KEESOKAN harinya, sungguh Darin tidak menjangka rumahnya sekali lagi akan menerima tetamu hampir waktu tengah hari. Sekali lagi Darin cuma berdiri di balik langsir, ragu-ragu mahu membuka pintu apabila dia menyedari sebuah motosikal berhenti betul-betul di depan pagar rumahnya. Dari pemerhatiannya, pemandunya kelihatan begitu muda. Mungkin lepasan SPM.
Anehnya, pemandunya tidak memberi salam mahupun mengetuk pagar seperti lelaki penghantar bunga semalam. Sebaliknya, dia terus mengeluarkan telefonnya dan mendail. Darin yang asyik memerhatikannya dari balik langsir hampir mahu melompat mendengar telefonnya tiba-tiba menjerit nyaring.
"Helo!" Diperhatikan pemandu motosikal itu tidak lepas.
"Helo? Cik Darin?"
"Ya, saya."
"Saya penghantar barangan. Ada barang untuk cik. Saya ada di luar rumah cik sekarang."
Darin tergamam. Selepas meminta sedikit masa, Darin menjengah keluar dengan sedikit rasa ragu.
"Awak penghantar barang?" Tegurnya tanpa melangkah dari muka pintu. Pagar masih berkunci, dan Darin rasa tidak perlu dia membuka mangga tersebut.
Budak lelaki yang masih berada di atas motosikal itu turun dari motosikalnya tanpa menjawab soalan Darin. Sebaliknya, kotak barang di bahagian belakang di bukanya, dan sebuah kotak yang besar sedikit dari semalam dikeluarkannya.
"Nah, ada barang untuk akak."
Darin angkat kening, masih tidak berganjak.
"Siapa bagi?" Saja bertanya walaupun dia yakin sangat siapa pengirimnya itu.
"Adalah orangnya. Ni ada nota kat sini ni." Dia sudah menghulurkan bungkusan itu melalui atas pagar, tetapi Darin masih berdiri di muka pintu.
Direnung saja wajah budak itu yang sudah sedikit berkerut.
"Akak tak nak terima. Pulangkan balik pada pengirimnya." Dia mahu menutup pintu tetapi budak itu menjerit menahannya.
"Kejap! Pengirimnya dah cakap dah, yang akak mungkin akan menolak. Jadi, saya tinggalkan di sini saja ya." Dia melepaskan kotak itu ke bahagian dalam pagar begitu sahaja, sambil tersenyum.
"Saya pergi dulu! Babai!" Budak itu terus memanjat motosikalnya dan berlalu pergi, sementara Darin masih tercengang-cengang melihatnya.
"Biar betul! Bukan ke aku diberi hak, nak terima barang atau tak? Ini dah paksaan namanya ni!" Dia mengomel sendiri sambil menyarung selipar. Macam mana Fakhri boleh agak dia akan menolak delivery Fakhri hari ini? Hish! Sakit hati betul la.
Kotak itu dikutipnya dengan perasaan membengkak. Apa lagi ni? Terus saja dia masuk ke dalam rumah sambil berteka-teki mengenai isinya kali ini.
Diletak saja kotak itu di atas meja. Nak buka ke tak ni? Dijengah kotak itu, kemudian dia berjalan ke kanan dan kiri sambil berfikir. Untuk aku ke, untuk Acu tu? Ke untuk Along pulak kali ni? Dia menggeleng kepala tak percaya mengenangkan semua ini boleh berlaku ke atas dirinya.
Kemudian, dia duduk di sofa sementara matanya tidak lepas memandang kotak di atas meja kopi itu. Buka ke tak? Tak payah la kut. Kalau bukan untuk aku, memang harus aku mengamuk. Ditarik semula tangannya. Tapi, budak tu kata untuk aku? Tapi, semalam pun katanya untuk aku, sebaliknya untuk Acu. Ah, buka je lah.
Kotak yang tidak berbalut itu terus dibukanya, dan sebaik saja lapisan pertama terbuka, sekeping kad bersampul kecil terjatuh ke atas lantai, lalu dikutipnya.
Bulan akan sentiasa ada, bintang pun akan setia... Walau sejauh mana jarak mereka.
TFTA
Banyaklah kau punya bulan bintang! Ish!
YOU ARE READING
Aku Bulan Dia Bintang
RomanceDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...