Aku Bulan Dia Bintang 32

6 0 0
                                    


Kau sang bintang...

Sentiasa hadir menemaniku

Walau tidak terlihat di mata

Hari Isnin, Darin sudah kebosanan di rumah. Belum lagi sampai hari Jumaat. Tapi dia tahu benar, jika dia pergi ke pejabat, pastinya telinganya panas dengan perlian dan sindiran Feeza dan Najwa. Tak ada masalah, cari masalah. Mujurlah kakinya sudah semakin baik.

Kata-kata Fakhri di dalam kereta langsung dia tak ambil endah walaupun sesekali dia terfikir juga, cuma cepat-cepat dia hapuskan. Rimas dia memikirkan Fakhri.

Darin yang sedang tergolek di atas sofa menonton televisyen terkejut apabila sebuah van tiba-tiba berhenti di depan rumah.

Terjengket-jengket dia memerhatikan dari balik langsir, van yang tidak berlabel itu. Seorang lelaki Cina separuh abad keluar dari van lalu berdiri di depan pagar yang berkunci. Darin semakin curiga.

"Helo! Ada orang tak?" Jerit lelaki cina itu.

Darin sudah kecut perut. Siapa pulak ni? Dia nak culik aku ke? Darin terus bersembunyi di sebalik dinding pula walaupun lelaki itu tidak dapat melihatnya di balik langsir kerana kainnya agak tebal.

"Apa dia nak? Macam gengster je." Dengan takut-takut, dia mencapai telefon di atas sofa lalu dihubungi Iris.

"Ala, jawablah Acu. Kut ya pun dating, takkan tak tengok handphone langsung!" Kecewa Darin apabila Acu tidak menjawab panggilan sampai ke sudah. Sekali lagi dicuba tetapi masih gagal. Saat begini, gatal saja mulutnya mahu memarahi Reza, teman lelaki Acu.

"Amoi! Sudah manyak panas ni! Mari la keluar sini! Ada balang untuk awak!" Jerit lelaki itu lagi.

Lelaki itu mengetuk-ngetuk pagar dengan pennya pula setelah puas dia memanggil.

"Kalau dia jahat, tak ada dia nak buat bising macam ni, kan?" Termenung sekejap Darin memikirkan segala kemungkinan. Hampir lima minit dibiarkan saja lelaki itu di luar.

Darin mengintai lagi, dan dilihatnya lelaki Cina itu sedang membelek sesuatu kertas di tangannya. Tiba-tiba, telefonnya berbunyi nyaring. Nombor yang tak dikenali yang sedang memanggilnya. Siapa pulak ni?

"Helo..." Takut-takut dia menjawab.

"Helo, Miss Darin? You ada rumah ka?" Aik. Dia mengintai lagi ke luar, dan dilihatnya lelaki Cina itu sedang bercakap di telefon. Dia yang telefon aku ke?

"Erm, kenapa ya? Awak siapa?" Soalnya ragu-ragu.

"Ada delivery for you. Sudah lama I tunggu luar rumah ni. Sender kata you ada di rumah."

Darin menahan gelak. Kasihan uncle ni. Delivery rupanya.

"Sorry uncle, saya dalam tandas tadi. Sekejap saya keluar." Dia terus mencapai kardigan dan menyarung tudung. Apabila dia sudah membuka pagar, lelaki itu sudah membuka pintu van dan sebuah jambangan bunga yang besar dan tingginya hingga ke paras dada dikeluarkan.

Darin tergamam. "Apa ni uncle?" Soalnya hairan apabila lelaki itu terus mengangkat jambangan itu melepasinya sebaik saja pagar dibuka.

"Bungalah. Haiya. You tarak nampak ka?" Jawapan uncle berbaur loyar buruk itu disambung Darin dengan sengih malu.

"Yalah, daripada siapa?"

Uncle itu mengangkat bahu seraya menggosok kedua tangannya sebaik saja jambangan besar itu diletakkan di garaj yang sememangnya kosong. Maklumlah, mereka tidak berkereta. Kereta babah pula Along yang gunakan.

Aku Bulan Dia BintangWhere stories live. Discover now