Aku Bulan Dia Bintang 36

365 14 0
                                    

TIBA hari Jumaat iaitu hari kelima, Darin masih dalam mood bercuti. Seperti semalam, jam 12.00 tengah hari lagi dia sudah menunggu. Sekejap-sekejap dia berdiri lalu menyelak langsir. Sekejap-sekejap dia membuka pintu rumah bagi memastikan tiada sesiapa yang sedang menunggu di depan rumah. Semalam sudah tertidur, hari ni jangan tidur! Tekadnya bersungguh-sungguh.

Apabila matanya tertancap pada sepuluh buah pasu yang kini bersusun di atas meja, Darin tersenyum sendiri. Walaupun dia berkeras menidakkan perasaannya kepada Fakhri, Darin perlu juga mengakui bahawa kesungguhan Fakhri sudah mengusik tangkai hatinya.

Semalam, jenuh dia memekakkan telinganya apabila Iris memainkan recorder Fakhri berulang-kali. Memang tak berjayalah dia mahu menyorokkan recorder itu apabila Iris terus menyelongkar almarinya sebaik saja dia pulang bersama sepuluh buah pasu yang Darin minta. Katanya, percuma. Habuannya, hadiah Fakhri semalam mesti ditunjuk padanya.

Bila Darin membatukan diri, Iris lebih curiga. Terus dia menerpa ke bilik Darin dan sekejap saja recorder itu sudah berada dalam tangannya. Apa lagi, bermulalah ulangan recorder Fakhri semalam, sambil Darin mencuba nasib menggubah bunga ke dalam pasu. Berselang-seli usikan Iris dengan tawanya, sementara keras kejang urat wajah Darin kerana cuba menahan senyum.

Sesekali terlepas juga sengihnya sambil dia menyusun bunga-bungaan itu ke dalam pasu, tetapi cepat saja dia membetulkan riaknya sebelum diperhatikan Iris. Bukan saja dia tak mahu memberi harapan palsu kepada dirinya sendiri, tetapi juga kepada Lily dan Iris. Jika dia kecewa, mereka akan lebih kecewa.

Kerana itu jugalah, acap kali Darin mengeluh selepas tersenyum.

Piin!

Darin terus melompat bangun berlari membuka pintu rumah. Hampa.

"Cis! Pak cik aiskrim ni, sejak bila pulak main hon-hon ni? Pasanglah lagu, paddle pop, paddle pop, tak pun, mat cool mat cool kawanku, mari kita ikut, mat cool! Barulah cool!" Bebelnya tak puas hati sambil menutup pintu. Sebelum itu, sempat dia memerhatikan motosikal aiskrim itu berlalu, tidak mahu tersalah pandang.

Darin duduk memeluk tubuh. Penat duduk, Darin berbaring pula. Sudahnya, terlelap juga dia sambil menanti.

Jam 3.00 petang barulah handphonenya berbunyi nyaring mengejutkan dia dari lenanya.

"Helo!" Jawab Darin yang sedikit terkejut dan mamai itu.

"Hai akak, tidur lagi?"

Darin terus berdiri menyelak langsir.

Budak semalam sedang tersengih kambing di atas motosikal sambil memangku helmetnya. Nak kena betul budak ni. Terus dibukanya pintu rumah laju dengan mulut sedikit muncung.

"Kenapa lambat?" Marahnya seraya mematikan talian. Budak itu memberi riak terkejut yang dibuat-buat, masih lagi dalam sengihnya.

"Eh, akak tunggu saya datang ke? Tak sangka saya!" Ceria saja budak itu membalas sambil turun dari motosikal.

Darin mengetap gigi. Macam mana boleh salah cakap ni? Mahu saja dihantuk kepala ke dinding. Malu!

Darin tidak jadi mahu menerpa ke pagar. Dilambat-lambatkan saja gerakannya, menyarung selipar pun, sepatutnya beberapa saat saja memakan masa beberapa minit.

"So, dah ada berita gembiralah ni?" Tanya budak itu yang sudah membuka kotak simpanan barang motosikalnya.

Darin mencebik. Sengaja dia memandang ke arah lain, tidak mahu nampak sangat keterujaannya. Tadi dah kantoi dah, kali ni kena kontrol. Kontrol ayu.

"Berita gembira apa awak merepek ni?" Balasnya malas saat dia mendekati pagar yang berkunci, seperti selalu.

Budak itu mengelek kotak besar di pinggangnya. Darin sudah menjeling-jeling tetapi masih dikawal reaksinya. Budak itu tersengih lagi.

Aku Bulan Dia BintangWhere stories live. Discover now