Aku Bulan Dia Bintang 40

27 1 1
                                    


Darin membuka pintu ke dewan di mana sidang akhbar akan berlangsung. Dia mencari-cari Amri, tapi entah ke mana lelaki itu sudah pergi. Dia mencari Feeza pula. Tak susah pun kerana warna rambutnya yang keemasan itu memang menarik perhatian sesiapa pun yang memandang.

Darin menuju ke arah Feeza yang kebetulan mempunyai kerusi kosong di sebelahnya. Apabila dia duduk, Feeza menghadiahkan pandangan jelik kepadanya.

"Eh, kau ni tak ada perasaan ke? Dah terang-terang dia reject kau, kenapa kau ada kat sini lagi? Aku ingat dah balik berendam air mata dah," perli Feeza perlahan.

Darin tersengih kelat.

"Sejak bila dia reject aku? Aku dan dia tak pernah ada apa-apa hubungan. Kenapa mesti aku nak marah? Ke, kau yang sakit hati sebab perempuan tu jauh lebih cantik daripada kau?" Tingkah Darin tanpa memandang ke arah Feeza yang sudah mengetap giginya geram.

Tuhan saja yang tahu. Segala isi perut hati jantung peparu semuanya sudah tunggang-terbalik, sakit hati melihat Fakhri berkepit dengan gadis secantik itu di depan khalayak.

Darin menoleh ke arah Feeza sekilas.

"Aku bagi amaran. Kalau kau tak nak aku malukan kau, baik kau jangan kacau aku. Ingat, Feeza. Aku takkan rugi apa-apapun dalam hal ni. Tapi kau... aku rasa kau nak lama lagi dalam bidang ni, kan?" Dengan beraninya Darin memberi amaran. Dia sudah puas dan penat mendengar perlian Feeza. Lagipun, tujuan dia masuk ke sini, bukanlah untuk bertekak dengan Feeza. Dia mahu mengenakan Fakhri.

Nun di depan mereka, Fakhri dan wanita anggun itu sedang berbual mesra di atas pentas, siap ketawa-ketawa lagi. Darin menggigit bibir. Sakit betul hatinya melihat adegan mesra mereka. Tambah sakit hatinya apabila dia perlu mengakui bahawa wanita itu benar-benar cantik. Dia tidak akan sama sekali mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan wanita itu. Kenapa Fakhri mesti nak mainkan aku dan bandingkan aku dengan wanita secantik ini? Dah ada perempuan cantik macam ni, mi bandung aku juga yang dia cari! Memang nahaslah.

Kalau Darin yang dulu, memang dia akan balik menangis merenung nasib malang. Tapi kali ini, Darin takkan menangis selagi dia tak pastikan Fakhri menangis sama. Kalau tidak, dia takkan tenang seumur hidup!

Beberapa ketika kemudian, pengacara majlis sudah menghidupkan pembesar suara.

"Selamat petang, and welcome to all of you. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi hadir, terutama sekali barisan pereka fesyen kita pada hari ini, dan VVIP kita, Tengku Fakhri Tengku Adnan dan Miss Evelyn Schiah. It is an honour for her to be here. As you know, she is always busy with fashion shows all over the world, and this time around she could be here with us. Sekali lagi, berikan tepukan gemuruh kepada tetamu kita pada hari ini."

Seluruh dewan bergema dengan tepukan daripada hadirin, tetapi Darin cuma memeluk tubuh. Matanya masih melekat pada pasangan di depannya itu.

"Seperti yang telah kita sedia maklum, the theme that has been selected for this time is Go Floral, yang bererti bunga-bungaan. Pereka-pereka kita telah diminta untuk menampilkan sebarang bentuk rekaan bercirikan bunga, dan saya yakin mereka takkan menghampakan kita. Tanpa membuang masa, saya mempersilakan pereka kita yang pertama untuk memberi ringkasan mengenai rekaannya kali ini. Dipersilakan, Cik Nila Karima." Pereka bernama Nila Karima itu sudah memegang mikrofonnya.

"Hi, and a very good evening to all of you. For this time around, I chose roses as it is a symbol of love. Semua orang sudah sedia maklum, bahawa rekaan saya akan turut diketengahkan sebagai grand finale nanti, dan saya yakin it will be a pleasant surprise to all of you. Selain daripada itu, saya juga mengetengahkan konsep tulip, dengan mengambil kira rekaan topi dan juga hiasan kepala seperti kebiasaannya saya. Rasanya, itu saja yang boleh saya katakan. Mungkin lebih baik anda semua lihat sendiri nanti. Kalau saya nak ceritakan semuanya, tak surprise nanti," ujar pereka bernama Nila itu seraya berseloroh. Mereka yang hadir ketawa mendengar lawak bersahaja pereka itu.

Aku Bulan Dia BintangWhere stories live. Discover now