Hilda ke hulu ke hilir di dapur untuk menyiapkan makanan tengahari manakala Lukman keluar masuk membawa pinggan dan gelas sementara Ara sedang menyusun segala peralatan di atas meja.
Pergerakan mereka lincah tanpa ada sebarang masalah. Lutfan sekadar menggosok pehanya yang tidak dapat bergerak sejak kejadian hari itu. Dari sentuhan, Lutfan mula menekan otot yang tidak sekeras dulu; tapi tiada rasa.
Anak mata tertacap pada garpu yang diletakkan di atas pinggan yang tersusun beberapa jenis buah-buahan di atasnya. Tangan Lutfan cuba menggapainya sebelum namanya di panggil.
"Lut," panggil Hilda yang sedang berdiri di tepi Ara. "Mari makan."
Ara berlari anak ke arah Lutfan. Kerusi roda ditarik mendekati sofa sebelum Ara meletakkan sebelah kakinya di tengah-tengah kaki Lutfan.
"Letak tangan dekat leher aku," suruh Ara lalu mencapai pinggang Lutfan.
"Tepilah." Lutfan menolak Ara sehingga dia hampir terbalik ke belakang.
Lukman menahan Ara dari belakang.
"Kamu dah kenapa Lut?" Lukman mengalihkan Ara ke tepi. "Buat perangai pulak bila orang nak tolong."
"Lut tak perlukan pertolongan daripada dia." Ara mengalihkan pandangannya ke lantai.
Dengan kekuatan tangan yang ada, Lutfan menolak dirinya untuk beralih dari sofa. Otot tangan bergetar sebelum punggung Lutfan kembali melekat pada sofa.
"Tolong pa." Lutfan menghulurkan tangannya pada Lukman yang sekadar mencekak pinggang.
"Tadi sombong tak nak orang tolong." Lukman menampar tangan Lutfan tetapi tidak terlalu kuat.
"Lut tak nak dia yang tolong. Orang lain boleh je."
"Macam mana kalau orang lain pun tak nak tolong kamu? Ara je yang sanggup." Soalan yang mula membuatkan Lutfan mengerling matanya.
Dia pasti akan ada orang lain yang sanggup membantunya. Sentuhan Ara sentiasa menghangatkan tubuh Lutfan tapi dia tidak suka dengan perasaan begitu.
"Papa tanya kamu ni," soal Lukman.
"Cepatlah pa. Mama dah tunggu tu." Lutfan cuba meraih lengan Lukman tetapi dielak.
"Kamu bangkit sendiri. Jom Ara, kita pergi makan." Lukman menarik bahu Ara tetapi Ara menahan.
"Please papa."
Mereka berdua berpandangan sebelum Lukman mengangguk. Pinggang Lutfan dirangkul lalu dialihkan seluruh tubuh anaknya itu di atas kerusi roda.
"Thanks pa," ucap Lutfan sambil menarik brek kerusi roda.
"Bukan dekat papa tapi dekat isteri kamu tu."
Lutfan memandang Ara tetapi tidak lama.
"Buat apa? Bukan dia pun yang angkat Lutfan."
Tangan Lutfan menolak roda kerusinya sendiri. Bebelan Lukman dari belakang menyusup ke telinga; diselang seli dengan pujukan Ara. Dia tidak perlukan Ara untuk memihak padanya. Sejak bila mereka berdua rapat pun dia tidak tahu. Nasib ada Hilda yang masih di pihaknya.
"Ni mama masakkan lauk kegemaran Lut." Hilda meletakkan pinggan yang berisi ayam masak lemak cili padi.
Nasi putih sudah terhidang di hadapannya. Mangkuk sayur dicapai dahulu kerana dekat. Jika boleh dia ingin melakukan semuanya sendiri. Dengan itu, baru dia boleh menguatkan otot-otot tubuhnya serta dapat mengurangkan rasa kasihan daripada orang lain.
"Nah, awak kan suka peha." Ara meletakkan lauk di pinggan Lutfan.
Tangan yang masih memegang sendok sayur dihempaskan di atas meja. Seisi keluarganya terperanjat namun Ara masih berdiri dengan tiada riak takut di wajahnya. Dengan tenang, Ara meletakkan pinggan di atas meja sebelum duduk menghadap Lutfan.
YOU ARE READING
Misi 7 Bulan
Romance'Tooth for a tooth, brothers for the brother.' Inspektor Zade Lutfan-seorang lelaki yang terperangkap dalam kerjaya impian abangnya sebagai anggota Unit Tindakan Khas. Demi mengejar impian sendiri, Lutfan harus membalas dendam terhadap apa yang berl...