Darin membuka pintu peti ais. Apa yang ada untuk dimasak? Lima hari di rumah tanpa membuat apa-apa menyebabkan barang dapur mereka susut begitu cepat. Sebenarnya mereka bukanlah gila memasak seperti Lily pun, tetapi barang asas juga sudah tiada seperti bawang merah, bawang besar, lada dan bawang putih serta halia.
Darin menutup pintu peti ais kembali lalu berlalu ke ruang tamu. Bunga dalam pasu yang semakin mengering membuatkan langkahnya terhenti. Dibeleknya pasu yang beratur di atas meja makan itu untuk membuang daun-daun kering.
"Cu, jom pergi Giant beli barang dapur. Dah tak ada apa dah nak dimakan ni," beritahunya tanpa memandang Iris.
Iris yang sedang menonton rancangan kartun yang bermain setiap hari Sabtu menggumam.
"Nak pergi mana?" Soalnya tanpa memandang Darin.
"Giant la. Aku tak ada mood nak pergi jauh-jauh."
"Okey. Pukul berapa?" Iris tiba-tiba menegakkan duduknya. Tanpa diketahui Darin, Iris mengukir senyum. Telefonnya di atas meja kopi di depannya dicapai.
"Siaplah sekarang. Tak nak lambat-lambat. Sekarang pun dah pukul berapa dah ni..." ujar Darin seraya mengerling jam di dinding. Sudah pukul 10.00 pagi.
Iris mengangguk-angguk.
"Kau mandi dulu," suruh Iris.
Darin mengutip daun kering di atas meja lalu dibuang ke dalam tong sampah. Akur dengan suruhan Iris, dia mencapai tuala di bilik dan berlalu ke bilik air.
Sementara itu, Iris pula sibuk merencana sesuatu. Sesekali dia tersenyum apabila memandang skrin telefonnya.
Selang 35 minit, mereka sudah berada di perhentian bas.
Darin mengesat peluh yang mula merenik di dahi. Lambat pula bas hari ni. Iris di sebelah sibuk dengan telefonnya. Kadang-kadang hairan juga Darin. Apa sajalah yang disibukkan dengan telefonnya. Sejak ada smartphone, perbualan mereka sudah berkurangan. Dulu, ada saja benda yang mahu dicakapkan antara mereka.
Sesekali Darin memanjangkan lehernya, mengharapkan bas sudah datang. Dengan cuaca yang tak menentu sekarang, keluar di kala tengah hari begini memanglah membuatkan peluhnya berbaldi-baldi turun.
Darin mengipas-ngipas wajahnya dengan tangan kanan. Dia menunduk, mahu memastikan baju yang dipakai tidak dibasahi peluh. Belum apa-apa lagi dah berpeluh macam berlari maraton. Berjalan dari rumah sudah berapa meter, menunggu di tengah panas lagi. Bagus juga tak ramai orang, dapatlah mereka duduk di bawah bumbung hentian bas sambil menanti.
"Ngah!" Teriakan Iris membuatkan Darin pantas berdiri secara spontan. Sangkanya bas yang datang. Tetapi tiada bas pun di depan mereka, yang ada cuma sebuah kereta mewah. Iris sudah turut berdiri di sebelahnya.
"Tu, bukan Abang Fakhri ke?" Kalau ada anugerah pelakon terhebat, memang Iris boleh jadi antara calon-calonnya. Dia yang memanggil Fakhri ke sini, pura-pura tak tahu pula!
Darin terpempan. Macam mana Fakhri boleh datang ke sini? Baru dia mahu menghadam apa yang sedang berlaku, tingkap sebelah pemandu sudah diturunkan. Wajah yang sudah beberapa hari tidak dijamahnya itu menjenguk ke luar kereta dengan kaca mata hitam.
"Darin! Jom!" panggil Fakhri tetapi Darin masih kaku.
Jom? Jom ke mana? Gila ke apa?
Darin mencubit lengan Iris yang tersengih-sengih.
"Kau panggil dia ke?" Bisik Darin geram.
Iris menggeleng sambil menayang wajah sedih.
"Mana ada... Sampai hati kau, Ngah. Dah dia nak datang, aku nak kata apa?" Dalih Iris seraya memeluk tubuhnya, merajuk konon.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aku Bulan Dia Bintang
RomanceDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...