Bab 7

4 0 0
                                    

Pagi yang cerah itu sudah mula ternoda kesuciannya dengan kepulan asap dari pelbagai jenis kenderaan. Manusia sudah pun bersesak di jalan raya untuk menuju ke tempat kerja masing-masing. Di celah-celah kenderaan yang bersusun melintasi jalan raya, kelihatan Harzan sedang memandu motosikalnya dengan cermat dan penuh berhati-hati. Tiba di satu persimpangan, Harzan membelokkan motorsikalnya ke simpang sebelah kiri. Setelah memasuki simpang tersebut, kesesakan lalu lintas sedikit berkurangan dan perjalanan mulai menjadi lancar. Tidak lama kemudian, Harzan tiba di hadapan pejabat. Motosikalnya ditempatkan diruang parkir khas untuk motosikal. Setelah mematikan enjin dan mengunci motosikalnya, Harzan berdiri tegak memandang ke arah tangga bagi menuju ke pejabat. Nafasnya ditarik dalam sebelum dihembus kembali dengan penuh semangat.

Hari ini, Harzan sudah mengumpulkan semangat baru untuk terus bekerja. Malam tadi, semalaman dia cuba memujuk hatinya yang dilanda kekecewaan. Dia tidak ingin terus dirundung rasa kecewa yang tidak berkesudahan. Apa pun yang terjadi, Harzan sedar dirinya harus terus kuat untuk menghadapi perjalanan hidup. Cinta itu hanyalah perencah dalam sebuah kehidupan. Tanpa cinta, hidup tetap akan berjalan walau terasa hambar. Menambahkan ruang percintaan dalam hidup ini hanyalah sekadar menambahkan lagi masam manis sebuah perjalanan. Itulah kehidupan. Bagi Harzan, dia sudah pun menunaikan apa yang telah dikatakan oleh Azian kepadanya. Dia telah pun meluahkan perasaannya terhadap Ayra. Penerimaan atau penolakan dari Ayra itu bukan tugasnya. Dia tiada hak untuk menentukan keputusan Ayra. Jika Ayra sudah menolaknya, dia tetap akan menghormati keputusan gadis itu. Namun jauh disudut hati Harzan, dia sama sekali tidak akan menguburkan perasaan yang sudah bersemi dalam hatinya itu. Perasaannya itu milik dirinya dan tiada sesiapa pun yang berhak menyalahkan perasaannya.

Setelah melangkah masuk ke ruang pejabat, Harzan segera menandakan kehadirannya untuk bertugas pada hari tersebut. Selesai mengesahkan kehadirannya, Harzan langsung menuju ke satu meja hujung sudut dinding. Itu adalah meja yang disediakan khas untuknya sebagai pekerja am di situ. Harzan tanpa berlengah, menyimpan topi keledarnya di bawah meja. Beg yang disandang pada bahunya pula dilepaskan dan diletakkan di atas meja. Baru sahaja Harzan melabuhkan punggungnya di kerusi, Azian tiba-tiba muncul dan mendekati Harzan.

"Hai Zan.. macam mana kau hari ni? Okay ke tak?" Azian segera menyapa lelaki muda itu.

"Hai Kak Yan.. Saya okay je.. kenapa pulak Kak Yan tanya macam tu?" Harzan merasa sedikit aneh dengan pertanyaan Azian.

"Hmm.. ye la.. mana la tahu, kot-kot kau terkecewa sampai sakit kepala.." Azian cuba mengusik Harzan yang dianggap seperti adiknya itu walaupun perkenalan mereka tidaklah terlalu lama.

"Ish.. Kak Yan ni.. kan Kak Yan juga yang pesan hari tu.. jangan obses dengan cinta sampai menolak takdir.. Saya takde pun tangkap cinta sampai tergila-gila Kak Yan.. kalau ikutkan, saya nak pendam je perasaan tu. tapi Kak Yan juga yang suruh saya bagitau dia.. Sekarang saya pun sedikit lega sebab dah luah macam yang Kak Yan suruh.. Kita tak boleh nak paksa untuk orang suka kita." Harzan tersenyum.

"Betul tu.. Kak Yan gembira kalau kau faham apa yang Kak Yan katakan. Kita boleh pilih untuk mencintai tapi kita tak boleh kawal untuk dicintai. Kalau takde jodoh dengan Ayra, kau cari je perempuan lain Zan.. kau pun apa kurangnya.. pasti ramai je lagi perempuan yang sukakan kau."

"Jangan nak mengarut la Kak Yan.. orang macam saya mana ada orang nak pandang." Harzan tetap merendah diri.

"Kau je yang tak peka Zan.. di sekeliling kau, pasti ada orang yang sukakan kau.. mungkin kau je yang tak perasan.. kau tu orang baik, hensem pulak tu.. mana mungkin takde sesiapa yang nak.."

"Astaghfirullah.. Kak Yan.. hensem kot mana la saya ni.. kalau ada perempuan tu, siapa dia?"

"Laa.. mana la Kak Yan tahu siapa.. Kak Yan jumpa kau pun kat pejabat ni je.. mana la Kak Yan kenal siapa yang ada disekeliling kehidupan kau." Azian mula mencebik bibir. Harzan pula tertawa kecil apabila melihat mimik muka yang ditunjukkan oleh Azian kepadanya. Selesai berbual, Azian mula meninggalkan Harzan sendirian di mejanya. Harzan kemudian mengeluarkan beberapa fail dari laci dan diletakkan di atas meja. Beberapa helaian kertas yang merupakan dokumen pejabat dibelek dan dibaca. Sesekali, Harzan mengerutkan dahi. Dia sepertinya tidak memahami isi dokumen yang dibacanya. Seseorang yang hanya menjawat sebagai pekerja am, wajar sahaja tidak memahami segala isi dan perincian yang menjadi tugas pegawai atasan. Tugasnya hanyalah untuk menguruskan dokumen-dokumen pejabat. Sebagai pekerja bahawan, tidak menjadi tugas dan tanggungjawab Harzan untuk memahami segala isi dokumen tersebut. Namun kerana semangat untuk belajar, Harzan tetap mencuba untuk memahami selok belok urusan syarikat yang menjadi tempatnya bekerja sekarang.

Ikhlaskan CintaWhere stories live. Discover now