Lutfan mula tidak sedap hati melihat Ara yang terbaring di atas katil sejak sejam yang lepas. Setiap lima minit dia akan meletakkan jari di bawah hidung Ara sambil melihat pergerakan dadanya.
Sedikit lega dengan kehadiran nafas Ara tetapi dia masih tidak puas selagi Ara tidak membuka mata. Otak dan tangan Lutfan mula berjalan mencari punca Ara pengsan.
Bahagian kepala disentuh terlebih dahulu kerana belakang Ara terhentak ke dinding. Lutfan mengangkat sedikit kepala Ara untuk merasa jika ada sebarang benjolan. Tapak tangannya tidak dapat merasai apa-apa kecuali rambut Ara yang sentiasa lembut.
Hati Lutfan dirobek setiap kali melihat kesan air mata yang sudah kering di kedua-dua belah pipi Ara. Sentuhannya turun ke muka. Mata Ara bengkak walaupun tertutup. Kelopaknya panas apabila disentuh oleh ibu jari Lutfan.
Lutfan benar-benar rasa bersalah apabila teringat semula keadaan Ara di dalam bilik air tadi.
Dia baru hendak melangkah ke depan tetapi Ara terus membalingkan tubuhnya ke belakang sehingga terduduk di atas lantai. Lutfan menghulurkan tangan untuk membantu tetapi Ara mula merayu supaya dia tidak dipukul.
Semakin kuat tangisan Ara apabila Lutfan mendekatinya. Dari situ, Lutfan mula faham apa yang sedang berlaku pada isterinya itu. Pergaduhan mereka mencetuskan trauma yang dialami oleh Ara sejak kecil.
Dia teringat tentang satu artikel yang pernah dibaca dulu. Trauma yang teruk boleh menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri untuk tempoh masa yang lama.
Mungkin satu jam tidak lama tetapi Lutfan tidak berani menanggung risiko. Pipi Ara ditepuk perlahan.
“Ara. Buka mata. Ara.”
Harapannya menjulang tinggi tetapi ranap apabila tiada reaksi. Had sabar Lutfan sudah bertemu titik paling bawah membuatkan dia terus mengambil kunci kereta sebelum melutut untuk mendukung Ara.
“Hmm.” Ara bersuara tanpa membuka matanya.
“Ara.” Lutfan memanggil sekiranya dia mula sedar.
“Lutfan…Lut.” Ara mula menangis dalam tidurnya. “Tolong percaya aku. Tolong. Aku tak pernah curang. Aku tak akan curang sebab…sebab…”
Hati Lutfan berdebar menanti ayat berikutnya. Nafas ditahan supaya tidak menganggu pendengaran. Gerak bibir Ara diperhati dengan teliti.
“Sebab aku cintakan kau.”
********************
Lukman bersama Hilda beriadah di taman setiap pagi. Ketiadaan anak membuatkan rumah mereka terasa sunyi. Rutin pagi mereka akan diakhiri dengan Hilda menghabiskan waktu bermain dengan kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa mereka.
Dari jauh Lukman hanya memerhatikan betapa indahnya senyuman di bibir isterinya tatkala bermain dengan bayi yang masih kecil. Dikucup berulang kali tangan yang sebesar buah ciku disertai hilai tawa bayi tersebut. Tanpa sedar, bibir Lukman juga terukir senyuman.
“Uncle,” panggil seorang perempuan yang sedang menggendong seorang bayi. “Tolong jaga anak saya sekejap, boleh?”
Tiada kata yang keluar dari mulut sementara tangannya dihulur untuk menyambut. Ibu kanak-kanak tersebut sudah berdiri mengepit kedua-dua kakinya menandakan Lukman tiada pilihan lain. Bayi tersebut pula hanya tersenyum apabila mata mereka bertemu.
“Baby,” panggil Lukman untuk mengalihkan perhatian bayi tersebut ketika ibunya beredar. “Baby. Tengok atuk sini. Baby.”
“Nama dia Lutfi,” laung si ibu sebelum berlari anak masuk ke dalam tandas.
YOU ARE READING
Misi 7 Bulan
Romance'Tooth for a tooth, brothers for the brother.' Inspektor Zade Lutfan-seorang lelaki yang terperangkap dalam kerjaya impian abangnya sebagai anggota Unit Tindakan Khas. Demi mengejar impian sendiri, Lutfan harus membalas dendam terhadap apa yang berl...