusan kerja walaupun di hujung minggu, satu perkara yang tidak asing lagi baginya.
Mesej terakhir dari ayahnya dibaca dengan keluhan berat.
Video call me.
Fakhri termenung sebentar. Ayahnya yang baru saja pulang dari German itu baru saja mendapat khabar mengenai pengakuan berani matinya tempoh hari. Fakhri meraup wajahnya. Habislah dia kali ini...
Kalau ada perkara yang paling Tengku Adnan benci, itulah tabloid ataupun berita murahan. Padanya, kalau nak buat headline pun, mestilah di muka surat khabar UK yang gah seperti The Sun, The Glasgow Herald, tak pun The Guardian. Tapi boleh pula Fakhri muncul di website gosip seperti sakanmelayu.com!

ANDA SEDANG MEMBACA
Aku Bulan Dia Bintang
Storie d'amoreDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...