Di depan kaunter, Darin menadah telinga mendengar Fakhri bertanyakan mengenai bilik tanpa merujuk padanya terlebih dahulu. Bimbang dengan harganya dan keadaannya yang tidak berduit, Darin memberanikan diri mendekat.
"Erm, awak, siapa nak bayarkan bilik tu nanti? Saya tak ada duit ni." Darin bersuara perlahan.
Dia terundur ke belakang apabila Fakhri menoleh dengan pandangan tajam.
"Habis, awak nak tidur dalam kereta? Maaf, kereta saya bukan tempat tidur walaupun kereta tu memang selesa. Kalau awak nak, saya caj seribu ringgit untuk satu malam dalam kereta tu. Nak?" Nada sinisnya membuatkan Darin tidak lagi berani membantah mahupun bertanya.
Dia memeluk tubuhnya geram tanda protes tetapi bibirnya terus terkunci rapat. Hairan agaknya petugas itu melihat gelagat mereka kerana dia sedikit terkejut apabila Fakhri bertanya lagi mengenai bilik itu dan kemudiannya memberi arahan mudah.
"Charge the room under my name," pintanya dan petugas itu mengangguk tanpa banyak bicara.
Darin semakin resah. Kereta dia dah seribu ringgit. Berapa ribu pula bilik hotel ni? Macam mana mahu membayar nanti?
Darin mengeluh panjang. Dia tiada pilihan lain. Cuma Fakhri saja yang dia kenali sekarang, walaupun hakikatnya mereka baru mengenali satu sama lain. Darin sedikit terkejut apabila Fakhri menoleh lalu menghulurkan sekeping kad kepadanya. Dipandang kad yang sudah bertukar tangan itu dengan pandangan kosong.
"Apa ni?"
Raut wajah Fakhri berubah pelik mendengar soalan yang terpacul dari bibir Darin.
"Kunci bilik awak. Tak tahu ke hotel pakai kad je untuk kunci bilik? Kunonya awak," kutuknya tanpa ditapis-tapis.
Ternganga Darin mendengar balasan yang agak biadab itu. Darin sudah tidak berani mengangkat matanya untuk memandang petugas kaunter itu. Malu yang teramat. Tanpa riak bersalah, Fakhri terus membuka langkah meninggalkan kaunter dan Darin yang masih terkebil-kebil.
Dia cakap aku kuno? Dia ingat semua orang kaya ke yang setiap malam tidur hotel? Aku bukan macam dia! Sampai hati dia! Sampai hati!
"Oi, cepatlah. Perempuan simpanan saya dah tunggu."
Sekali lagi Darin tersentak dengan bicara bersahaja Fakhri yang ternyata tidak menghiraukan sekelilingnya. Darin pantas mengerti. Fakhri sedang membalas dendam. Tanpa berlengah, Darin terus membuka langkah mengejarnya.
"Sebab saya cakap awak ada perempuan simpanan, awak boleh malukan saya depan orang macam tu saja?" Luahnya geram. Fakhri cuma mengerling Darin sekilas, masih dengan riak neutral.
"Tak adalah. Saya jujur cakap awak kuno," balasnya senada.
Darin mengetap bibir sambil merenung wajah Fakhri geram.
"Hotel sekarang memang banyak guna keycards. Awak tak tahu, sah-sahlah awak kuno. Bukan macam tu ke?" Ditekan butang lif dan Fakhri melangkah masuk ke dalam lif diikuti oleh Darin.
Darin semakin terkedu dengan kelancangan mulut Fakhri. Dia benar-benar kehilangan kata. Mahu saja dia memuntahkan balasan pedasnya, tetapi mengenangkan dia kini sudah berhutang dengan Fakhri, dia terpaksa menahan mulutnya daripada terus memuntahkan kemarahan. Kalau nak diikutkan, sudah Darin carutkan dan marahkan di situ juga. Dengan perasaan membengkak, dia membuntuti langkah Fakhri hingga sampai ke depan sebuah pintu bilik.
"Kunci," pinta Fakhri dengan nada mendatar. Memang sudah tiada kemesraan dalam nadanya.
Darin menyerahkan kunci tanpa banyak soal. Tidak dapat tidak, ternganga juga mulut Darin apabila melihat Fakhri menggunakan kunci itu. Dia cuma memasukkan kunci itu ke dalam slot di tombol pintu sehingga lampu hijau menyala dan dibuka pintu itu seluas-luasnya. Kad tadi kemudiannya diselitkan ke dalam satu slot lain yang terletak sebaris dengan suis-suis di dinding, dan lampu menyala serta-merta.
YOU ARE READING
Aku Bulan Dia Bintang
RomanceDISCLAIMER: INI CUMA PAPARAN BAGI TUJUAN PROMOSI. Untuk membaca naskhah penuh, sila dapatkan naskhah ini di pasaran bermula Februari 2016. <3 DARIN, diketemukan dan dikehendaki 'bertugas' selama tujuh hari dengan seseorang yang bergelar 'Tengku'...