Bab 31

258 42 9
                                    

Pinggan putih di peha Lutfan masih kaku seperti kakinya. Sejak dari pagi, pinggan tersebut hanya bergerak jika tangan Lutfan masuk campur dalam latihan yang diberikan oleh pihak hospital kepadanya.

"Geraklah." Pemegang kerusi roda dihentak dengan agak kuat.

Walaupun sekadar menggunakan fikiran tetapi seluruh tubuhnya mulai berpeluh. Dahinya terasa ditekan dari kedua-dua arah sehingga mampat di tengah.

Gerak. Gerak.

Tak guna berlatih jika otak dan kakinya tidak dapat berhubung. Lutfan berehat walaupun pinggan tersebut masih tetap disitu.

Hampir setiap hari dia melakukan latihan yang sama namun masih tiada kesan yang positif. Hari ini sudah masuk bulan ketiga perjanjiannya dengan Ara. Masih berbaki empat bulan tetapi peluangnya untuk mendapatkan hak penjagaan anak semakin menipis.

Berdiri di atas kaki sendiri dalam tempoh empat bulan kelihatan seperti Gunung Everest. Dia perlu ada perancangan lain.

"Macam mana kalau aku buat Ara yang give up?"

Siapa sangka latihan minda di pagi hari membuahkan idea yang lumayan.

Mangsa sedang berjalan ke arahnya dengan membawa sarapan pagi di tangan. Bermula dari tarikh perjanjian sehingga sekarang, Lutfan tidak pernah sekali pun menyentuh sarapan yang dibuat oleh Ara.

"Makan dulu. Baru ada tenaga." Ara meletakkan dulang berisi nasi goreng dan secawan kopi.

Jika selalu Lutfan akan membiarkan makanan tersebut tetapi hari ini dia ingin membuat sedikit kelainan.

"Aw..awak nak makan?" Ara mendekatkan dulang apabila Lutfan cuba meraih pinggan tersebut. Di bibirnya terukir senyuman.

Lutfan membawa sudu yang berisi nasi ke mulut. Sedap seperti kebiasaannya. Ara sememangnya pandai memasak. Suapan tersebut dikunyah beberapa kali di saat lidahnya menghargai rasa yang enak.

"Kalau tak cukup saya tambahkan," cadang Ara.

Nasi tadi sudah berada di atas lantai halaman. Sisa yang tinggal di bibir disapu dengan belakang tangan.

"Potong selera. Tak sedap langsung." Langkah pertama untuk membuat Ara marah terhadapnya.

"Sorry kalau nasi ni tak kena dengan selera." Ara menghulurkan tangan untuk mengambil pinggan sebelum Lutfan menjatuhkan nasi tersebut. "Kenapa awak membazir ni?"

"Kau jangan fikir nak bagi mama dengan papa makan benda yang tak sedap ni."

Ara tidak mengendahkan Lutfan. Dia baru hendak melutut untuk mengutip sisa nasi tetapi Lutfan terlebih dahulu menarik dagunya.

"Kau jangan nak buat pekak bila aku cakap dengan kau."

Mata Ara yang merah merenung tajam pada Lutfan.

"Saya tak pekak cuma saya tak ada hati nak layan perangai awak ni." Ara melarikan wajahnya daripada tangan Lutfan.

"Kau ni kan..."

"Assalamualaikum Lut," sapa Zarif yang entah dari mana munculnya.

"Walaikumsalam," balas Ara.

Lutfan mengenggam tangannya kerana Zarif telah merosakkan rancangannya di pagi hari. Kehadiran Zarif sangat tidak dialu-alukan di saat ini.

"Kau buat apa dekat sini?"

"Khabar baik ja," balas Zarif sebelum mula membersihkan sisa nasi. "Ingat hang bela ayam tadi sebab main baling-baling nasi."

Ara menghentikan Zarif. "Nanti aku kemas."

"Tak payah. Hang tu mengandung. Aku ni yang kosong pun dah tak larat kaki mencangkung."

Misi 7 BulanWhere stories live. Discover now