'Nombor yang anda hubungi tidak dapat...'
Panggilan diputuskan kerana dari tadi jawapan yang sama Lutfan terima daripada nombor Ara. Ada kemungkinan besar ugutan Shark adalah betul. Sekali lagi Lutfan mendail tetapi tetap suara yang sama.
Lutfan memandang skrin telefon membiarkan suara operator memberitahu isterinya tidak dapat dihubungi. Akalnya mula membayang apa yang Shark dan orang-orangnya telah lakukan pada Ara. Tangannya diangkat ke udara sebelum Zarif menahan.
"Sabaq, Lut. Telefon ni tak berdosa." Zarif mematikan panggilan sebelum menyambung. "Aku call pak mertua hang sat tadi."
Lutfan bingkas bangun dari kerusi. "Ara ada dekat sana?"
"Depa kata tak da. Pak mertua hang dengar suara dia menjerit lepas tu dia terus hilang," tambah Zarif.
Lutfan rasa bersalah. Beberapa panggilan masuk sebelum dia memulakan operasi semalam tetapi dia tidak sempat untuk menjawab. Mungkin Pak Ahmad ingin memberitahu tentang Ara.
"Ini semua salah aku." Dia meraup wajahnya.
Shark mesti mengetahui kedudukan Ara daripada GPS kereta yang digunakan oleh Lutfan tempoh hari.
"Shark memang dah antar orang perhati bini hang." Zarif seperti tahu sesuatu. "Kila kata ada lelaki dok kacau isteri hang tapi depa lari bila dapat tahu hang polis."
Keluhan Lutfan semakin dalam. Itu salah satu taktik untuk mengorek rahsia. Mereka lari bukan kerana takut tetapi mereka sudah dapat pengesahan yang dicari. Dari situ, mereka sudah tahu Ara adalah isteri kepada Lutfan.
"Aku kena cari isteri aku." Lutfan semakin hilang arah. Dari pagi dia menunggu namun tiada sebarang berita dari pihak Shark.
"Hang nak cari dekat mana?" Zarif menahan dada Lutfan daripada keluar dari bilik operasi. "Sabaq dulu."
"Macam mana kalau Shark buat..." Lutfan tidak mampu menghabiskan kata-katanya. "Kalau dia buat..."
"Sudahlah Lut. Jangan dok fikir bukan-bukan." Zarif berjaya menenangkan sebelum dia mula bersuara. "Aku harap lepas ni hang hargai la bini hang tu."
"Maksud kau?"
"Tarik balik surat cerai tu," balas Zarif tetapi Lutfan menggelengkan kepala. "Apa masalah hang ni? Sat tadi cakap risau, lah ni nak cerai jugak."
"Aku akan tetap ceraikan dia." Lutfan terus menambah saat mulut Zarif terbuka. "Aku tak nak dia hadap benda macam ni lagi disebabkan aku."
Lutfan tidak kisah kalau dia yang berada dalam bahaya tetapi bukan Ara. Kalau dengan berpisah dapat menjauhkan Ara daripada bahaya, dia sanggup melakukan pekara tersebut.
"Hang betul selfish la." Jari telunjuk Zarif ditunding di depan muka.
"Selfish? Aku buat ni demi keselamatan dia." Lutfan sekadar mempertahankan prinsipnya.
"Hang buat lagu ni untuk hang." Dahi Lutfan berkerut. "Hang risau kalau hang tak mampu nak lindung dia. Hang tak nak rasa bersalah nanti."
Lutfan pasti bukan itu yang dia rasakan sekarang tetapi Zarif kelihatan yakin sambil menolak dada Lutfan.
"Hang tak pernah fikir apa yang Ara nak. Hang buat apa ja asalkan hang selesa."
"Kau tak faham..."
Zarif menggenggam kolar baju Lutfan. "Aku dah cukup masak dengan perangai hang, Zade Lutfan. Tak habis-habis dengan dendam sampai mata hang buta dengan apa yang hang dah ada."
Kaki Lutfan berundur apabila ditolak oleh Zarif sehingga belakang badannya berlanggar dengan dinding.
"Ini hidup aku."
YOU ARE READING
Misi 7 Bulan
Romance'Tooth for a tooth, brothers for the brother.' Inspektor Zade Lutfan-seorang lelaki yang terperangkap dalam kerjaya impian abangnya sebagai anggota Unit Tindakan Khas. Demi mengejar impian sendiri, Lutfan harus membalas dendam terhadap apa yang berl...