"Kenapa saya patut percayakan awak? Mana saya tahu awak bukan orang jahat yang nak jual saya atau nak buat perkara buruk ke atas saya?" Darin masih menjarakkan diri dari lelaki itu yang sudah berdiri di sebelah pintu keretanya.
Fakhri menggaru dahi. Tidak dapat tidak, riak meluat sudah terpampang di wajahnya saat itu.
"Awak, saya ni kan, kalau saya nak buat jahat kat awak, baik saya habiskan awak di balik kereta tadi. Tak guna saya bawa awak ke sini, ke tengah-tengah jalan ni dan bertekak dengan awak. Awak nampak tu?"
Darin mengikut arah tudingan jari telunjuk lelaki itu, ke sebelah kirinya. Sebuah kamera litar tertutup menala betul-betul ke arah mereka.
"Kalau saya tinggalkan awak sekarang, saya akan jadi suspek utama kalau apa-apa perkara buruk menimpa awak malam ni. Sekarang, hari dah nak malam. Perkhidmatan bas masih ada lagi di bawah, kalau tak silap saya. Kalau awak nak balik naik bas, silakan. Tapi sekarang, saya kena bawa awak keluar dari sini dulu. After this, you are free to decide. So, what do you say?"
Kakinya masih terpaku di situ. Bagaikan mengerti dengan apa yang berada di fikiran gadis itu, Fakhri pantas menjongket bahu.
"Fine. Suit yourself. Tunggulah kat sini. Saya yakin takkan ada orang lain yang akan tolong awak. Tunggulah teksi ke, bas ke, jin ke, lalu sini. Suka hati awak la. Your choice. Saya tanya sekali lagi, nak ikut saya, atau tak?"
Darin masih membatu. Entah kenapa, wajah kaku itu membuatkan perasaannya tergores, dan egonya tercalar.
"Saya tak fahamlah. Apa masalah awak ni? Kenapa nak gelabah sangat? Bukannya saya nak makan awak pun!" Suaranya sedikit meninggi lantaran rasa sakit hati yang sudah memutik.
Tersentak Darin dengan kemarahan lelaki itu yang tidak dijangkanya.
"Awak tu kenapa? Suka hati sayalah nak ikut ke tak! Awak pergi je la! Saya lagi rela mati kat sini dari ikut awak!"
Fakhri meraup wajahnya, bengang apabila gadis itu tidak mengendahkan tawarannya. Peristiwa di kedai Kei tempoh hari kembali menjengah mindanya.
Hari itu dia berpakaian ala kadar saja. Mungkin kerana itu gadis ini tidak mengendahkannya. Tetapi hari ini dia memandu Jaguar! Jadi, apa masalah perempuan ini? Sangat tak faham!
"Saya sebenarnya malas nak cakap macam ni, tapi awak tahu tak siapa saya?"
Darin menggigit bibirnya. Kad di tangan dikerling sekali lalu.
"Saya ni, kalau setakat awak ni, boleh je saya nak hilangkan jejak awak. Proof! Confirm orang takkan jumpa awak, walaupun seurat benang, tahu! Takkan berkudis langsung pun pada saya dan keluarga saya! Setakat cctv tu, tak ada hal la. Simple matter. Tapi saya... Argh! Kenapalah aku susah payah nak tolong kau! Fine! Suka hati awaklah! Tunggulah kucing bertanduk! Bodoh sombong!" Fakhri terus menghilangkan dirinya ke dalam perut kereta dengan menghempaskan pintunya kasar.
Kereta itu memecut laju ke hujung bangunan meninggalkan Darin yang sedikit tergamam. Dua saat kemudian, Darin sudah memijak-mijak kad di tangannya sebentar tadi dengan sepenuh perasaannya. Puas hati aku!
Tapi, tiba-tiba saja lot parkir itu terasa sunyi yang teramat. Cuma nafasnya saja yang kedengaran. Dia memandang ke kiri dan kanan. Cuma kereta-kereta yang tidak bernyawa saja mengelilinginya. Lelaki tadi betul-betul sudah pergi. Pergi takkan kembali.
Rasa sesal mula mengetuk-ngetuk warasnya.
"Apasallah aku sombong sangat tadi? Dia kan nak tolong aku! Alamak, macam mana ni? Nak pergi mana ni? Bas. Cari bas. Tapi kat mana?" Air matanya kembali mengalir tanpa segan-silu.
Darin kini sendirian lagi. Kakinya terus melangkah, tanpa tujuan yang pasti. Nak patah balik ke? Atau terus je?
Saat itu, telinganya disapa bunyi kereta yang menghampirinya dari belakang dengan sangat laju. Dia menoleh pantas, mendapati sebuah kereta sedang menghala ke arahnya tanpa tanda-tanda mahu berhenti. Untuk sesaat, matanya terbelalak manakala jantungnya bagai mahu melompat keluar dari sangkar rusuk.
YOU ARE READING
Aku Bulan Dia Bintang
RomanceDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...