"NAK masak apa?" Fakhri yang sedikit kekok menolak troli melirik Darin di sebelahnya yang cuma membisu sejak mereka tiba tadi.
Iris sudah hilang entah ke mana sejak dia masuk ke dalam Giant tadi. Memang mengada-ada betul Acu ni. Sajalah tu tinggalkan aku dengan Fakhri!
"Beli je apa-apa." Rancangannya mahu membeli barang dapur dan juga beberapa barangan asas seperti sabun cuci terus terbantut. Kalau dia beli, tak mustahil Fakhri akan membayarkan semua barangan itu.
Pening kepala Darin memikirkan sia-sia saja dia datang ke sini tanpa membeli apa-apa.
Fakhri membongkok di atas troli sedikit.
"Saya teringin nak makan makanan Melayu homemade," ujarnya memancing.
Darin buat tak peduli. Fakhri berdiri tegak pula.
"Awak dengar tak ni?"
Darin terus berjalan. Fakhri terus memintas laluannya dengan troli yang ditolaknya. Tajam mata Darin memandangnya.
Fakhri menentang mata Darin dengan riak selamba.
"Cook something for me."
Darin melarikan mata dan kakinya. Dilencong laluannya agar menjauh dari Fakhri. Tapi sekejap saja Fakhri sudah berada di sebelahnya lagi.
"Awak nak saya buat pengumuman kat sini ke?"
Darin menoleh pantas, tetapi Fakhri tidak memandangnya. Selamba saja dia mengugut tanpa rasa bersalah. Darin merengus kasar.
"Awak tak risau ke kedudukan awak terjejas kalau ada orang tangkap gambar awak dengan saya macam ni? Saya tak apalah. Tak ada apa pun yang orang boleh ambil dari saya lagi. Awak ada semuanya. Sia-sia saja awak hilang semua tu sebab saya nanti." Entah kenapa, Darin terasa sayu tatkala bibirnya menuturkan ayat itu.
Fakhri masih beriak selamba.
"Saya tak ada apa yang boleh diambil dari saya juga, sama macam awak. Tak ada apa yang saya nak risaukan."
Darin sudah berhenti berjalan, kini bercekak pinggang.
"Awak anak orang kaya. Kereta mewah, rumah mewah. Apa yang awak tak ada? Baju awak, harga berapa? Ratusan, tak pun ribuan. Kan? Nak tahu baju saya harga berapa? RM25 je, beli di Uptown. Puas hati?"
Terkebil-kebil Fakhri mendengar bebelan Darin, malangnya dia masih tidak berubah riak. Seperti tak peduli pun ada.
"Semua ni bukan hak saya pun. Anytime je I will lose everything." Fakhri memetik jarinya di depan muka Darin sambil tersenyum.
"Poof! Just like that!"
Darin mengetap giginya. Apalah susah sangat lelaki ni nak faham bahasa? Hish! Geramnya!
"Jom..." ajak Fakhri apabila Darin masih membatu di situ. Apabila seorang pengunjung meminta laluan, barulah Darin bergerak dalam rasa terpaksa.
"So, awak masakkan untuk saya ya," pinta Fakhri lagi.
Darin cuma mengemam bibir. Bukan dia tak reti masak, bukan juga dia pemalas. Tetapi dia sudah serik. Berapa kali dia masakkan untuk semua lelaki yang dia sayangi sebelum ini, tetap ditinggalkan juga. Bila Fakhri meminta begitu, hatinya terusik. Memori lama kembali singgah dalam fikiran.
"Bila saya nak bagi dekat awak makanan tu?" Soalnya perlahan.
Fakhri angkat kening.
"Kan saya nak pergi rumah awak ni, saya pergi makan la."
Bulat mata Darin mendengar balasan Fakhri.
"Bila pulak saya ajak awak pergi rumah saya?" bentaknya garang. Fakhri tak habis-habis memberi kejutan padanya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aku Bulan Dia Bintang
RomanceDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...