Bab 7

399 35 33
                                    

Pakaian yang tidak banyak memudahkan Ara untuk mengemas. Dia perlu bersiap kerana bila-bila masa sahaja Lutfan akan mengajaknya pulang. Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya.

Cincin yang berbatu berlian tersarung di jari di tenung lama oleh Ara. Seperti mimpi dia sudah bergelar isteri kepada Zade Lutfan. Lelaki yang dicintai sejak kecil dan sentiasa berdoa supaya Lutfan menjadi jodoh buatnya. Tapi kenapa perasaan Lutfan tidak sama dengannya?

Semasa akad Ara dapat melihat tiada senyuman di bibir Lutfan walaupun sekali. Sedangkan dia rasa seperti hendak terkoyak mulutnya tersenyum sehingga ke telinga. Ara sedar Lutfan terpaksa bersetuju atas beberapa sebab tapi setidaknya dia boleh menunjukkan wajah yang sedikit ceria.

Pintu biliknya terbuka. “Along dah siap?” Salmah membawa beberapa helai pakaian di tangan. “Ini ada hadiah sikit.” Diserahkan baju yang berkain satin sebelum mulut Ara terbuka. “Pakai masa tidur nanti.”

“Ibuuuu…Kenapa jarang sangat?” Ara merasa material sebelum menghambar salah satunya. “Kain pun macam tak cukup. Tak naklah Along pakai.” Baju-baju tersebut diletakkan semula di atas peha ibunya. “Apa kata ibu je yang pakai depan abah nanti.”

“Budak ni.” Bahu Ara dipukul. “Orang beli untuk dia goda suami dia. Pakai la baru Lutfan duduk dalam bilik.” 

Ara berpusing menghadap ibunya. Bahu Salmah dipegang supaya mata mereka bertentang. Dia perlu menjelaskan situasi sebenar hubungannya dengan Lutfan.

“Ibu tak nampak ke muka dia masa nikah tadi?” Salmah berfikir sejenak sebelum Ara menambah. “Ibu rasa dia suka ke nikah dengan Along?” Salmah masih tidak menjawab. “Kalau tak pakai apa-apa sekali pun belum tentu dia nak sentuh.”

“Dah tu kenapa kamu setuju?” soal Salmah.

“Kan abah dah ambik duit daripada bapak Lutfan. Setuju atau tak Along terpaksa ikut la.”

Salmah ketawa memerli. “Sejak bila anak ibu ni jadi penurut? Lebih-lebih lagi bab kahwin.” Ara tidak faham kerana dia sentiasa menurut segala arahan Pak Ahmad. “Along lupa masa Hijaz, anak tok mudim tu masuk meminang? Tak silap ibu, abah banyak berhutang dengan tok mudim. Apa Along buat?”

Hidung Ara berkerut bila teringat cara dia melarikan diri. “Ibu ingat tenggiling mana lah yang korek tanah sampai dalam macam tu. Rupa-rupanya anak ibu sendiri.” Salmah tergelak. “Sampai abah kamu cakap, nasib tak jadi terowong je.”

“Tak baik ibu ketawa tau. Ingat tak penat ke gali tanah guna tangan.” Urat tangan Ara masih terasa kebas. “Lagi pun Along lari sebab Hijaz tu gila perempuan. Semua orang dia nak try. Sebab tu Along sanggup bayar hutang abah.”

“Okay.” Salmah berfikir lagi. “Macam mana pulak dengan Hamdan?” Ara menggaru kepala. “Ibu rasa budak tu alim. Rajin pergi solat dekat surau. Kadang sampai tertidur dekat sana.”

“Along tolak sebab takut dia tak balik rumah. Kalau asyik dekat surau lebih baik tak payah ada isteri kan.”

“Takut suami tak balik sampai beli lembu untuk ganti yee?” Perli Salmah kerana ayah Hamdan menghadiahkan seekor lembu pada Pak Ahmad sebelum mereka masuk merisik.

“Lembu..lembu tu Along dapat diskaun.” Ara terpaksa menipu kerana dia membeli lembut tersebut dengan harga penuh. Sampai sekarang dia masih berhutang dengan Kila.

“Habis tu kenapa sekarang kamu tak bayar balik duit yang papa Lutfan bagi? Ibu rasa tak semahal seekor lembu kan.” Tiba masa dia terperangkap dengan soalan Salmah.

Beza Lutfan dengan mereka berdua adalah, Ara mencintai Lutfan. Dia sendiri tidak dapat menafikan detak jantungnya selalu ke laut setiap kali berdepan dengan suaminya itu.

Misi 7 BulanWhere stories live. Discover now