Aku Bulan Dia Bintang 28

8 0 0
                                    


Fakhri mengetuk-ngetuk sterengnya. Dia sudah membuat keputusan. Dia akan bersemuka dengan Lily. Kata-kata Kei kini mula memenuhi benaknya. Benar kata Darin, jujurlah dengan diri sendiri. Itu lebih baik.

Hanim terseksa kerana tindakannya yang pengecut, bila dia perlu mempertahankan Hanim tetapi dia gagal. Semuanya kerana budi. Tetapi kali ini, mungkin ada sesuatu yang boleh dilakukannya. Walaupun kehadiran Darin dalam hidupnya membuatkan dia tunggang-terbalik, kini dia mengerti. Darin merupakan sinar baru untuknya. Dan seraut wajah yang selalu mencebik dan memuncung itu kini dirinduinya.

Fakhri menegakkan duduk tatkala sebuah van putih melepasinya. Maklumat yang diperoleh oleh Kei jarang sekali silap. Di hadapannya, sebuah rumah kembar dua lot tepi menjadi tatapan. Dia sedang menanti Lily yang merupakan seorang pengusaha katering, menurut Kei.

Moga-moga semuanya berjalan lancar. Sempat Fakhri menadah tangan untuk berdoa. Gementar dan gemuruhnya kali ini, lain macam daripada selalu sedangkan bukan dia tidak pernah menghadiri mesyuarat yang menentukan keuntungan berjuta-juta.

Bagaimana kalau Lily menolaknya? Bagaimana kalau Lily memarahinya?

Seorang wanita awal 30-an keluar dari van tersebut. Sibuk dia memberi arahan kepada pekerjanya. Gerun pula Fakhri melihat. Macam mana ni?

Ah Fakhri! Kalau tak nak, melepas. This is your one and only chance! Dia perlu menebus dirinya pada Darin. Dan dia juga akan membuktikan kepada ayahnya, bahawa Darin tidak seteruk yang disangka.

Fakhri keluar dari Jaguarnya yang megah terparkir di tepi jalan itu. Dia mengatur langkah yang sedikit kalut ke arah rumah yang tidak bertutup pagarnya. Rumah itu telah diubahsuai, dan bahagian tepinya seperti dewan kecil. Melihat dua orang lelaki mengangkat barangan dari dalam van ke situ, Fakhri sudah meneka, mungkin di situ tempat mereka menyediakan makanan bagi perkhidmatannya. Fakhri sudah berdiri di pagar, tetapi dia tidak terus melangkah masuk.

"Assalamualaikum." Suaranya hampir tidak mahu keluar. Apabila Lily menoleh dengan pandangan hairan, sedikit sebanyak kerinduannya terubat. Wajah mereka hampir seiras, walaupun Lily tidak mencebik atau memuncung seperti lazimnya Darin.

"Waalaikumussalam. Encik cari siapa?" Soal Lily ramah tetapi berbunyi tegas. Fakhri bertambah kalut.

"Err, Puan Lily?"

Lily mengangguk. Hairan dia melihat lelaki asing itu, dan kereta mewah di belakangnya. Siapa dia?

"Saya Fakhri. Saya ada hajat nak jumpa puan, berkenaan dengan Darin." Keluar juga suaranya, berharap jelas di pendengaran Lily yang berjarak beberapa meter darinya.

Lily terpana sekejap. Darin?

"APA? Astaghfirullahalazim..." ucap Lily seraya menekup mulutnya. Marzuki suaminya turut mengucap panjang. Rumah mereka sunyi saja waktu ini memandangkan kedua anak mereka sedang tidur petang.

"Tapi tak ada apa-apa yang berlaku. Saya... Alhamdulillah saya tiba tepat pada masanya." Fakhri cepat menambah supaya mereka faham akan cerita keseluruhannya. Lily menggeleng dengan riak tidak senang. Mendengar cerita Darin hampir diperkosa membuatkan naluri keibuannya membuak-buak marah.

"Kenapa awak gunakan Darin hanya untuk temankan nenek awak? Dia nenek awak. Walaupun nenek awak senang dengan Darin, adik saya bukan boneka." Keras suara Lily sebaik saja dia tahu Fakhri menggunakan kuasanya untuk meminta Darin menemani nenek.

