Empat hari kemudian, sekali lagi Darin hampir pengsan melihat website sakanmelayu.com. Kali ini, mereka menayangkan video pengakuan pendek daripada Fakhri. Isinya benar-benar mengejutkan Darin. Bukan saja Darin tapi Najwa dan Feeza juga terbeliak menonton video tersebut. Antara sebab lain mereka terbeliak, kerana kekacakan Fakhri dalam gambar itu, mungkin?
"Berkenaan dengan gambar saya yang menjadi tatapan media sejak beberapa hari ini, saya ingin membuat pengakuan bahawa gadis yang bersama saya tempoh hari, merupakan seseorang yang istimewa dalam hidup saya. Oleh itu, saya pohon agar gadis itu tidak diganggu. Apa saja soalan boleh ditujukan kepada saya, dan saya akan bersedia untuk menjawabnya. Sebarang persoalan boleh di e-mel kepada saya di fakhri@baronlogistics.com."
Sebaik saja video pendek itu habis dimainkan, Darin dapat merasakan pandangan jelik daripada mereka yang berada di sisinya.
Fakhri! Apa awak dah buat ni?
"Someone special? Seriously?" Soal Feeza dengan nada tidak percaya dan juga mengejek. Najwa yang selalunya menyebelahi Darin kali ini tidak terkata apa-apa.
"Selama ni, kau berlakon ke apa? Sedih la konon, terkejut la konon. Rupanya, memang ada hubungan! Kalau cakap awal-awal kan senang? Menyusahkan orang je!" Fail di tangan Feeza diayun-ayun ke wajah Darin yang tidak berganjak dari tadi.
Feeza kemudiannya berlalu dengan rasa meluat. Najwa terus duduk di kerusinya, tanpa mempedulikan Darin lagi. Sungguh dia merasa tertipu. Kenapa Darin mesti sembunyikan perkara sebegitu dan menyusahkan orang lain? Kecewa betul dia dengan Darin.
Darin yang masih lagi terkejut, semakin kaget dengan reaksi mereka. Dia terus berlari ke pantri. Nombor Iris didailnya.
"Acu! Fakhri..."
Sungguh Iris tidak terkejut dengan panggilan Darin, tetapi reaksi terkejutnya tetap dibuat supaya Darin tidak sedar, bahawa sebenarnya video itu merupakan idea Iris tatkala Fakhri mengadu mengenai Darin yang membencinya. Bagaimana lagi caranya mahu membuat pengakuan cinta kepada Darin, kan?
"Dia buat video pasal aku! Kau dah tengok ke?" Suaranya sudah serak.
Iris kaget! Apasal la lain yang diharapkan, lain yang jadi? Itu confession dia Angah oi! Apasal susah sangat kau nak faham? Simpati Iris pada Fakhri apabila Darin tak habis-habis memarahi Fakhri. Fakhri nak confess pun takut!
"Kau kena tengok Acu! Aku geram betul dengan dia tu. Mentang-mentang dia kaya, sesuka hati dia je nak buat apa pun!"
"Ya ke? Kau okey ke Ngah?" Soal Iris dalam rasa cemas yang dibuat-buat.
Dalam marah, Darin terus menangis.
"Ngah, kau sabar ya. Aku ada hal ni. Dah, dah. Jangan menangis."
Darin cuba mengawal esakannya, tetapi gagal. Terasa hina betul bila diperli Feeza tadi.
"Macam mana kalau Along tahu?" Soal Darin dalam sendu.
Iris mengetap gigi. Memang Along dah tahu!
"Aku rasa Along tak tahu la... Dia kan sibuk dengan katering dia tu. Mana ada masa nak tengok fb, blog web tu semua. Dia tu kira duit cash hari-hari je yang dia tahu," pujuk Iris.
Darin terkejut apabila pintu pantri diketuk.
"Acu, aku kena letak telefon."
"Okey Ngah. Nanti aku peluk kau. Kau jangan nangis, ya," pujuk Iris dengan rasa serba-salah yang menggunung.
Amri yang menanti di luar melihat Darin sudah berwajah sembap. Dia tahu Darin sudah melihat video itu, sebagaimana Ria dan juga dirinya.
"Ria nak jumpa."
YOU ARE READING
Aku Bulan Dia Bintang
RomanceDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...