Ara termenung melihat kabus tebal menutup langit. Kedua-dua tingkap dibiarkan terbuka membenarkan udara sejuk mengipas hatinya yang sedang terbakar dengan perangai Lutfan semalam.
Kalau bukan kerana keadaan Salmah pasti Ara akan mengikut Lutfan pulang. Bukan dia tidak mahu menjaga ibunya tetapi dia lebih risaukan perihal kandungannya. Dia bimbang kalau Pak Ahmad bertindak kasar terhadapnya nanti.
Mungkin Pak Ahmad tidak berani disebabkan amaran Lutfan tapi sampai bila dia dapat menahan dirinya. Buat masa sekarang, Ara perlu menjauhkan diri daripada Pak Ahmad. Itu tugasan yang penting buat dirinya.
Pintu biliknya diketuk beberapa kali sebelum suara Salmah kedengaran.
“Masuklah ibu. Pintu tak kunci,” sambut Ara.
Salmah membawa dulang berisi cawan dan sepinggan nasi goreng. Aroma belacan menyapa hidung Ara membuatkan perutnya bergelora. Ara pantas menyambutnya dengan nafas yang tertahan. Lengan Salmah dipimpin untuk duduk di atas katil.
“Along ada kaki lagi la ibu.” Bahu Salmah dipicit.
“Saja je. Ibu nak berborak dengan anak ibu ni.”
Ara merapatkan pipi mereka. Aroma ibunya berjaya menenangkan hati.
“Along, ibu nak tanya sikit boleh?” soal Salmah.
Ara mengangguk tapi dia berharap bukan mengenai Lutfan kerana dia sendiri tiada jawapan yang jelas.
“Kamu mengandung ke?”
Ara terus memandang wajah ibunya yang sedang tersenyum. Dia tidak pasti samada hendak jujur ataupun tidak. Sebelum berterus terang Ara hendak tahu sesuatu daripada Salmah.
“Kenapa ibu rasa macam tu?”
“Pagi tadi ibu dengar kamu muntah dalam tandas.” Salmah menunjuk pada pinggan tadi. “Tu favorite kamu tapi tadi muka kamu berkerut bila bau nasi tu.”
Salmah sudah melihat dua tanda yang besar. Buang masa saja kalau Ara tetap menafikan. Mana tahu ada baiknya juga kalau ibunya tahu. Ara memeriksa sekeliling sebelum berbisik.
“A'ah.” Ara pantas meletakkan jari di mulut Salmah. “Tapi ni rahsia. Lut pun tak tahu lagi.”
“Dah kenapa si ayah tak tahu?”
“Along pun baru tahu. Tak scan pun lagi.”
Salmah mengangguk dengan kepala yang tertunduk.
“Ibu tak suka ke jadi nenek?”
Bahu Ara diusap. “Bukan tu. Pasal ibu Along kena balik. Sini mana ada klinik.”
“Ibu ni. Nanti-nanti pun boleh scan.” Ara menjenguk ke luar bilik. “Abah mana?”
“Tengah bersiap nak pergi kemas ladang Tok Khamis.”
Dahi Ara berkerut. Sejak bila Pak Ahmad mengambil upah mengemas ladang orang kampung. Keadaan kesihatan Pak Ahmad yang tidak bagus membuatkan dia terpaksa bersara awal. Ara bertanya dengan nada perlahan.
“Kenapa?”
“Apa lagi Along,” rungut Salmah. “Sebab hutang.”
“Hutang? Sejak bila abah berhutang?” soal Ara.
“Bukan abah tapi adik ipar kamu tu.”
Kepala Ara senget ke tepi memandang Salmah.
“Suami Lysha tu dok tipu duit Tok Khamis. Ibu pun tak pasti duit apa tapi abah tak mampu nak bayar. Sebabkan Tok Khamis tu dah lama kenal kita, dia mintak abah bersihkan ladang dia untuk sebulan tanpa upah.”
YOU ARE READING
Misi 7 Bulan
Romance'Tooth for a tooth, brothers for the brother.' Inspektor Zade Lutfan-seorang lelaki yang terperangkap dalam kerjaya impian abangnya sebagai anggota Unit Tindakan Khas. Demi mengejar impian sendiri, Lutfan harus membalas dendam terhadap apa yang berl...