Ara mencuba pelbagai posisi tapi tetap gagal. Bagasi yang terlebih muatan mula memuntahkan isi dengan sendirinya. Tidak mahu kerja kerasnya selama satu jam sia-sia begitu saja, Ara mengambil keputusan untuk duduk di atas beg tersebut.
“Tahan nafas tu,” suruhnya pada beg yang tidak bernyawa. “Sikit lagi ni.” Tangannya sudah menggeletar menahan zip yang berada di tengah.
“Dah siap?” Lutfan muncul mengendong beg. Dia meninjau sekeliling. “Mana beg kau?”
Ara terkulat-kulat berusaha menyorokkan begnya. Kakinya dikepak supaya Lutfan tidak nampak dari atas. Kalau tak pasti seribu satu soalan dia akan tanya.
Dia menghembus nafas lega apabila Lutfan terus beredar ke meja tanpa menanti jawapannya. Kotak hitam diambil sebelum dihulur pada Ara.
“Masukkan dalam beg kau. Beg ni dah penuh sangat.” Lutfan menjungkitkan bahunya.
Kalau masih boleh tutup pun dianggap penuh apatah lagi begnya yang tidak mampu ditutup walaupun dengan paksaan.
“Ala. Aku malas nak buka balik beg.” Ara mencari alasan. “Kau sumbat je dalam beg kau. Tak pun tak payah bawak.”
“Benda ni penting. Dan…” Lutfan terus menyepak perlahan beg di bawah punggung Ara, “beg kau tak tutup pun lagi. Masukkan sekali.”
Punggungnya beralih membuatkan penutup beg terbuka besar. Usahanya menjadi sia-sia sehingga dia terduduk di atas lantai. Kali ini, dia pula yang menendang beg tersebut.
“Beg penuh. Nak tutup pun tak boleh.” Mata Ara mula berair. Hari ini dia merasakan moodnya tidak bagus. Semua benda rasa seperti tidak kena. “Aku tak nak pergilah macam ni.”
“Eh, jangan menangis. Aku tolong tutupkan.” Lutfan menurunkan begnya lalu melutut di sebelah Ara.
Beg besar ditarik mendekatinya. Beberapa barang dibelek sebelum Lutfan memegang sesuatu di tangannya. “Nak tanya sikit. Buat apa bawak dua benda ni ye?”
Ara merangkak ke depan untuk melihat. “Aku nak cari cangkerang nanti. Mesti kena ada baldi dengan pengaut ni.”
Lutfan terduduk di atas lantai beria ketawa sehingga hujung matanya berair. Mencari siput atau cangkerang adalah aktiviti wajib bila ke pantai. Entah apa yang kelakar pun tak tahu.
“Ara, benda ni boleh beli dekat pulau nanti. Jangan risau aku belikan,” balas Lutfan mengalihkan peralatan Ara ke tepi.
Ketawa sikit sudahlah tak perlu sampai menangis. Panas hati Ara melihat sisa tawa di bibir Lutfan. Dia mengangkat pengaut tadi.
“Jahat kau gelakkan aku kan.” Ara mencakar belakang badan Lutfan menggunakan pengaut. “Aku mana tahu apa yang jual dekat sana. Sebab tu aku nak bawak.”
“Aku bukan gelak sebab tu,” Lutfan menarik lutut Ara membuatkan Ara mengelungsur ke arahnya. “Aku rasa lucu bila kau beria sampai menangis semata-mata sebab baldi ni.” Hujung hidung Ara dicuit. “Suka buat perangai comel macam ni.”
Dahlah dirinya ditarik senang seperti sehelai kertas lepas tu kena puji comel pula tu dengan si suami. Berhaba mukanya, nasib tak terbakar.
Mata Lutfan mencarinya membuatkan Ara melarikan pandangan dan dia bernasib baik kerana terpandang beg hitam di atas katil. Dia terus berlari mendapatkannya lalu di bawa ke Lutfan.
“Masukkan ni sekali.”
Lutfan berhenti untuk mendongak. “Ara. Aku dah zip separuh dah ni. Ingat senang ke nak buka balik.”
Dia pula melutut di depan Lutfan. “Sorry. Tapi beg ni penting. Ada ubat supaya aku tak pening nanti.”
Lutfan mengeluh sedikit. “Setakat ubat tu, sumbat dalam poket seluar je. Nanti nak makan jugak kan,” cadang Lutfan tapi Ara tidak menjawab. “Barang apa lagi dalam tu?”
YOU ARE READING
Misi 7 Bulan
Romance'Tooth for a tooth, brothers for the brother.' Inspektor Zade Lutfan-seorang lelaki yang terperangkap dalam kerjaya impian abangnya sebagai anggota Unit Tindakan Khas. Demi mengejar impian sendiri, Lutfan harus membalas dendam terhadap apa yang berl...