Fakhri tertunduk. Dia memang bersalah, tiada apa yang boleh dikatakannya lagi.

"Maafkan saya. Sebab itulah saya datang ke sini hari ni. Darin mesej saya semalam, katanya gambar kami dah menjadi bahan media. Kononnya, saya akan berkahwin dengan Darin tak lama lagi."

Terlopong mulut Lily sebelum ditekupnya lantaran terlampau terkejut.

Fakhri menghela nafas dalam.

"Saya minta maaf. Kerana saya, Darin dah terlibat dengan perkara yang tak sepatutnya."

Lily sudah kehilangan kata. Diteguk air kosong di depannya laju. Marzuki pula sudah memeluk bahunya memintanya supaya bertenang.

"Jadi, awak datang ni untuk apa? Bayar kami supaya menjauhkan diri daripada awak?" Marah Lily dengan tidak semena-mena.

Fakhri terpempan mendengar tuduhan itu, tetapi dia hanya menarik senyum.

"Ya, tapi, bayaran tu bolehlah dikatakan sebagai hantaran untuk majlis kami nanti."

Lily terdiam lagi. Sungguh dia tidak faham apa yang dikatakan oleh usahawan muda di depannya ini. Cuma Marzuki saja yang berkerut dahinya.

"Maksud encik..."

Fakhri tersenyum lagi.

"Saya berhasrat nak jadikan Darin isteri saya yang sah." Akhirnya hasrat itu terluah juga.

Sekali lagi Lily terlopong.

"Abang, kita tak salah dengar, kan?" Ditepuk lengan suaminya dengan mata masih melekat pada Fakhri yang kelihatan tenang di luarnya, sedangkan di dalam sudah gegak-gempita. Dia sedang merisik Darin! Macam tidak percaya!

Fakhri menggeleng, masih dengan senyum meleret. Lily mengecilkan matanya ke arah Fakhri.

"Awak nak mainkan adik saya, kan? Walaupun kitorang tak kaya, kitorang tak kebulur lagi la!" Marah Lily tiba-tiba.

Marzuki menyinggung siku mengena lengan Lily tanda menegur tindakan Lily.

Fakhri pula sudah berundur sedikit ke belakang. Mak aih, ganas betul adik-beradik ni!

"Apa Lily cakap macam tu? Cuba kita dengar dulu baik-baik."

Lily merengus perlahan seraya menjeling Fakhri.

Fakhri tersenyum lagi. Memang kakak Darin. Semuanya macam singa, tapi jelingan Darin lebih manja, kut?

"Sebelum tu, saya ada sesuatu yang saya nak cakapkan. Kalau Kak Lily dan Abang Marzuki setuju dan faham apa yang saya bakal katakan ni, insya-Allah, saya akan melamar Darin bila tiba masanya." Fakhri berbicara yakin. Takut juga disergah Lily apabila mendengar perubahan panggilannya, tetapi dia lega apabila Lily tidak lagi menyergah seperti tadi.

Bertambah rasa syak-wasangka dalam hati Lily. Tetapi mengenangkan suaminya ada bersama, Lily cuba menahan dirinya dari hilang kawalan. Pantang sungguh orang mengusik adiknya, walaupun jarang dia bersama mereka.

"Apa yang kamu nak cakapkan tu?" Soal Marzuki tenang.

Fakhri bermain dengan jemarinya sendiri, berkira-kira untuk mendedahkan perihal yang tidak pernah diketahui orang luar, kecuali Kei. Itupun kerana Kei kawannya dari tempat yang sama.

"Saya harap, abang dan kakak cuba dengar dulu. Walaupun abang dan kakak mungkin nampak saya macam ni, tetapi banyak yang saya sembunyikan. Saya harap, abang dan kakak boleh dengar dengan perasaan terbuka. Kalau nanti, abang dan kakak tak boleh menerima saya, saya takkan dekati Darin lagi."

Janji Fakhri membuatkan Lily sedikit terpempan. Apa yang dirahsiakan lelaki ini?

"Okay. Kami dengar," balas Marzuki masih dengan nada tenang.

Fakhri berdeham perlahan. Ditatap wajah Lily dan Marzuki silih berganti.

"Macam ni..."

Aku Bulan Dia BintangWhere stories live. Discover now