Sudah dua minggu Darin meninggalkan rumah Fakhri, dan dua minggu jugalah mereka tidak berhubung. Kerjanya diteruskan seperti biasa, dan sedikit sebanyak dia bersyukur kerana dapat meneruskan hidup seperti biasa. Ria juga tidak meminta apa-apa lagi mengenai Fakhri. Bezanya, Ria semakin kerap menghantarnya keluar. Darin pula sudah malas mahu membantah memandangkan dia sudah 'gagal' mendapatkan cerita Fakhri.
"Darin! mari sini kejap!" Panggil Najwa kalut sahaja di mata Darin.
"Apa..." Darin akur dalam malas. Dilihatnya Feeza juga sudah bertenggek di tepi Najwa dengan riak terkejut.
"Gambar kau, dalam ni."
Terbeliak mata Darin sebaik melihat beberapa keping gambarnya terpampang di skrin. Bila ni? Dibaca tajuk artikel itu di dalam hati.
'Usahawan Muda Dari UK Akhirnya Bertemu Cinta di Malaysia'.
Bertambah bulat matanya membaca headline itu. Bola matanya terus berlari ke bawah pula, membaca berita penuh.
'Seorang usahawan muda yang dibesarkan di UK, Tengku Fakhri Tengku Adnan dilihat begitu intim dengan seorang gadis tidak dikenali di ibu kota beberapa minggu lepas. Mereka ditemui bersama-sama dalam dua pertemuan antara usahawan itu dengan rakan kerjanya. Usahawan ini yang tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana wanita baik di dalam mahupun luar negara dilihat begitu mesra melayaninya, dan mereka dijangka berkahwin tidak lama lagi. Tengku Fakhri kini berada di Malaysia dan diuar-uarkan bakal mengambil alih Cendera Logistics and Transportation tidak lama lagi.'
Lemah lututnya, membuatkan Darin terpaksa berpaut pada meja Najwa bagi menampung berat tubuhnya.
Najwa merenungnya dengan simpati, sementara Feeza memeluk tubuhnya dengan riak berbeza.
"Kau okay ke?"
Darin tidak mampu membalas.
Matilah kalau Along tahu. Matilah...
Gambar yang terpampang merupakan gambar mereka ketika dia dan Fakhri sedang menunggu kereta, dan juga ketika mereka mahu memasuki restoran di mana Fakhri bertemu rakannya tempoh hari. Dari sudut gambar itu, sememangnya mereka kelihatan begitu rapat.
Jika Darin seperti hampir tidak percaya melihat gambarnya sebegitu, bagaimana pula dengan orang lain yang tidak tahu apa-apa?
"Blog apa ni?" soal Darin lemah.
Najwa pantas melirik nama website itu.
"Sakanmelayu.com. Aku memang selalu baca gosip dari sini. Diorang selalunya dapat gosip cepat. Selalunya betul gosip tu. Itu yang popular website ni. Tak sangka pulak pagi ni..." Najwa tidak jadi menghabiskan ayatnya. Feeza pula sudah berlalu dengan rengusan kasar, ke mejanya.
"Kau rasa lepas ni semua orang akan tahu ke?" Soal Darin lagi, fikirannya terasa seperti melayang-layang.
"Hurm...selalunya, sumber dari sini memang akan lepas ke tangan orang lain," ujar Najwa dengan rasa bersalah.
Darin tidak terkata apa-apa lagi.
Dia menyentuh bahu Najwa lembut, sebelum berlalu tanpa berkata apa-apa lagi. Duduk di kerusinya, dia termenung sebentar. Otaknya kosong. Apa yang perlu dilakukannya sekarang? Darin terus mengeluarkan telefon bimbitnya, lalu didail nombor Iris. Sebaik saja suara Iris kedengaran, Darin tidak mampu berkata apa-apa. Air matanya terus mengalir laju, membuatkan Iris kalut di sebelah sana.
"Ngah! Kau kenapa pulak ni?" Darin terus berlari ke pantri dan mengunci pintu dari dalam. Nasib baiklah tidak ramai orang lagi. Dalam esakan, Darin menyampaikan berita itu dengan bersusah-payah.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aku Bulan Dia Bintang
RomansaDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...