'Jangan takut untuk menyayangi hanya kerana tak mampu tanggung sakitnya kehilangan.'Ayat yang masih berlegar di fikiran Lutfan apabila dia membaca surat terakhir kiriman dari Ara dulu. Disebabkan itu juga, persahabatan mereka terputus. Dia tidak menyangka Ara menganggapnya secetek itu.
Disebabkan dia mendiamkan diri selepas kematian Lutfi, Ara terus membuat andaiannya sendiri. Dia tidak perlukan manusia yang suka mengadili kerana Lukman sudah memainkan peranan itu dengan baik sekali.
Berjumpa kembali di waktu genting seperti sekarang sememangnya mencabar kesabaran Lutfan. Lagi satu, macam mana Ara boleh bertindak sembarangan sedangkan dia sedang mengandung? Kenapa berani sangat minah ni?
Panjang umur Ara apabila dia sedang berjalan membawa dua gelas plastik di tangan. Garis di bibir semakin menipis sebelum senyuman lebar dilemparkan. Jangan senyum macam tu boleh tak?
Entah kenapa Lutfan berasa lemah setiap kali melihat senyuman tersebut. Walaupun bermuka garang tapi tiada siapa yang boleh tandingi senyumannya. Suka senyuman je, bukan orangnya.
Lebih baik beredar daripada tersepit. Punggung sudah terangkat tapi kaki tidak bergerak selepas Ara menyapa.
“Amboi laju je nak gerak.” Tanpa disuruh, kerusi di depan sudah ditarik sebelum dia melabuhkan punggung. “Duduklah dulu. Lama tak jumpa ni.”
Cara percakapan Ara masih sama. Sering dibuli di rumah, Ara nekad untuk menjadi kuat di luar supaya tiada orang lain yang membulinya. Tidak sangka apa yang di ajari masih kekal sampai sekarang walaupun dia sudah berkahwin.
Tapi kenapa jarinya kosong. Takkan dah bercerai. Kalau iya, bayi dalam kandungannya macam mana? Dan kenapa pula dia yang sibuk pikirkan tentang orang yang dah tak penting dalam hidupnya.
“Mama dengan papa kau sihat?” soal Ara tanpa kekok. Kepala mengangguk sebelum air kopi di dalam cawan diminum sampai habis. Seperti cawan yang kosong, macam itu juga otaknya. Masih tidak berjumpa alasan untuk beredar.
“Kau dah kahwin?”
Mak ai berterus-terang sangat si Ara ni. Nasib tidak tersedak air liur sendiri. Kedua-dua kening diangkat apabila soalannya tidak dijawab.
“Tak ada soalan lain?” Rimas pula rasa apabila soalan yang sama sering ditanya setiap kali berjumpa dengan perempuan.
“Tak ada. Jawab soalan aku tu,” desak Ara tapi tidak diendahkan.
“Aku gerak dulu. Dah lambat.” Lutfan berdiri selepas membelek jam yang sudah mati semasa selamatkan Daus semalam. Alasannya supaya tidak terlupa untuk membetulkan tapi tak sangka dapat membantu dalam situasi seperti sekarang.
“Lut.” Ara turut berdiri. Dihulurkan sekeping kertas berwarna pink. “Ingat tak surat ni?”
Tulisan di dalam adalah tulisan Lutfan yang tidak banyak berubah dari sekarang. Isinya membuatkan hati yang panas meningkat sehingga paras mendidih.
“So? Kau nak tuntut janji ni.” Kertas kecil hilang dalam genggaman.
“Wei, kertas aku.” Itu pun hendak merengek. Kertas kesayangan yang sudah renyuk dirampas. “Apa masalah kau? Asal kau konyokkan kertas aku.”
Bahu Lutfan ditampar setiap kali Ara bersuara. Dibiarkan tanpa melawan walaupun agak sakit hanya kerana dia sedang mengandung. Bila dah penat, dia akan berhenti sendiri.
“Dah puas? Boleh aku pergi? Ke nak tumbuk pulak?” Memutuskan untuk menanam rasa benci dalam hati Ara kepadanya. Memandangkan Ara sudah mempunyai pasangan, ini jalan yang terbaik.
YOU ARE READING
Misi 7 Bulan
Romance'Tooth for a tooth, brothers for the brother.' Inspektor Zade Lutfan-seorang lelaki yang terperangkap dalam kerjaya impian abangnya sebagai anggota Unit Tindakan Khas. Demi mengejar impian sendiri, Lutfan harus membalas dendam terhadap apa yang berl...